Saturday, 8 September 2018

Bukan Hanya PM Tak Puas Hati, Rakyat Pun Dukacita Dengan Kabinet PH


KUALA LUMPUR, 8 Sept – Bukan sahaja Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak puas hati tetapi pelbagai pihak punyai perasaan yang sama malah jika penilaian prestasi Kabinet Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dibuat oleh rakyat sangat jelas ia memang mendukacitakan sekali, kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Kata beliau, hakikatnya, kenyataan atau komen Perdana Menteri terhadap Menteri Kabinetnya bukan sekali atau perkara baru kerana telah beberapa kali.

“Ini mengambarkan bahawa teguran atau komen itu sangat serius dan sepatutnya mestilah disusuli dengan tindakan oleh anggota kabinet Kerajaan PH sebagai respon untuk melakukan perubahan.

“Umpamanya isu perlantikan Menteri Pendidikan di UIAM, apabila Perdana Menteri sendiri membuat komen ini menunjukkan sesuatu yang tidak kena.

“Justeru itulah, saya nampak perubahan tidak dilakukan dan ini menampakkan kelemahan ketara kepada Kerajaan PH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada beliau, kalau dikatakan bahawa mereka baru dan tiada pengalaman ia suatu yang tidak boleh diterima kerana sudah lebih empat bulan Kerajaan PH memerintah negara ini malah kerajaan di dokong oleh kakitangan kerajaan yang berpengalaman.

“Kemudian, sangat tidak adil jika Perdana Menteri menyalahkan kakitangan kerajaan bila mana berlaku kelemahan prestasi kerajaan. Apatah lagi jika mendakwa mereka terlalu taksub kepada Barisan Nasional (BN) yakni kerajaan terdahulu.

“Ini kerana sewaktu BN memerintah pun bukan semua kakitangan kerajaan menyokong BN jadi keadaan yang sama juga berlaku sebenarnya. Malah, prestasi kerajaan sangat baik.

“Pada saya, yang penting ialah pemimpin kerana kakitangan akan melaksanakan semua arahan jika pemimpin punyai wawasan, berwibawa, dan dihormati serta nilai positif yang lain. Namun jika semua nilai ini kurang ia akan menyebabkan prestasi yang diharapkan tidak tercapai. Inilah yang berlaku pada Kerajaan PH.”

Dari keadaan itulah, katanya, kita boleh menilai selain daripada pelbagai janji yang tidak tertunai, persoalan yang boleh ditanya kepada pimpinan Kerajaan PH ialah apa program baru yang lebih baik dari Kerajaan BN dibuat oleh Kerajaan PH baik dalam sektor pendidikan,sektor ekonomi, sektor pertanian dan sebagainya?

“Jawapannya ialah hampir tiada langsung perkara baru. Ini kerana apa yang dibuat sekarang hanya dari apa yang dibuat oleh kerajaan terdahulu malah kalau nampak baru pun hanyalah ” tukar kulit ” semata mata.

“Pada saya tidak kiralah siapa mencadang barisan kabinetnya. Ini kerana Perdana Menteri bertanggungjawab terhadap kerja dan prestasi mereka apatah lagi beliau punyai kuasa mutlak melantik atau mengugurkan mereka. Jadi jika prestasi mereka mendukacitakan ia juga mengambarkan kelemahan Perdana Menteri sendiri.

“Selain itu, teguran Perdana Menteri itu juga mungkin adalah alasan beliau untuk meneruskan peranan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang sepatutnya telah berakhir.”

Tegasnya, paling menduka citakan ialah apabila rakyat yang menerima akibatnya.

“Kenaikan kos sara hidup ketika ini menekan rakyat. Usaha Kerajaan PH setakat ini tidak nampak jelas dan kurang berkesan,malah rakyat dihidangkan dengan pelbagai perkara baru yang membebankan. Rakyat nampaknya sudah terpaksa menerima bebanan kehidupan berbanding ketika Kerajaan BN memerintah,” katanya lagi. – MediaUMNO

Wednesday, 5 September 2018

Gugur Kes Rasuah Guan Eng Serlah Keputusan Dwi Standard Jabatan Peguam Negara ?


PULAU PINANG 5 Sept. - Tindakan Jabatan Peguam Negara menarik balik kes rasuah membabitkan Kementerian Kewangan, Lim Guan Eng memperlihatkan wujudnya keputusan dwi standard atau berpilih dalam amalan perundangan negara.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, ini kerana kes itu digugurkan ketika perbicaraan sedang berlangsung manakala semua proses siasatan sudah dilengkapkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sedangkan, kata beliau, terdapat kes tertentu membabitkan pemimpin Barisan Nasional (BN) sebelum ini sudah dibawa ke peringkat pendakwaan sedangkan siasatannya oleh SPRM belum selesai dan masih berjalan.

“Ini memperlihatkan kepincangan yang ketara dalam sistem perundangan negara dan seolah-olah institusi kehakiman kini bukan lagi badan teratas dan melangkaui kepentingan politik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Musa yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam turut mempersoal kemampuan dan kredibiliti Jabatan Peguam Negara yang lebih awal membuat kesimpulan akan kalah dalam kes rasuah membabitkan Guan Eng tersebut.

Katanya, perkara itu menimbulkan keraguan memandangkan perbicaraan kes berkenaan hanya berlangsung separuh jalan dan masih ramai saksi belum dipanggil untuk memberi keterangan.

“Tidakkah pengakuan ini memberi mesej yang salah kepada rakyat berhubung krebiliti Jabatan Peguam Negara dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka terutama dalam membanteras perbuatan salah laku di negara ini?” katanya. - Utusan Online

Tuesday, 4 September 2018

Babi Hutan Ganggu Penduduk


BUTTERWORTH 2 Sept. - Saban hari penduduk Kampung Tok Adam dekat Sungai Dua di sini dihantui kebimbangan berikutan kemunculan beberapa ekor babi hutan yang keluar dari semak berhampiran rumah penduduk di situ.

Keadaan tanah kosong yang dipenuhi semak-samun serta menjadi tempat pembuangan sampah juga dipercayai menjadi punca babi hutan semakin kerap kelihatan di kawasan tersebut kebelakangan ini.

Seorang penduduk, Lizawati Othman, 35 berkata, rumahnya hanya terletak 80 meter dari kawasan semak itu dan dia sering ternampak beberapa ekor babi hutan berkeliaran di kawasan tersebut.

“Kami bimbang haiwan itu menuju ke kawasan rumah yang pastinya membahayakan nyawa penduduk terutamanya kanak-kanak dan warga emas.

“Tanah kosong ini milik persendirian tetapi dibiarkan kosong sejak sekian lama. Tindakan pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah di kawasan itu lebih memburukkan keadaan kerana ia menjadi makanan babi,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, penduduk, Bariah Shaari, 74, memberitahu, dia pernah beberapa kali terse­rempak dengan haiwan itu ketika melintasi kawasan semak terbabit untuk ke jalan utama ­kampung itu.

Jelasnya, biarpun tiada insiden babi menyerang penduduk, dia berharap tindakan segera diambil bagi mengelakkannya daripada berlaku.

“Ramai yang tinggal di kawasan ini merupakan warga emas jadi kami bimbang kalau haiwan ini menyerang orang kampung. kami harap isu ini diatasi segera,” ujar­nya.

Perkara itu turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Mohamad Yusoff Mohd. Noor yang mengarahkan Jabatan Perlin­dungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memasang perangkap di kawasan tersebut.

Selain itu, menurut Mohamad Yusoff, perangkap monyet turut dipasang di kampung ber­kenaan bagi membanteras haiwan terbabit yang sering merosakkan rumah serta tanaman milik penduduk.

“Saya sudah bangkitkan per­kara ini dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Per­hilitan datang pasang perangkap babi dan monyet di kampung ini. Saya berharap usaha ini akan berhasil dalam mengatasi masalah ini,” katanya.

Mohamad Yusoff menambah, beliau turut meminta Pejabat Daerah Seberang Perai Utara untuk mengesan pemilik tanah kosong terbabit dan mengarahkannya supaya membersihkan kawasan berkenaan.- Utusan Online

Friday, 31 August 2018

Isteri Buntu Hilang Tempat Bergantung


TASEK GELUGOR 30 Ogos - Segalanya berubah sekelip mata bagi Siti Azizah Abu Hassan apabila suami tersayang yang dahulunya aktif kini terpaksa terbaring di atas katil selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Suaminya, Mohammad Firdaus Norizan terpaksa menerima hakikat kehilangan kaki kanan sehingga pangkal paha selepas dirempuh kereta di Jalan Permatang Sungai Dua ketika dalam perjalanan ke tempat kerja pada 13 Ogos lalu.

Menurut Siti Azizah, suaminya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Seberang Jaya selama empat hari sebelum dipindahkan ke wad biasa dan dibenarkan keluar dari hospital 20 Ogos lalu.

“Segalanya bagai mimpi buat saya kerana pada pagi hari kejadian, suami saya ceria ketika keluar dari rumah untuk ke tempat kerja di kawasan Perindustrian Perai sebelum saya terima panggilan dia terlibat kemalangan.

“Biarpun saya juga bekerja, namun beban terasa kerana suami pun sudah hilang upaya untuk berjalan sebab hilang sebelah kaki dan tangan kanannya juga patah teruk,” katanya yang bekerja di Bayan Lepas, di sini hari ini.

Katanya, dia kini buntu kerana suaminya hanya bekerja dengan gaji harian dan pendapatannya juga tidak seberapa untuk menampung keperluan rawatan se­perti ubat-ubatan dan lampin pakai buang.

Namun, katanya, dia beruntung kerana tinggal bersama keluarga suaminya di Kampung Pokok Sena di sini dan mampu membantu menguruskan suaminya.

Perkara itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Mohamad Yusoff Mohd. Noor yang tampil menghulurkan bantuan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seberang Perai Utara.

Mohamad Yusoff berkata, beliau merujuk kes Mohammad Firdaus kepada Pertubuhan Ke­selamatan Sosial (Perkeso) yang menguruskan proses untuk mendapatkan pencen ilat dan faedah hilang upaya kekal.

“Sekarang dia hilang upaya dan tidak mampu bekerja, jadi saya rujuk kes ini kepada Perkeso dan JKM yang akan menguruskan faedah yang sesuai untuknya.

“Pada masa sama, saya dimaklumkan pihak Jawatankuasa Kariah Masjid juga menguruskan bantuan menerusi Zakat Pulau Pinang kepada Mohammad Firdaus,” katanya dalam program Ziarah Kasih di sekitar DUN itu.

Mohamad Yusoff yang juga Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor turut menziarahi pasa­ngan Harun Man yang menghidap alzheimer dan isterinya, Rahmah Awang yang tidak dapat berjalan di rumah mereka di Merbau Kudung.- Utusan Online