Sunday 23 December 2012

DAP Melayu Hanya Penonton Belakang Tabir


GEORGE TOWN: Pemimpin Melayu dalam DAP disifat hanya mampu menjadi 'penonton' belakang tabir dan tidak akan mampu memperjuangkan kelangsungan bangsa Melayu dalam parti itu.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Betong Muhamad Farid Saad berkata ini kerana pengaruh pemimpin yang dilantik di atas kertas tidak setanding dengan pemimpin yang dipilih berdasarkan undi majoriti.

"Pemimpin Melayu dalam DAP tidak akan beri kesan apa-apa dalam pentadbiran kerana bilangan mereka terlalu kecil dan tidak dapat sokongan penuh oleh ahli sendiri," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Briged Sukarelawan Kolej Komuniti (BRiSK) Pulau Pinang baru-baru ini.

Muhamad Farid yang juga merupakan Setiausaha Politik YB Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berpendapat pelantikan dua wakil Melayu oleh Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) iaitu Senator Ariffin S.M Omar dan Setiausaha Politik Lim Guan Eng, Zairil Khir Johari sekadar memenuhi kuota bagi menunjukkan DAP sebagai parti berbilang kaum.

Beliau menyarankan pemimpin Melayu berkenaan menilai sedalam-dalamnya perkara ini kerana majoriti anggota peringkat akar umbi yang tidak memilih pemimpin Melayu jelas menunjukkan mereka tidak menginginkan kaum lain menerajui parti itu.

Pada pemilihan CEC baru-baru ini, kesemua lapan calon Melayu termasuk pejuang DAP Melayu Ahmad Ton kalah teruk dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng kemudiannya mengumumkan pelantikan Ariffin dan Zairil dalam CEC.

Penubuhan BRiSK bertujuan mendidik pelajar supaya prihatin dengan isu masyarakat dan menyemai sikap bekerja secara sukarela dalam diri golongan itu.

Majlis berkenaan dihadiri seramai 100 pelajar dari enam kolej komuniti sekitar Pulau Pinang - ANTARAPOS.

Wednesday 19 December 2012

PAS Tak Mampu Ganti UMNO , Hanya Melukut Di Tepi Gantang Dalam PR


Bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Seri Mohd Fairuz Khairuddin berkata rakyat terutamanya penyokong Pas perlu sedar hakikat bahawa Pas tidak akan mampu menggantikan UMNO apatah lagi untuk memimpin pembangkang.

Hakikat tersebut tegas beliau berdasarkan fakta kerana Pas tidak pernah mempunyai kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan sepanjang 12 kali pilihan raya umum lalu.

Ini kerana katanya sepanjang 12 kali pilihanraya umum, bilangan kerusi yang ditandingi Pas kurang daripada separuh  dari jumlah keseluruhan kerusi parlimen yang dipertandingkan.

“Bermula dari tahun 1969, Pas hanya bertanding sebanyak 62 daripada 144 kerusi di Parlimen. Tahun 1990 hanya sebanyak 29 daripda 180 kerusi,, tahun 1995 bertanding di 59 daripada 192 kerusi parlimen, tahun 1999 bertanding di 59 daripada 193 kerusi parlimen, tahun 2004 bertanding di 85 daripada 219 kerusi parlimen, dan tahun 2008 bertanding di hanya 66 daripada 222 kerusi parlimen”, katanya kepada UMNO-Online di sini.

Sekiranya Pas menang di semua kerusi yang dipertandingkan pun tegas beliau sudah terang lagi bersuluh parti ini tidak boleh sama sekali membentuk kerajaan.

“Perlu diingat, Pas hanya menang kesemua kerusi mereka ketika mereka bersama BN dalam pilihan raya 1974. Kini setelah bergabung dengan pakatan pembangkang, Pas terus menjadi sebuah parti yang ibarat melukut di tepi gantang.

“Pas hanya mampu menunduk mengikut telunjuk rakan sekutu mereka iaitu DAP dan PKR. Dengan sikap sebegini, mampukah mereka menjadi parti yang mampu menjadi peneraju utama negara… Hakikatnya Pas tidak bersedia untuk menjadi sebuah parti dominan,” ujarnya.

Tambah Fairuz, jelas dapat dilihat dalam pakatan pembangkang sendiri Pas tidak mampu menyanggah DAP dan PKR yang sentiasa mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh Pas termasuklah prinsip perjuangan mereka sendiri untuk melaksanakan hudud dan menubuhkan negara Islam.

Tegasnya lagi, Pas di Selangor sahaja sudah memberikan gambaran jelas bahawa parti itu hanya sebagai pengikut setia yang bersedia menurut perintah sehingga portfolio Exco Agama yang sepatutnya disandang Pas telah dirampas PKR.

“Jika benar Pas dominan dalam pakatan pembangkang, mengapa jawatan Exco Agama tidak diberikan kepada parti itu tetapi sebaliknya dijaga oleh PKR.

“Lagi satu, kalau dominan, mengapa hukum hudud tidak dimasukkan ke dalam Buku Jingga yang menjadi ‘kitab’ perjuangan mereka?” ujarnya.

Katanya lagi, rakyat perlu menilai persoalan-persoalan itu dan hanya mereka yang tidak berfikir secara waras sahaja percaya Pas parti dominan dan terus ditipu oleh Pas yang kononnya mampu untuk menjadi parti yang bakal memimpin pucuk pimpinan negara. - MediaUMNO

Friday 14 December 2012

Krisis Kewangan 1997/1998 - Siapa Di Belakang Tun Dr Mahathir ?


MUNCULNYA satu detik, yang jarang sekali berlaku dalam hidup, apabila suatu peristiwa menakrifkan semula kehidupan seseorang dan merubah haluan buat selama-lamanya. Bagi saya, pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad di Buenos Aires, Argentina, pada petang 2 Oktober 1997 merupakan detik itu. Ia membolehkan saya memberi tumpuan selama enam tahun dalam kehidupan saya untuk berkhidmat dengan beliau, dan menemuinya hampir setiap hari. Sepanjang proses itu, ia membolehkan saya melihat lebih dekat keupayaan yang dimiliki insan hebat ini.

Jarang sekali kita melihat gabungan nilai-nilai mulia dalam diri seseorang, dan gabungan unik inilah yang membolehkan Dr Mahathir mengubah Malaysia daripada sebuah negara Dunia Ketiga kepada negara berkembang maju dan bertenaga, dan kini berada pada landasannya untuk menjadi negara maju. Gabungan kualiti ini jugalah yang membolehkan Dr Mahathir menyelamatkan Malaysia daripada menjadi sebuah lagi negara IMF semasa krisis kewangan 1997/98.

Ia bermula pada 29 September 1997, apabila saya menerima panggilan telefon dari pejabat Perdana Menteri yang memberitahu Dr Mahathir mahu menemui saya. Beliau berada di Cuba pada ketika itu, dan secara berseloroh, saya bertanya, adakah saya harus menemuinya di sana!

Saya diberitahu, bukan secara berseloroh, bahawa beliau akan tiba di Buenos Aires pada 2 Oktober dan saya harus memastikan diri saya berada di situ sekurang-kurangnya sehari sebelum ketibaan beliau. Saya segera berlepas ke Argentina, dan tiba pada 1 Oktober.

Perdana Menteri tiba pada 5 petang hari berikutnya dan kami segera bertemu di suite beliau. Dr Mahathir memberitahu, beliau telah bertanya ramai orang mengenai punca krisis kewangan tetapi tiada siapa mampu memberi penjelasan memuaskan. Beliau bertanya sama ada saya boleh menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku.

Saya bertanya berapa banyak masa beliau ada. Dua jam, katanya. Saya pun menjelaskan bagaimana pasaran pertukaran asing berlaku, tentang kedudukan jangka pendek dan panjang, mengenai perlindungan nilai, bagaimana matawang dipinjam dan dijual, perbezaan "tawaran" dan "penawaran" serta bagaimana dana boleh dipindahkan di antara negara hanya dengan satu klik. Saya juga menjelaskan bagaimana pasaran ekuiti berlaku dan hubungan antara pasaran tukaran mata wang asing dan pasaran ekuiti. Dr Mahathir langsung tidak bercakap, kecuali bertanya satu atau dua soalan, dan mendengar penuh mendalam.

Selepas dua jam, beliau terpaksa menamatkan pertemuan itu untuk bersedia ke majlis makan malam rasmi. Beliau bertanya rancangan saya untuk malam itu dan saya memberitahu bahawa saya turut dijemput ke majlis yang sama. Dr Mahathir berkata: "Pulang ke bilik anda dan tulis semua yang anda beritahu sejak dua jam lepas, dan jumpa saya 7 pagi esok." Saya kembali ke bilik saya, tidak ke majlis makan malam dan menulis kesemuanya, yang selesai kira-kira 6 pagi.


Laporan

Saya menyerahkan laporan itu padanya sejam kemudian. Beliau menyuruh saya berehat dan menemuinya semula pada 2 petang. Apabila saya kembali menemuinya, beliau memberitahu beliau telah membaca laporan itu dan faham apa yang berlaku dalam pasaran kewangan. Kami mula membincangkan pelbagai kaedah untuk mengatasi krisis itu, dan perbincangan kami diteruskan selepas pulang ke Malaysia. Saya menemui beliau hampir setiap hari, kadang kala di kediaman beliau, dan pada masa lain di pejabat beliau. Kami mencuba beberapa mekanisme untuk mengatasi krisis itu, ada antaranya yang berfungsi pada mulanya, tetapi dana lindung nilai begitu kukuh hingga sukar untuk meneruskan penggunaan mekanisme itu dengan jayanya.

Pada awal 1998, Dr Mahathir meminta saya menerokai idea untuk mengenakan rejim kawalan pertukaran bagi mengatasi krisis itu. Saya masih ingat bagaimana saya menyediakan banyak nota mengenai perkara itu. Dr Mahathir meneliti nota-nota itu, dan sentiasa meminta maklumat demi maklumat. Kami telah melalui banyak pusingan perbincangan, sehingga beliau akhirnya yakin dengan kedua-dua konsep dan mekanisme yang dicadangkan. Selebihnya, saya rasa sudah menjadi sejarah.

Dr Mahathir juga meminta saya menyediakan satu kertas kerja mengenai bagaimana menamatkan dagangan saham-saham Malaysia di CLOB (Central Limit Order Book) di Singapura. Beliau berpendapat, satu sebab penting mengakibatkan pasaran saham jatuh ialah jualan singkat saham Malaysia di CLOB. Saya menyediakan laporan dan Dr Mahathir memahami, buat pertama kalinya, bagaimana CLOB beroperasi. Laporan itu, yang turut dilaksanakan pada 1 September 1998, telah menamatkan perdagangan saham Malaysia di CLOB.

Saya perlu menyatakan bahawa langkah-langkah kawalan pertukaran telah direka sedemikian rupa untuk meminimumkan aspek-aspek kawalan dan memaksimumkan hasil. Dr Mahathir telah meneliti banyak kali mekanisme yang dicadangkan itu untuk memastikan hanya ada sedikit elemen kawalan tetapi mencukupi untuk memastikan hasil yang positif. Tidak ada elemen birokrasi dalam langkah-langkah itu, seperti mewajibkan pengimport untuk mendapatkan kebenaran Bank Negara bagi mengimport. Ringgit juga ditambat pada tahap di mana ia tidak terlebih nilai.

Di hampir setiap negara lain yang mengenakan langkah-langkah kawalan pertukaran dan penambatan matawang, secara definisinya, banyak kawalan birokrasi dan matawang juga ditambat pada kadar terlebih nilai.

Sistem kawalan pertukaran (termasuk kadar pertukaran tetap), yang dilaksanakan pada 1 September 1998, sering dianggap sebagai penyelamat negara. Langkah itu sememangnya diperlukan tetapi ia tidak cukup untuk mengatasi krisis itu. Malaysia diselamatkan, bukan dengan kawalan pertukaran itu sendiri, tetapi oleh Dr Mahathir.

Biar saya jelaskan. Jika mana-mana negara membangun lain, yang menghadapi krisis sama, memperkenalkan langkah yang kita perkenalkan pada September 1998, ia mungkin gagal. Langkah-langkah itu berjaya di Malaysia adalah kerana keupayaan dan watak Dr Mahathir. Ekonomi dan sistem kewangan, di bawah kepimpinannya berada dalam keadaan sihat - cukup sihat untuk membolehkan langkah-langkah kawalan pertukaran dilaksanakan tanpa kesan negatif. Selain itu, gaya pengurusan kendiri Perdana Menteri membolehkan keputusan cepat dan tepat pada masanya dibuat, yang penting di bawah rejim kawalan pertukaran baru.

Beliau memastikan ekonomi Malaysia pada asasnya kukuh. Ringgit kukuh dan stabil. Di belakang kestabilan matawang (pada RM2.50 berbanding dolar Amerika Syarikat), Malaysia berada pada kedudukan amat baik. Pada akhir 1996, keluaran dalam negara kasar berkembang hampir 8.5 peratus dan pertumbuhan itu dijangka berterusan untuk tahun-tahun mendatang. Kerajaan telah menikmati lebihan fiskal. Hutang luar negara adalah rendah, pada 40 peratus daripada keluaran negara kasar. Akaun matawang dari imbangan pembayaran telah mengecil daripada defisit 10 peratus kepada lima peratus daripada KNK, dan dijangka terus bertambah baik. Inflasi berada pada tahap paling rendah iaitu 2.1 peratus. Kita mempunyai pertumbuhan kukuh lebih lapan peratus bagi sebahagian besar tempoh itu. Dan kekuatan asas ini merupakan faktor penting yang membolehkan langkah kawalan pertukaran berjaya.


Meneliti

Selama lebih setahun lepas langkah 1 September 1998 itu, Perdana Menteri bertemu kumpulan kecil kami enam hari seminggu - sekurang-kurangnya dua jam sehari - bagi meneliti pelbagai data ekonomi termasuk mengenai pertumbuhan pinjaman, eksport, import dan hartanah tidak terjual. Ini membolehkan beliau mengambil tindakan cepat, pada bila-bila masa perlu. Saya masih ingat satu pagi, semasa kami sedang meneliti angka-angka hartanah, beliau memandang saya dan mengarahkan saya menganjurkan pameran untuk menghabiskan hartanah yang tidak terjual. Saya lakukannya, dan hartanah bernilai lebih RM3 bilion telah dijual. Malah selepas berakhirnya krisis itu, Dr Mahathir terus menemui kumpulan kami, walaupun tidak sekerap sebelumnya. Dan Dr Mahathir terus meneliti semua data ekonomi dengan pensel tajam.

Tempoh 1997/98 adalah, mengikut parafrasa Charles Dickens, masa terburuk, tetapi ia juga masa terbaik. Keadaan paling buruk telah menyerlahkan yang terbaik dalam diri Dr Mahathir. Ada perumpamaan mengatakan pemimpin yang baik adalah seperti teh yang baik - anda hanya mengetahui kualiti sebenarnya apabila beliau berada dalam keadaan panas!

Sepanjang tempoh krisis, Perdana Menteri memberi tumpuan pada usaha mengatasinya. Siang malam, tiada perkara lain difikirkannya. Beliau membaca segala yang boleh mengenai kewangan; beliau terus meminta saya menyediakan nota-nota pelbagai isu teknikal. Kadang kala, walaupun selesema, beliau tetap bekerja. Beliau sedar beliau perlu memahami isu-isu berkenaan sebelum boleh berusaha mencari penyelesaian. Kepintaran semula jadi dan keupayaan beliau memberi tumpuan pada isu-isu teras sentiasa terserlah sepanjang krisis itu. Beliau tidak menunjukkan tanda takut walaupun dalam masa terburuk; satu-satunya kebimbangan beliau ialah keadaan ekonomi yang cepat merosot. Pada setiap masa, beliau yakin akan berjaya akhirnya.

Saya ingin menambah dua lagi perkara. Pertama, dalam melaksanakan langkah 1 September 1998, Dr Mahathir bukan saja menyelamatkan Malaysia malah negara-negara jiran juga.

Apabila Malaysia mengenakan langkah kawalan pertukaran, spekulator matawang menyedari negara lain yang terjejas (Thailand, Indonesia dan Korea Selatan) juga boleh mengenakan kawalan yang sama, dan mereka, dengan itu menghentikan aktiviti mereka. Spekulator menarik diri. Mereka membeli semula matawang yang mereka jual. Ini mengakibatkan kenaikan nilai mata wang serantau.

Selain itu, IMF tidak berpuas hati dengan tindakan Malaysia terutamanya sejak selepas melaksanakan langkah-langkah itu, kita melakukan perkara sebaliknya daripada apa yang IMF mahu - kita turunkan kadar faedah dan menyuntik kecairan dalam sistem. IMF kemudian mula melonggarkan syarat di negara lain dan membenarkan mereka merendahkan kadar faedah dan menyuntik kecairan bagi merangsang ekonomi mereka supaya Malaysia tidak mengatasi negara-negara IMF itu.

Perkara kedua ialah apa yang akan terjadi jika langkah kawalan pertukaran tidak dilaksanakan. Banyak syarikat di Malaysia mungkin gulung tikar akibat kadar faedah tinggi. Apabila syarikat jatuh seperti domino, bank akan menghadapi masalah kecairan dan mampu bayar yang teruk berikutan pinjaman tidak berbayar semakin membesar.

Masalah yang dihadapi oleh bank akan menyebabkan berlakunya tekanan kredit, yang akan membawa kepada satu lagi pusingan kegagalan korporat. Pendapatan kerajaan mungkin merosot dengan mendadak kerana kurang firma akan membayar cukai korporat, dengan itu mengurangkan keupayaan kerajaan untuk merangsang ekonomi melalui langkah dasar fiskal. Akibat daripada masalah yang dihadapi syarikat dan bank, kadar pengangguran akan meningkat dengan ketara, yang membawa kepada pusingan masalah kedua.

Ini adalah putaran ganas yang klasik, yang akhirnya boleh memusnahkan kestabilan sosial dan politik negara. Ini adalah senario yang menunggu untuk berlaku. Namun, ia tidak berlaku kerana ketegasan dan keberanian Dr Mahathir, yang memutuskan untuk berusaha melalui jalan yang jarang dilalui.

YB Tan Sri Nor Mohamed Yakcop
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri
Ahli Parlimen Tasek Gelugor

sumber MMI 


Wednesday 12 December 2012

YB Ahli Parlimen Meraikan Perwakilan & Pemerhati UMNO Bahagian Tasek Gelugor Sempena PAU2012


Kuala Lumpur - Bertempat di Hotel KL International , Ahli Parlimen Tasek Gelugor merangkap Menteri Di Jabatan Perdana Menteri YB Tan Sri Nor Mohamed Yakcop pada 28 November 2012 yang lalu telah mengadakan satu majlis makan malam bagi meraikan para perwakilan dan pemerhati dari UMNO Bahagian Tasek Gelugor yang hadir dalam Persidangan Agung UMNO 2012.

Kehadiran beliau turut diiringi oleh YB Ustaz Shabudin Yahya Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor merangkap ADUN Permatang Berangan dan YB Dato Jasmin Mohamed Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor merangkap ADUN Sungai Dua.

Majlis makan malam ini turut disertai oleh YB Dato Jahara Hamid Ketua Wanita UMNO Bahagian Tasek Gelugor merangkap ADUN Teluk Air Tawar serta Saudara Hasbul Hazani Daud Ketua Sayap Pemuda dan Saudari Norhafizah Othman Ketua Sayap Puteri bahagian. 

Malah seluruh kepimpinan dan ahli UMNO di peringkat bahagian yang hadir ke Persidangan Agung UMNO 2012 turut di jemput bagi sama-sama menjayakan majlis makan malam yang diadakan.

Rata-rata ahli yang ditemui melahirkan rasa gembira mereka kerana selain dapat mengikuti persidangan mereka juga turut di rai serta dihargai dalam majlis seperti ini.








Majlis yang diadakan pada setiap tahun ini merupakan satu program yang di atur oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor bagi merapatkan lagi ikatan persahabatan dan ukhwah sesama ahli UMNO khususnya bagi memantapkan lagi gandingan seluruh saf pimpinan khususnya dalam menghadapi pilihan raya ke-13 nanti.

Semoga Tasek Gelugor terus maju dan makmur di bawah UMNO dan Barisan Nasional !

Tuesday 11 December 2012

Ziarah Jenazah Ketua UMNO Cawangan


Tasek Gelugor - YB Ustaz Shabudin Yahya Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor merangkap ADUN Permatang Berangan meluangkan masanya menziarahi keluarga allahyarham En Ismail Mohamed , Ketua UMNO Cawangan Permatang Manggis yang telah pulang keramahtullah pada jam 8.30 pagi di Hospital Kepala Batas pada usia 63 tahun. Allahyarham telah selamat dikebumikan pada jam 3.00 petang di Tanah Perkuburan Tasek Gelugor -AL FATIHAH

Begitulah rutin aktiviti YB Ketua UMNO Bahagian apabila berada di kawasan.Beliau pastinya tidak akan melepaskan peluang melakukan lawatan mahupun bersama masyarakat dalam setiap program yang dianjurkan.


Malah kesempatan ini juga digunakan bagi bertemu dengan masyarakat yang barangkali mempunyai masalah yang memerlukan perhatian beliau untuk di selesaikan.


Sebagai Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor begitulah perjalanan dan aktiviti hariannya bertemu  dan cuba menyelesaikan permasalahan rakyat.Sejajar dengan hasrat YAB Perdana Menteri yang mahukan supaya "Rakyat Di Dahulukan , Pencapaian Di Utamakan".

Monday 10 December 2012

YB Dato Jasmin Mohamed Bersama Perwakilan UMNO Negeri Pulau Pinang & UMNO Bahagian Tasek Gelugor


Siapa yang tak kenal dengan YB Dato Jasmin Mohamed ADUN Sungai Dua merangkap Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor yang sentiasa di senangi masyarakat khususnya di Sungai Dua Tasek Gelugor.

Antara pemimpin UMNO yang sering menjadi igauan ngeri buat Guan Eng selaku Ketua Menteri Pulau Pinang apabila berada dalam sidang DUN.Malah kehadiran beliau bersama-sama rakan-rakan ADUN lainnya dirasakan cukup penting bagi survival orang Melayu khususnya di Pulau Pinang.

Berikut adalah gambar-gambar YB Dato Jasmin Mohamed sewaktu menghadiri Persidangan Agung UMNO 2012 baru-baru ini.





YB Dato Jasmin Mohamed merupakan antara pemimpin UMNO di Tasek Gelugor yang mudah didekati apatah lagi dalam memberikan khidmat kepada masyarakat.Perwatakan beliau yang sederhana dan mudah mesra ini menjadikan beliau antara pemimpin yang di sayangi oleh ahli-ahli UMNO di Tasek Gelugor.

Semoga Dato Jasmin Mohamed terus sukses "Dulu Kini & Selamanya".

Sunday 9 December 2012

Malaysia Perlukan Modal Insan Berkualiti & Berkemahiran


KEPALA BATAS – Malaysia memerlukan modal insan berkemahiran tinggi dan berkualiti sebagai persiapan menghadapi cabaran global pada masa depan serta menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan komited menyediakan pelbagai kemudahan dan infrastruktur di semua institusi pendidikan termasuk sekolah bagi memastikan setiap pelajar dapat mengikuti proses pembelajaran dengan selesa.

“Selain itu, kerajaan juga telah menyediakan pelbagai program dan insentif bagi memastikan bidang ilmu yang diajar sesuai dengan kehendak dan permintaan semasa industri.

“Kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai langkah dan pendekatan dalam usaha memastikan tiada pelajar yang keciciran dalam mendapat pendidikan,” katanya pada majlis penyampaian penghargaan kepada 290 pelajar cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi sekolah dalam Parlimen Tasek Gelugor di Sekolah Menengah Kebangsaan, Desa Murni, Sungai Dua.

Nor Mohamed juga menegaskan setiap pelajar harus menjadikan pencapaian yang diperoleh sebagai pembakar semangat untuk terus maju serta menjadi contoh terbaik kepada pelajar lain.

“Kejayaan yang diperoleh hari ini seharusnya dijadikan pendorong untuk kejayaan lebih besar pada masa akan datang, terus berusaha demi pencapaian yang lebih membanggakan demi bangsa, agama dan negara,” katanya.

Oleh itu, kerajaan telah menyediakan peruntukan yang besar dalam pendidikan pada pembentangan Belanjawan 2013, dan ia adalah sebagai bukti bahawa barisan kepimpinan negara amat menitikberat rakyatnya menimba ilmu melalui pendidikan.

Beliau berkata hanya dengan ilmu seseorang mampu mengubah nasib diri dan keluarga dan ia mampu menjadikan sesebuah negara itu dihormati dan disegani di peringkat yang lebih tinggi.  – Bernama.

DAP Mahu Nik Aziz Ubah Hukum Islam Agar Pakatan Menang.


DAP khuatir tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB- BRI) mengeluarkan saman berhubung kesalahan 'khalwat' ke atas dua pasangan, masing-masing di lokasi awam berhampiran lapangan terbang dan taman baru-baru ini, boleh menjejaskan kerjasama dalam Pakatan Rakyat (PR). 

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, meskipun notis saman yang dikeluarkan berkaitan dengan kelakuan 'tidak senonoh', parti-parti musuh PR dan media mereka sudah mula memutarbelitkan tindakan majlis itu sebagai kes khalwat dan kononnya cuba mengenakan undang-undang Islam ke atas bukan Muslim. Ia kontroversi kedua dalam tempoh kurang sebulan ini membabitkan bukan Islam dan majlis itu.

"Jika Kerajaan Pas Kelantan gagal bertindak ke atas pihak-pihak mensabotaj dalam MPKB-BRI, yang mengeluarkan saman ke atas pasangan bukan Islam berhubung kelakuan tidak senonoh, ini secara tidak langsung akan memperlekehkan mesej PR yang menghormati kebebasan beragama dan akan menjejaskan kerjasama yang sedia wujud dalam PR," kata beliau dalam satu kenyataan, semalam. 

Laporan muka depan mengenai kontroversi terbaru ini dibawa oleh akhbar semalam. Akhbar terbabit memetik Ketua Pemuda MCA Kelantan, Gan Han Chuan berkata, pegawai MPKB-BRI bertindak keterlaluan dengan cuba mengenakan 'hukum hudud' ke atas bukan Islam. "Ini kali pertama dalam sejarah bukan Islam diberi saman atas kesalahan khalwat," katanya.

Salah satu pasangan, berusia 30-an, dikenakan saman semasa berada dalam kereta di tepi Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra pada waktu malam manakala pasangan yang lain, berusia 17 dan 15 tahun, berada di Taman Tengku Anis pada siang hari. 

Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas, Hu Pang Chaw pula berkata, kedua-dua mangsa lelaki mendakwa pegawai-pegawai yang menahan mereka meminta wang RM500 untuk menyelesaikan kes mereka. "Dengan jelas, pegawai-pegawai majlis menyalahgunakan kuasa mereka dan tindakan segera diperlukan untuk membersihkan nama Kerajaan Negeri Kelantan, yang bebas dan bersih daripada amalan rasuah, dan daripada kebimbangan bahawa hak bukan Islam tidak dihormati dengan penguatkuasaan undang-undang Islam," katanya.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, beliau sudah menghubungi Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali yang menjanjikan bahawa akan berhubung dengan Kelantan dan menyelesaikan perkara tersebut. 

"Saya ada memberitahu Datuk Mustafa tentang keperluan melihat isu ini dengan serius bagi mengelakkan kepercayaan bersama dan kerjasama kuat dalam PR yang sedia terjalin terjejas. "Saya juga telah mengarahkan Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Liew Chin Tong agar berkomunikasi dengan kepimpinan Pas bagi mencapai penyelesaian segera dalam isu-isu berkaitan dengan dakwaan bahawa bukan Islam tertakluk kepada undang-undang Islam," katanya lagi.

Gotong Royong Perdana DUN Teluk Air Tawar


YB Dato Hjh Jahara Hamid ADUN Teluk Air Tawar sekali lagi turun padang bersama masyarakat kali ini dalam Program Gotong Royong Perdana DUN Teluk Air Tawar yang dijalankan pada 24 November 2012 yang lalu.

UMNO cawangan Teluk Air Tawar telah dipilih sebagai tuan rumah pada kali ini dan program yang turut mendapat sokongan daripada Ketua UMNO Bahagian YB Ustaz Shabudin Yahya ini telah mendapat penyertaan bukan saja dari kepimpinan di kawasan tetapi turut di sertai oleh sayap pemuda dan masyarakat setempat.




"Program ini merupakan wadah ataupun khidmat masyarakat yang sentiasa kita (UMNO) di DUN Teluk Air Tawar berikan kepada masyarakat kerana kita tahu bahawa keselesaan dan kesihatan penduduk adalah penting bagi membina kehidupan keluarga yang sihat" antara kata-kata daripada Saudara Huszaimi Abu Hasan Penyelaras Pemuda UMNO Bahagian bagi KADUN Teluk Air Tawar sewaktu di temui.


Program yang berakhir sehingga jam 1.00 petang ini ternyata memberikan kepuasan kepada seluruh jentera yang sama-sama menyumbang tenaga dan ianya bukan saja dapat memupuk semangat kerja berpasukan tetapi juga mampu mengeratkan lagi hubungan diantara pemimpin dan masyarakat.

Tahniah buat YB Dato Jahara Hamid selaku ADUN Teluk Air Tawar beserta seluruh jenteranya kerana berjaya menganjurkan program Gotong Royong Perdana ini semoga program seterusnya akan terus mendapat sokongan daripada masyarakat setempat.

Saturday 8 December 2012

Perkembangan Lawatan YAB PM Di Pulau Pinang


YAB Datuk Seri Najib Tun Razak Perdana Menteri Malaysia kini berada bersama-sama rakyat Pulau Pinang semenjak pagi tadi.Kehadiran beliau yang menjadi perbualan masyarakat membuktikan NAJIB sememangnya mempunyai auranya yang tersendiri sehinggakan semalam juak-juak pembangkang mengelupor bak cacing kepanasan baca sini .

Apa yang boleh TGP gambarkan adalah apa yang berlaku hari ini menyaksikan betapa rakyat semakin muak dengan sikap Pakatan Haprak yang di pimpin oleh Guan Eng selaku Ketua Menteri berlidah cabang.Hari ini rakyat Pulau Pinang benar-benar membuktikan bahawa mereka menolak Pakatan Haprak dan memilih UMNO dan Barisan Nasional.

Berikut adalah beberapa gambar sepanjang Najib bersama rakyat semenjak pagi tadi.






Dalam masa yang sama YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berjanji untuk memberi dua hadiah besar kepada rakyat Pulau Pinang iaitu pembinaan 20,000 unit rumah mampu milik dan perkhidmatan monorel jika Barisan Nasional (BN) diberi mandat semula untuk memerintah negeri ini.

Katanya, 10,000 unit rumah mampu milik itu akan dibina dalam masa terdekat di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) manakala baki 10,000 unit akan dibina oleh agensi-agensi kerajaan termasuk JKP Sdn. Bhd., Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB).

"Rumah-rumah itu akan dijual di bawah harga pasaran untuk rakyat Pulau Pinang, contohnya jika rumah itu harga pasarannya RM500,000 kita jual dengan harga RM300,000 sahaja," katanya ketika berucap melancarkan Program Jelajah Janji Ditepati di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini.

Yang pasti kehadiran Najib bagi mengotakan janjinya bersesuaian dengan program yang diadakan Jelajah Janji Di Tepati.Lagi gambar dan laporan

Diharap dengan sokongan yang ditampilkan terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib ini, BN akan kembali memperolehi mandat yang besar pada PRU13 nanti.

Hidup BN !

sumber MMI 

Friday 7 December 2012

Jelajah Janji Di Tepati Pulau Pinang


Kelihatan dalam gambar YB Tan Sri Nor Mohamed Yakcop Ahli Parlimen Tasek Gelugor merangkap Menteri Di Jabatan Perdana Menteri sedang melakukan tinjauan bagi persiapan Program Janji Di Tepati yang akan diadakan pada 8 Disember 2012 bertempat di Padang Kawad USM Pulau Pinang.

Program tersebut akan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak pada jam 10.00 pagi besok.


Kepada semua rakyat Pulau Pinang , jom sama-sama kita hadir memberikan sokongan padu kepada YAB Perdana Menteri yang kita sayangi.Jumpa TGP di sana..

Thursday 6 December 2012

Guan Eng Terdesak Semai Sentimen Benci UMNO


Ketua Menteri, Lim Guan Eng dikatakan berada dalam keadaan begitu terdesak sehingga sanggup menanam perasaan benci terhadap UMNO ketika menghadiri satu majlis makan malam yang dihadiri oleh penganut pelbagai agama.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, sebagai pemimpin tertinggi kerajaan negeri, Guan Eng sepatutnya mengajak para hadirin mengamalkan kasih sayang, toleransi dan keharmonian sesama mereka.

Menurutnya, Setiausaha Agung DAP itu sewajarnya memastikan perpaduan kaum terus diperkuatkan, bukannya menyebar fitnah yang boleh menyebabkan rakyat beranggapan UMNO merupakan sebuah parti ekstremis.

"UMNO Pulau Pinang amat dukacita dan kecewa dengan ucapan tidak bertanggungjawab Guan Eng dalam sebuah majlis dihadiri oleh kumpulan pelbagai agama baru-baru ini yang dilihat melampaui batas-batas politik," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Rakyat perlu bijak menyaring siapa sebenarnya Guan Eng.

Pakatan Sudah Goyah,Guan Eng Takut Dengan UMNO/BN.


Walaupun keyakinan yang tinggi ditunjukkan oleh para pemimpin DAP dalam konvensyen negeri, namun setiausaha agung parti itu, Lim Guan Eng mengingatkan ahli-ahli parti supaya jangan mengambil mudah potensi saingan politiknya. Lim (kiri) mengingatkan mereka supaya jangan memandang ringan kemampunan BN dan Umno, bukan sahaja untuk memenangi majoriti dua pertiga di peringkat pusat tetapi juga untuk menawan semula Pulau Pinang dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau mengingatkan mereka supaya jangan memandang rendah keberkesanan pembohongan, ancaman dan politik wang serta sentimen perkauman dan melampau. 

Berucap merasmikan konvensyen DAP Pulau Pinang hari ini, Lim mendakwa bahawa Umno adalah pakar dalam taktik-taktik kotor tersebut. Lim berkata, pemimpin dan ahli-ahli DAP tidak takut kalah tetapi tetapi tegasnya, rakyat Pulau Pinang tidak boleh kehilangan masa depan mereka kepada Umno dan BN. "Jika kita kalah, rakyat juga akan rugi," katanya disambut tepukan gemuruh hadirin.

Beliau menambah bahawa pilihan raya akan datang akan menentukan bukan sahaja nasib DAP tetapi nasib rakyat. 

Lim memberi amaran jika BN kembali berkuasa di negeri itu, Umno akan memastikan semua "program emas" Pakatan Rakyat untuk rakyat serta peruntukan tahunan kepada sekolah-sekolah, akan tidak ada lagi. Umno, dakwanya, akan memastikan pembaharuan demokrasi dan langkah-langkah integriti akan digantikan oleh rejim yang menindas dan zalim yang korup. 

Umno juga, dakwanya, akan memastikan kerajaan yang mesra rakyat akan digantikan oleh kerajaan yang didorong oleh kroni.

Puad Zarkashi BIDAS Guan Eng Fitnah BN Hapus Peruntukan Sekolah Jika Rampas PP


GEORGETOWN - Timbalan Menteri Pelajaran Mohd Puad Zarkashi menafikan dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bahawa semua 'program emas' pakatan pembangkang, termasuk bantuan sekolah, akan terhapus jika Barisan Nasional (BN) kembali menguasai negeri ini.

Beliau berkata dakwaan itu tidak benar sama sekali kerana selama ini kerajaan Persekutuan yang ditabdir BN banyak menyalur peruntukan untuk pelbagai program di negeri ini, termasuk membabitkan pendidikan.

"Kementerian Pelajaran telah membelanjakan sebanyak RM3.8 bilion bagi tujuan pendidikan di seluruh negara tidak terkecuali Pulau Pinang, peruntukan itu tidak termasuk bantuan untuk menaik taraf sekolah.

"Saya nak tanya juga kepada Ketua Menteri, apa bentuk bantuan yang dia bagi untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah  Agama Rakyat (SAR)dan Sekolah Mubaligh," katanya kepada pemberita hari ini.

Mohd Puad berkata demikian ketika mengulas kenyataan Lim yang memberi amaran kepada anggota parti DAP jika BN kembali berkuasa di Pulau Pinang, Umno akan memastikan semua program emas untuk rakyat serta peruntukan tahunan kepada sekolah, tidak ada lagi.

Lim dilapor membuat kenyataan itu dalam ucapannya ketika merasmikan konvensyen DAP semalam.

"Saya juga nak tahu di mana tanah yang diberikan untuk membina SJKC dan SJKT, setiap tahun Kementerian Pelajaran menerima sejumlah peruntukan yang tinggi dan diberikan secara adil untuk semua sekolah di seluruh negara," katanya.

Terdahulu, Mohd Puad merasmikan program 'Kembali ke Sekolah 2012' serta menyampaikan bantuan peralatan sekolah kepada 400 pelajar dari 19 sekolah di bawah program 'Intel Involved Matching Grant' (IIMGP) dan empat badan amal.

Selain itu, sebanyak 100 unit komputer riba terpakai juga diberi kepada sekolah dan badan amal terpilih untuk kegunaan pembelajaran serta pengajaran guru dan pelajar.

Kerajaan DAP Tak Serius Tarik Pelancong Ke P.Pinang


Seramai 1.1 juta pelancong yang majoriti dari luar negara memasuki negeri ini menerusi Terminal Kapal Persiaran Jeti Swettenham di sini setiap tahun.

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) negeri, Tan Cheng Liang berkata, kejayaan itu meletakkan Pulau Pinang di tangga teratas dalam menerima kedatangan penumpang kapal persiaran antarabangsa mengalahkan Pelabuhan Klang, Pulau Langkawi, Melaka, Kota Kinabalu dan Kuching.

Menurutnya, kehadiran jumlah besar pelancong itu juga membolehkan sebanyak RM300,000 hasil pendapatan dijana untuk rakyat di negeri ini khususnya kepada golongan penjaja, pengayuh beca dan pemandu teksi. "Dianggarkan 70,000 hingga 80,000 orang pelancong menggunakan kemudahan pelabuhan tersebut setiap bulan.

"Sejak Januari hingga Oktober lalu, seramai 910,890 pelancong memasuki Pulau Pinang dari pelabuhan berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Bagaimanapun Cheng Liang yang juga bekas Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) kesal dengan sikap kerajaan DAP Pulau Pinang kerana tidak serius membantu Kerajaan Persekutuan untuk menjadikan negeri ini sebagai lokasi pelancongan utama.

Jelasnya, tindakan Ketua Menteri, Lim Guan Eng membatalkan permohonan daripada PPC untuk membaharui kebenaran menduduki tanah di situ menyebabkan Terminal Kapal Persiaran Jeti Swettenham sehingga kini masih belum menerima sijil layak menduduki.

"Saya nak tanya Guan Eng, apakah agenda dia membatalkan pembaharuan untuk menduduki tanah ini? "Kenapa dia tidak membantu kita (Kerajaan Pusat) sedangkan kita mahu membantunya dan rakyat Pulau Pinang?" ujarnya.

Pelaburan Merosot , Bukti Kegagalan Kerajaan DAP - Muhkriz


PULAU PINANG 4 Dis. - Kerajaan DAP Pulau Pinang gagal menarik pelabur asing ke negeri ini berikutan kemerosotan jumlah pelaburan yang dicatatkan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, sehingga Jun lalu, hanya sejumlah RM1.8 bilion pelaburan asing yang diterima Pulau Pinang iaitu jauh merosot berbanding RM10 bilion pada 2010.

"Ketika ini Pulau Pinang berada di tangga kelapan di belakang Selangor, Johor, Sabah, Sarawak, Terengganu, Negeri Sembilan, Perak dan Kuala Lumpur.

"Proses menarik pelabur tidak berlaku sekelip mata sebaliknya memakan masa antara tiga hingga empat tahun. Ini bermakna sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada 2008, kerajaan negeri gagal melaksanakan tugas mereka walaupun Kerajaan Pusat melalui pelbagai agensi berusaha membantu," katanya. Beliau berkata demikian pada majlis taklimat pelaburan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan penyelaras kawasan Barisan Nasional (BN) di sini hari ini.

Tegas Mukhriz, ini bermakna prestasi cemerlang yang dicapai Pulau Pinang pada 2010 adalah berpunca daripada usaha kerajaan BN yang mempromosikan peluang pelaburan sekitar 2006 dan 2007. Mengenai kemerosotan pelaburan yang dialami negeri ini pada tahun ini, Mukhriz berkata, kekuatan ekonomi Pulau Pinang yang bergantung kepada eksport barangan elektrik dan elektronik juga dikenal pasti sebagai punca kerana ketika ini peringkat global industri itu mengalami kelembapan.

"Selain itu, pelabur juga akan melihat iklim politik di samping perkara lain seperti kemudahan infrastruktur sebelum membuat keputusan. "Ketika saya mengadakan rombongan mempromosikan perdagangan di Jepun pada tahun lepas, usahawan dari negara terbabit meminta jaminan tentang keselamatan di negara ini supaya yakin perniagaan mereka akan selamat," katanya.

Ujarnya, hal demikian kerana beberapa minggu sebelum lawatan itu berlaku perhimpunan Bersih yang mengakibatkan kekacauan dan kejadian tersebut telah memberi persepsi buruk tentang negara di mata pelabur Jepun.

"Selama ini mereka difahamkan Malaysia adalah negara yang selamat dan tidak berlaku keadaan rusuhan seperti di Jakarta dan Bangkok," katanya.

Wednesday 5 December 2012

Salam Memulakan Rentak


Salam perjuangan buat semua semoga kita akan terus dirahmati oleh Allah swt.Tasek Gelugor Portal memohon izin semua untuk sama-sama bangun berjuang bagi memperkasakan maruah bangsa,memartabatkan agama Islam dan mempertahankan kemerdekaan yang kini makin di carik-carik oleh segelintir mereka di luar sana.

Maka dengan kesedaran itu maka lahirlah Tasek Gelugor Portal khusus bagi memberikan input dan menyampaikan maklumat berkaitan suasana politik dalam parlimen Tasek Gelugor apatah lagi dalam suasana yang semakin hampir dengan pilihan raya ke-13.

Semoga Tasek Gelugor Portal dapat menyumbang sesuatu kepada perjuangan UMNO dan Barisan Nasional di bumi Tasek Gelugor.

Rentak bakal di mulakan...

Terima kasih.