Saturday 9 November 2013

UMNO Pulau Pinang Cadang Badan Khas Kaji Gabungan UMNO-PAS


KEPALA BATAS - Umno Pulau Pinang mencadangkan agar satu badan khas ditubuhkan bagi menjalankan kajian di peringkat akar umbi Umno dan Pas sama ada mereka mahu dua parti itu bergabung demi kepentingan orang Islam di negara ini.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Shabudin Yahya berkata, sudah sampai masanya, biar rakyat menjadi penentu sama ada kedua-dua parti itu perlu bergabung atau sebaliknya.

Katanya ia juga bagi menggantikan kaedah perbincangan di peringkat  pemimpin kedua-dua parti yang telah dilaksanakan sebelum ini dan tidak pernah menemui keputusan bagi mewujudkan kerjasama itu.

"Menerusi kajian oleh badan bebas itu, pemimpin kedua-dua parti boleh menilai sendiri kehendak ahli sama ada kerjasama antara kedua-dua parti itu   perlu diwujudkan demi memartabatkan agama Islam dan orang Melayu ataupun tidak.

"Jangan tunggu nasi sudah jadi bubur baru hendak bertindak (jalin kerjasama) kerana Pas dan Umno pernah bekerjasama sebelum ini dan saya percaya lebih 50 peratus daripada ahli kedua-dua parti mahukan kerjasama ini menjadi kenyataan kerana mereka tahu hanya melalui kerjasama ini sahaja Islam dan Melayu dapat diselamatkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Shabudin yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, kajian itu juga penting kerana sebelum ini mungkin suara mereka yang mahukan Pas dan Umno bergabung tidak sampai ke pucuk pimpinan. 

"Jika hasil kajian itu nanti menunjukkan majoriti ahli parti mahukan kerjasama ini direalisasikan, maka pemimpin kedua-dua parti harus mengadakan perbincangan meja bulat dan cari kaedah yang sesuai untuk memastikan kerjasama itu terjalin. Kita harus ambil kira suara mereka," katanya.

Shabudin berkata, Pas juga perlu menilai cadangan Pengerusi DAP, Karpal Singh pada Selasa lepas yang mahu parti politik atau persatuan yang berasaskan kaum dan agama dibatalkan pendaftaran atau diubah suai agar boleh disertai oleh semua rakyat tanpa mengira batasan kaum dan agama.

Katanya kenyataan itu seolah-olah menyindir Pas dan sudah sampai masanya parti itu melihat semula kerjasamanya dengan DAP dan PKR.

"Saya pelik, Pas masih boleh menerima DAP sebagai rakan sedangkan rakannya itu (DAP) seolah-olah cuba 'menolak' dan menyindir Pas, tengoklah  kenyataan Karpal yang tidak mahu parti politik berasaskan kaum dan agama, ini  bukan kali pertama mereka buat begitu kepada Pas.

"Pada saya DAP juga bukanlah parti untuk semua dan hanya untuk  keluarga tertentu sahaja, mereka bukanlah sebuah parti untuk semua kaum  seperti yang selalu dilaung-laungkan," katanya. - Bernama

TGP

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahya Jelaskan Isu KORBAN Di Sekolah


Susulan tindakan pihak-pihak tertentu yang sebelum ini mempertikaikan tentang ibadah korban yang di jalankan di kawasan sekolah kononnya tidak menghormati hak bangsa lain akhirnya di jawab oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shahabudin Yahya menegur M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) supaya tidak membesar-besarkan isu sembelihan korban di sekolah susulan percanggahan kenyataan antara menteri pendidikan dan timbalannya mengenai isu tersebut.

Shahabudin yang bangun mencelah sewaktu ahli parlimen DAP itu membahaskan Bajet 2014 - berkata perkara itu adalah sebahagian daripada subjek yang termasuk dalam mata pelajaran fekah yang diajar di sekolah.

"Isu penyembelihan di kawasan sekolah itu bukan dibuat di hadapan pelajar bukan Islam. Mereka tak terlibat pun dan tak dijemput pun untuk ke majlis berkenaan.

"Dan penyembelih lembu korban itu bukan merupakan penyembelihan biasa. 

"Ia merupakan sebahagian daripada subjek dan korban dalam subjek agama Islam ia diajar di sekolah-sekolah termasuk dalam subjek fekah," katanya.

Shahabudin berkata majlis korban tersebut dibuat bagi mendedahkan praktikal sembelihan dengan betul dan ia sewajarnya dibuat.

"Dan ia merupakan program eksklusif. Jadi tidak timbul isu sentimen kecil hati (kaum lain)," katanya.

Isu tersebut menjadi panas sebelum ini apabila beberapa pihak tampil mempertikaikan tentang penyembelihan lembu korban di kawasan sekolah sehingga melibatkan Timbalan Menteri Pendidikan P.Kamalanathan.


Bagaimanapun isu itu dianggap selesai apabila Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata Kementerian Pelajaran membenarkan ibadah korban dijalankan dalam kawasan sekolah jika ia tidak membabitkan sensitiviti kaum lain. 

Justeru ibadah itu boleh dilakukan tanpa halangan jika ia melibatkan sekolah yang mempunyai majoriti pelajar dan guru beragama Islam. 

"Kementerian Pendidikan Malaysia tidak akan menghalang upacara korban di sekolah-sekolah. 



"Tapi setiap program perlu mengambil kira sensitiviti kaum lain di sekolah tersebut dan dilaksanakan dengan sifat saling hormat-menghormati," demikian menurut beliau melalui laman Facebooknya. 

TGP