Sunday, 28 December 2014

RM500 Juta Di Luluskan Untuk Mangsa Banjir

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bantuan khas RM500 juta kepada mangsa banjir di negeri yang dilanda bencana itu.

Beliau berkata dana itu akan diuruskan sepenuhnya oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan akan mula disalurkan selepas berakhirnya bencana itu.

“Bantuan ini akan diagihkan melalui MKN berdasarkan kriteria yang akan ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan melalui udara di jajahan terjejas teruk akibat banjir seperti Tumpat dan Tanah Merah.

Najib turut mengumumkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), yang dijadual akhir Januari depan, dipercepat kepada pertengahan bulan itu.

Selain itu, bagi meringankan lagi beban mereka yang terjejas, perdana menteri meminta institusi kewangan dan agensi yang menguruskan dana pinjaman menjadualkan semula tempoh pembayaran peminjam.

Mengulas lanjut, Najib berkata dana RM500 juta itu merangkumi bantuan bagi mangsa yang kediaman dan kenderaan mereka rosak akibat banjir.

Beliau bagaimanapun berkata ia tidak meliputi peruntukan yang akan ditentukan kemudian untuk membaiki kerosakan kepada institusi pendidikan, bangunan kerajaan, masjid, surau dan lain-lain.

“JKR (Jabatan Kerja Raya) akan menyelaraskan kerja baik pulih (infrastruktur awam) yang perlu dilakukan sebaik sahaja banjir ini selesai nanti,” katanya.

Beliau menegaskan segala usaha bantuan perlu dilakukan pada tahap semaksimum mungkin oleh semua pihak termasuk agensi kerajaan berkaitan.

Najib berkata beliau dimaklumkan MKN bahawa bencana kali ini amat serius memandangkan ada lokasi tertentu yang sebelum ini tidak pernah dilanda banjir, kali ini terjejas teruk.

“Saya diberitahu keadaan amat kritikal yang mana sesetengah tempat air masih naik, dan ada juga tempat yang tak pernah banjir, kini mengalami keadaan banjir yang begitu serius.

“…dan ada juga tempat di mana mereka (penduduk) terpaksa lari ke atas bukit dan lereng bukit, dan (ada) juga tempat pemulihan banjir yang secara mendadak diwujudkan kerana keadaan banjir di luar dugaan yang berlaku kali ini,” kata Najib.

Sehubungan itu, perdana menteri berharap semua agensi terlibat memastikan tumpuan diberi sepenuhnya kepada usaha menyelamat dan memberi bantuan kepada mangsa banjir.

“Saya amat berharap kerjasama semua pihak untuk pastikan bahawa fasa pertama ini kita dapat beri tumpuan iaitu menyelamat dan beri bantuan seperti makanan, selimut, tikar, lilin dan sebagainya,” katanya.

Perdana menteri menarik perhatian bahawa keadaan lebih runcing kerana air naik begitu tinggi disertai arus begitu deras selain terputus bekalan elektrik.

“Ini bererti bekalan air bersih juga tak dapat disampaikan dan mangsa banjir di tempat pemindahan sementara terpaksa berada dalam gelap tanpa bekalan elektrik,” katanya.

Mengulas sama ada kerajaan pusat akan mengisytiharkan darurat bencana untuk Kelantan, Najib berkata buat masa ini masih belum ada keperluan untuk berbuat demikian selepas mengambil kira implikasi yang akan berlaku.

“Sekiranya kerajaan umumkan darurat, antara implikasi yang akan timbul ialah pihak insurans akan terlepas daripada bayar ganti rugi…dan ganti rugi disebabkan kerosakan harta benda serta kenderaan adalah tinggi.

“Sebab itu kalau kita declare (isytihar darurat), bererti ini termasuk dalam kategori forced measure, dan syarikat insurans tak perlu jelaskan pampasan,” katanya lagi.

Selain itu, perdana menteri berkata segala usaha telah ditingkatkan sepenuhnya seperti dalam keadaan darurat sebenar, dan agensi-agensi berkaitan telah diarah menggiatkan lagi usaha menyelamat dan menambahkan bantuan.

Ditanya mengenai anggaran kemusnahan di seluruh negara akibat bencana ini, beliau berkata, penilaian masih belum dapat dilakukan selagi banjir masih belum reda sepenuhnya.

Dalam sidang media sama, Najib turut berkata beliau amat berbangga dan berterima kasih atas komitmen tinggi dan pengorbanan yang ditunjukkan semua anggota pasukan keselamatan dan penjawat awam di waktu bencana sebegini.

“Memang mereka bertungkus lumus, berkorban besar untuk membantu mangsa banjir. Kerajaan amat menghargai sumbangan yang telah dan sedang dilakukan mereka,” tambahnya - Bernama

2 comments: