Sunday 28 December 2014

Pesawat Air Asia Terputus Hubungan

Pesawat AirAsia dalam penerbangan antara Surabaya - Singapura terputus hubungan pagi Ahad 28 Desember 2014.

Perkara tersebut disahkan oleh Pengarah Keselamatan dan Standar AirNav Indonesia, Wisnu Darjono, kepada media Indonesia.

Wisnu menjelaskan, pesawat dijadulkan tiba di Singapura pada 07.20 pagi (08.20 pagi waktu Malaysia).

Namun, pesawat tersebut terputus hubungan di sempadan Indonesia dan Singapura. "Sampai saat ini belum ada komunikasi," ujarnya.

Pesawat jenis Airbus A320-200 ini membawa 155 penumpang, yang terdiri dari 138 penumpang dewasa, 16 kanak-kanak dan satu bayi, dua pilot, lima petugas kabin.

Pesawat diterbangkan oleh Kapten Irianto.

Pesawat berangkat dari Surabaya pada 06.36 waktu Indonesia. Perjalanan dari Singapura ke Surabaya mengambil masa 2 jam 20 minit.

Pesawat terbabit terputus hubungan dalam perjalanan dari Surabaya menuju Singapura pada ketinggian 34 ribu kaki.

"(Hubungan terputus) ketika mendekati Tanjung Pandan, Belitung, di ketinggian 34 ribu kaki," kata Pengaruh Keselamatan dan Standar AirNav Indonesia Wisnu Darjono katanya dipetik media Indonesia Tempo.

Sementara itu, AirAsia Indonesia mengesahkan bahawa penerbangan QZ8501 yang dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura gagal dihubungi oleh pusat kawalan trafik Udara pada pukul 7.24 pagi Ahad.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, syarikat penerbangan tambang murah itu juga mengakui tiada perkembangan terbaharu diperolehi setakat ini.

"Namun kami sentiasa berhubung dengan semua pihak berkaitan untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.

"Pesawat yang gagal dihubungi adalah daripada jenis Airbus A320-200 dengan nombor pendaftaran PK-AXC," katanya.

Sehubungan itu juga, AirAsia telah membuka Pusat panggilan Kecemasan untuk dihubungi oleh keluarga atau rakan penumpang iaitu ditalian +622129850801. 

RM500 Juta Di Luluskan Untuk Mangsa Banjir

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bantuan khas RM500 juta kepada mangsa banjir di negeri yang dilanda bencana itu.

Beliau berkata dana itu akan diuruskan sepenuhnya oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan akan mula disalurkan selepas berakhirnya bencana itu.

“Bantuan ini akan diagihkan melalui MKN berdasarkan kriteria yang akan ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan melalui udara di jajahan terjejas teruk akibat banjir seperti Tumpat dan Tanah Merah.

Najib turut mengumumkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), yang dijadual akhir Januari depan, dipercepat kepada pertengahan bulan itu.

Selain itu, bagi meringankan lagi beban mereka yang terjejas, perdana menteri meminta institusi kewangan dan agensi yang menguruskan dana pinjaman menjadualkan semula tempoh pembayaran peminjam.

Mengulas lanjut, Najib berkata dana RM500 juta itu merangkumi bantuan bagi mangsa yang kediaman dan kenderaan mereka rosak akibat banjir.

Beliau bagaimanapun berkata ia tidak meliputi peruntukan yang akan ditentukan kemudian untuk membaiki kerosakan kepada institusi pendidikan, bangunan kerajaan, masjid, surau dan lain-lain.

“JKR (Jabatan Kerja Raya) akan menyelaraskan kerja baik pulih (infrastruktur awam) yang perlu dilakukan sebaik sahaja banjir ini selesai nanti,” katanya.

Beliau menegaskan segala usaha bantuan perlu dilakukan pada tahap semaksimum mungkin oleh semua pihak termasuk agensi kerajaan berkaitan.

Najib berkata beliau dimaklumkan MKN bahawa bencana kali ini amat serius memandangkan ada lokasi tertentu yang sebelum ini tidak pernah dilanda banjir, kali ini terjejas teruk.

“Saya diberitahu keadaan amat kritikal yang mana sesetengah tempat air masih naik, dan ada juga tempat yang tak pernah banjir, kini mengalami keadaan banjir yang begitu serius.

“…dan ada juga tempat di mana mereka (penduduk) terpaksa lari ke atas bukit dan lereng bukit, dan (ada) juga tempat pemulihan banjir yang secara mendadak diwujudkan kerana keadaan banjir di luar dugaan yang berlaku kali ini,” kata Najib.

Sehubungan itu, perdana menteri berharap semua agensi terlibat memastikan tumpuan diberi sepenuhnya kepada usaha menyelamat dan memberi bantuan kepada mangsa banjir.

“Saya amat berharap kerjasama semua pihak untuk pastikan bahawa fasa pertama ini kita dapat beri tumpuan iaitu menyelamat dan beri bantuan seperti makanan, selimut, tikar, lilin dan sebagainya,” katanya.

Perdana menteri menarik perhatian bahawa keadaan lebih runcing kerana air naik begitu tinggi disertai arus begitu deras selain terputus bekalan elektrik.

“Ini bererti bekalan air bersih juga tak dapat disampaikan dan mangsa banjir di tempat pemindahan sementara terpaksa berada dalam gelap tanpa bekalan elektrik,” katanya.

Mengulas sama ada kerajaan pusat akan mengisytiharkan darurat bencana untuk Kelantan, Najib berkata buat masa ini masih belum ada keperluan untuk berbuat demikian selepas mengambil kira implikasi yang akan berlaku.

“Sekiranya kerajaan umumkan darurat, antara implikasi yang akan timbul ialah pihak insurans akan terlepas daripada bayar ganti rugi…dan ganti rugi disebabkan kerosakan harta benda serta kenderaan adalah tinggi.

“Sebab itu kalau kita declare (isytihar darurat), bererti ini termasuk dalam kategori forced measure, dan syarikat insurans tak perlu jelaskan pampasan,” katanya lagi.

Selain itu, perdana menteri berkata segala usaha telah ditingkatkan sepenuhnya seperti dalam keadaan darurat sebenar, dan agensi-agensi berkaitan telah diarah menggiatkan lagi usaha menyelamat dan menambahkan bantuan.

Ditanya mengenai anggaran kemusnahan di seluruh negara akibat bencana ini, beliau berkata, penilaian masih belum dapat dilakukan selagi banjir masih belum reda sepenuhnya.

Dalam sidang media sama, Najib turut berkata beliau amat berbangga dan berterima kasih atas komitmen tinggi dan pengorbanan yang ditunjukkan semua anggota pasukan keselamatan dan penjawat awam di waktu bencana sebegini.

“Memang mereka bertungkus lumus, berkorban besar untuk membantu mangsa banjir. Kerajaan amat menghargai sumbangan yang telah dan sedang dilakukan mereka,” tambahnya - Bernama

Saturday 27 December 2014

Pemuda Semangat Salur Bantuan Kepada Mangsa Banjir


Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tasek Gelugor hari ini turun padang bersama-sama dengan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang dalam Misi Bantuan Kemanusian Mangsa Banjir.

Bantuan daripada 13 bahagian UMNO dalam Pulau Pinang itu disalurkan ke negeri Perak yang turut terjejas akibat bencana banjir.

Konvoi melibatkan pelbagai jenis kenderaan termasuk lori-lori berisi barangan bantuan pelbagai jenis berlepas dari Masjid Seberang Jaya kira-kira jam 2.30 petang tadi dan menuju ke Techno Trade Centre (PTTC) Bandar Meru Raya , Ipoh Perak.

Barangan berupa makanan dan keperluan asas lain di serahkan kepada wakil daripada negeri Perak sebaik tiba di pusat pengumpulan dan akan diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir di sekitar negeri Perak.

Sementara itu jumlah mangsa banjir di Perak meningkat sebanyak 6,335 orang melibatkan 1,576 keluarga berbanding 6,119 mangsa daripada 1,513 keluarga petang tadi.
   
Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Perak, bilangan mangsa di Perak Tengah menunjukkan peningkatan iaitu 3,113 orang daripada 796 keluarga berbanding 2,914 melibatkan 728 keluarga petang tadi.
   
Kawasan yang dinaiki air di derah itu ialah Belanja, Bota Kiri, Lambor Kiri, Lambor Kanan, Parit, Bota Kanan, Kampung Gajah, Pasir Salak dan Layang Kiri.
   
Jumlah mangsa yang terjejas di Kuala Kangsar juga meningkat kepada 2,629 orang melibatkan 633 keluarga berbanding 2,579 mangsa petang tadi.
   
Sementara di Hulu Perak yang melibatkan kawasan Lenggong, mangsa yang terjejas menurun kepada 593 mangsa berbanding 626 orang sebelumnya.

Kesemua mangsa ditempatkan di 51 pusat pemindahan.