Wednesday 8 August 2018

Tolak Usaha Promosi LGBT Sebagai Budaya, Ikon


PULAU PINANG 8 Ogos - Wanita UMNO menolak sekeras-kerasnya usaha pihak tertentu mengangkat golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebagai ikon dalam masyarakat.

Naib Ketuanya, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, selain dilarang semua agama khususnya Islam, budaya dan corak hidup LGBT tidak akan melahirkan modal insan yang harmoni kepada negara.

Ini kerana, menurut beliau, golongan LGBT seperti dibuktikan pakar perubatan merupakan kelompok tertinggi dijangkiti virus HIV dan penyakit AIDS sekali gus memberi ancaman kepada masa depan negara.

“Tidak timbul soal diskriminasi dalam isu ini kerana sebelum ini pun golongan LGBT boleh mendapat perkhidmatan perubatan atau pendidikan sama seperti masyarakat lain.

“Namun, apa yang Wanita UMNO tegaskan adalah kumpulan ini tidak wajar dipromosikan apatah lagi diperlihatkan seolah-olah mendapat pengiktirafan dan sokongan daripada kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai surat terbuka seorang doktor, Dr. Nur Ilyani Mohamed Nawawi kepada, Datin Marina Mahathir berhubung pendirian aktivis hak asasi berkenaan dalam isu membabitkan LGBT.

Dalam pada itu, Norliza yang juga Ketua Wanita UMNO negeri turut menyatakan sokongan penuh kepada Dr. Nur Ilyani dan menggesa semua pihak melihat isu LGBT sebagai penyakit atau permasalahan dalam masyarakat yang perlu ditangani.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan khususnya Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga menubuhkan pasukan khas bagi membantu kumpulan tersebut termasuk menerusi pendekatan kaunseling. – UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment