Saturday 8 September 2018

Bukan Hanya PM Tak Puas Hati, Rakyat Pun Dukacita Dengan Kabinet PH


KUALA LUMPUR, 8 Sept – Bukan sahaja Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak puas hati tetapi pelbagai pihak punyai perasaan yang sama malah jika penilaian prestasi Kabinet Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dibuat oleh rakyat sangat jelas ia memang mendukacitakan sekali, kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Kata beliau, hakikatnya, kenyataan atau komen Perdana Menteri terhadap Menteri Kabinetnya bukan sekali atau perkara baru kerana telah beberapa kali.

“Ini mengambarkan bahawa teguran atau komen itu sangat serius dan sepatutnya mestilah disusuli dengan tindakan oleh anggota kabinet Kerajaan PH sebagai respon untuk melakukan perubahan.

“Umpamanya isu perlantikan Menteri Pendidikan di UIAM, apabila Perdana Menteri sendiri membuat komen ini menunjukkan sesuatu yang tidak kena.

“Justeru itulah, saya nampak perubahan tidak dilakukan dan ini menampakkan kelemahan ketara kepada Kerajaan PH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada beliau, kalau dikatakan bahawa mereka baru dan tiada pengalaman ia suatu yang tidak boleh diterima kerana sudah lebih empat bulan Kerajaan PH memerintah negara ini malah kerajaan di dokong oleh kakitangan kerajaan yang berpengalaman.

“Kemudian, sangat tidak adil jika Perdana Menteri menyalahkan kakitangan kerajaan bila mana berlaku kelemahan prestasi kerajaan. Apatah lagi jika mendakwa mereka terlalu taksub kepada Barisan Nasional (BN) yakni kerajaan terdahulu.

“Ini kerana sewaktu BN memerintah pun bukan semua kakitangan kerajaan menyokong BN jadi keadaan yang sama juga berlaku sebenarnya. Malah, prestasi kerajaan sangat baik.

“Pada saya, yang penting ialah pemimpin kerana kakitangan akan melaksanakan semua arahan jika pemimpin punyai wawasan, berwibawa, dan dihormati serta nilai positif yang lain. Namun jika semua nilai ini kurang ia akan menyebabkan prestasi yang diharapkan tidak tercapai. Inilah yang berlaku pada Kerajaan PH.”

Dari keadaan itulah, katanya, kita boleh menilai selain daripada pelbagai janji yang tidak tertunai, persoalan yang boleh ditanya kepada pimpinan Kerajaan PH ialah apa program baru yang lebih baik dari Kerajaan BN dibuat oleh Kerajaan PH baik dalam sektor pendidikan,sektor ekonomi, sektor pertanian dan sebagainya?

“Jawapannya ialah hampir tiada langsung perkara baru. Ini kerana apa yang dibuat sekarang hanya dari apa yang dibuat oleh kerajaan terdahulu malah kalau nampak baru pun hanyalah ” tukar kulit ” semata mata.

“Pada saya tidak kiralah siapa mencadang barisan kabinetnya. Ini kerana Perdana Menteri bertanggungjawab terhadap kerja dan prestasi mereka apatah lagi beliau punyai kuasa mutlak melantik atau mengugurkan mereka. Jadi jika prestasi mereka mendukacitakan ia juga mengambarkan kelemahan Perdana Menteri sendiri.

“Selain itu, teguran Perdana Menteri itu juga mungkin adalah alasan beliau untuk meneruskan peranan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang sepatutnya telah berakhir.”

Tegasnya, paling menduka citakan ialah apabila rakyat yang menerima akibatnya.

“Kenaikan kos sara hidup ketika ini menekan rakyat. Usaha Kerajaan PH setakat ini tidak nampak jelas dan kurang berkesan,malah rakyat dihidangkan dengan pelbagai perkara baru yang membebankan. Rakyat nampaknya sudah terpaksa menerima bebanan kehidupan berbanding ketika Kerajaan BN memerintah,” katanya lagi. – MediaUMNO

Wednesday 5 September 2018

Gugur Kes Rasuah Guan Eng Serlah Keputusan Dwi Standard Jabatan Peguam Negara ?


PULAU PINANG 5 Sept. - Tindakan Jabatan Peguam Negara menarik balik kes rasuah membabitkan Kementerian Kewangan, Lim Guan Eng memperlihatkan wujudnya keputusan dwi standard atau berpilih dalam amalan perundangan negara.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, ini kerana kes itu digugurkan ketika perbicaraan sedang berlangsung manakala semua proses siasatan sudah dilengkapkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sedangkan, kata beliau, terdapat kes tertentu membabitkan pemimpin Barisan Nasional (BN) sebelum ini sudah dibawa ke peringkat pendakwaan sedangkan siasatannya oleh SPRM belum selesai dan masih berjalan.

“Ini memperlihatkan kepincangan yang ketara dalam sistem perundangan negara dan seolah-olah institusi kehakiman kini bukan lagi badan teratas dan melangkaui kepentingan politik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Musa yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam turut mempersoal kemampuan dan kredibiliti Jabatan Peguam Negara yang lebih awal membuat kesimpulan akan kalah dalam kes rasuah membabitkan Guan Eng tersebut.

Katanya, perkara itu menimbulkan keraguan memandangkan perbicaraan kes berkenaan hanya berlangsung separuh jalan dan masih ramai saksi belum dipanggil untuk memberi keterangan.

“Tidakkah pengakuan ini memberi mesej yang salah kepada rakyat berhubung krebiliti Jabatan Peguam Negara dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka terutama dalam membanteras perbuatan salah laku di negara ini?” katanya. - Utusan Online

Tuesday 4 September 2018

Babi Hutan Ganggu Penduduk


BUTTERWORTH 2 Sept. - Saban hari penduduk Kampung Tok Adam dekat Sungai Dua di sini dihantui kebimbangan berikutan kemunculan beberapa ekor babi hutan yang keluar dari semak berhampiran rumah penduduk di situ.

Keadaan tanah kosong yang dipenuhi semak-samun serta menjadi tempat pembuangan sampah juga dipercayai menjadi punca babi hutan semakin kerap kelihatan di kawasan tersebut kebelakangan ini.

Seorang penduduk, Lizawati Othman, 35 berkata, rumahnya hanya terletak 80 meter dari kawasan semak itu dan dia sering ternampak beberapa ekor babi hutan berkeliaran di kawasan tersebut.

“Kami bimbang haiwan itu menuju ke kawasan rumah yang pastinya membahayakan nyawa penduduk terutamanya kanak-kanak dan warga emas.

“Tanah kosong ini milik persendirian tetapi dibiarkan kosong sejak sekian lama. Tindakan pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah di kawasan itu lebih memburukkan keadaan kerana ia menjadi makanan babi,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, penduduk, Bariah Shaari, 74, memberitahu, dia pernah beberapa kali terse­rempak dengan haiwan itu ketika melintasi kawasan semak terbabit untuk ke jalan utama ­kampung itu.

Jelasnya, biarpun tiada insiden babi menyerang penduduk, dia berharap tindakan segera diambil bagi mengelakkannya daripada berlaku.

“Ramai yang tinggal di kawasan ini merupakan warga emas jadi kami bimbang kalau haiwan ini menyerang orang kampung. kami harap isu ini diatasi segera,” ujar­nya.

Perkara itu turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Mohamad Yusoff Mohd. Noor yang mengarahkan Jabatan Perlin­dungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memasang perangkap di kawasan tersebut.

Selain itu, menurut Mohamad Yusoff, perangkap monyet turut dipasang di kampung ber­kenaan bagi membanteras haiwan terbabit yang sering merosakkan rumah serta tanaman milik penduduk.

“Saya sudah bangkitkan per­kara ini dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Per­hilitan datang pasang perangkap babi dan monyet di kampung ini. Saya berharap usaha ini akan berhasil dalam mengatasi masalah ini,” katanya.

Mohamad Yusoff menambah, beliau turut meminta Pejabat Daerah Seberang Perai Utara untuk mengesan pemilik tanah kosong terbabit dan mengarahkannya supaya membersihkan kawasan berkenaan.- Utusan Online

Friday 31 August 2018

Isteri Buntu Hilang Tempat Bergantung


TASEK GELUGOR 30 Ogos - Segalanya berubah sekelip mata bagi Siti Azizah Abu Hassan apabila suami tersayang yang dahulunya aktif kini terpaksa terbaring di atas katil selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Suaminya, Mohammad Firdaus Norizan terpaksa menerima hakikat kehilangan kaki kanan sehingga pangkal paha selepas dirempuh kereta di Jalan Permatang Sungai Dua ketika dalam perjalanan ke tempat kerja pada 13 Ogos lalu.

Menurut Siti Azizah, suaminya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Seberang Jaya selama empat hari sebelum dipindahkan ke wad biasa dan dibenarkan keluar dari hospital 20 Ogos lalu.

“Segalanya bagai mimpi buat saya kerana pada pagi hari kejadian, suami saya ceria ketika keluar dari rumah untuk ke tempat kerja di kawasan Perindustrian Perai sebelum saya terima panggilan dia terlibat kemalangan.

“Biarpun saya juga bekerja, namun beban terasa kerana suami pun sudah hilang upaya untuk berjalan sebab hilang sebelah kaki dan tangan kanannya juga patah teruk,” katanya yang bekerja di Bayan Lepas, di sini hari ini.

Katanya, dia kini buntu kerana suaminya hanya bekerja dengan gaji harian dan pendapatannya juga tidak seberapa untuk menampung keperluan rawatan se­perti ubat-ubatan dan lampin pakai buang.

Namun, katanya, dia beruntung kerana tinggal bersama keluarga suaminya di Kampung Pokok Sena di sini dan mampu membantu menguruskan suaminya.

Perkara itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Mohamad Yusoff Mohd. Noor yang tampil menghulurkan bantuan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seberang Perai Utara.

Mohamad Yusoff berkata, beliau merujuk kes Mohammad Firdaus kepada Pertubuhan Ke­selamatan Sosial (Perkeso) yang menguruskan proses untuk mendapatkan pencen ilat dan faedah hilang upaya kekal.

“Sekarang dia hilang upaya dan tidak mampu bekerja, jadi saya rujuk kes ini kepada Perkeso dan JKM yang akan menguruskan faedah yang sesuai untuknya.

“Pada masa sama, saya dimaklumkan pihak Jawatankuasa Kariah Masjid juga menguruskan bantuan menerusi Zakat Pulau Pinang kepada Mohammad Firdaus,” katanya dalam program Ziarah Kasih di sekitar DUN itu.

Mohamad Yusoff yang juga Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor turut menziarahi pasa­ngan Harun Man yang menghidap alzheimer dan isterinya, Rahmah Awang yang tidak dapat berjalan di rumah mereka di Merbau Kudung.- Utusan Online

Friday 17 August 2018

PAS Umum Dr Halimah Calon PRK DUN Seri Setia, Bekas Calon BN Sg Kandis Turut Hadir


PETALING JAYA, 16 Ogos – Bekas calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK DUN Sungai Kandis Datuk Lokman Noor Adam turut hadir sebagai tanda sokongan pada majlis pengumuman calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia yang berlangsung di sini malam tadi.

BN sebelum ini memutuskan untuk tidak bertanding di Seri Setia, sebaliknya memberi laluan kepada PAS untuk meletakkan calon pada PRK itu yang turut diadakan serentak dengan PRK DUN Balakong.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menamakan bekas anggota Exco kerajaan negeri Selangor, Dr Halimah Ali sebagai calon parti itu bagi PRK DUN Seri Setia.

Sementara itu, Dr Halimah menyeru pengundi di kawasan DUN itu untuk keluar mengundi pada 8 Sept ini bagi memperkuatkan suara pembangkang di DUN Selangor.

“Selain itu, sepanjang waktu berkempen 21 hari ini saya akan berusaha turun padang bertemu seramai mungkin pengundi di DUN Seri Setia ini bagi mendengar suara hati mereka sendiri.

Saya mahu fokus menyelesaikan masalah rakyat terutama membabitkan masalah sosioekonomi sekiranya saya diberi mandat sebagai ADUN di sini,” katanya.

Menurutnya lagi, beliau yakin PAS mampu memenangi PRK itu sekiranya beliau mendapat sokongan daripada semua pihak termasuk pengundi yang mengundi Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Penamaan calon bagi PRK itu akan berlangsung pada Sabtu ini.

PRK DUN Seri Setia merupakan PRK kedua diadakan selepas PRU ke-14 (PRU14), berikutan kematian penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lepas.

Pada PRU14, 9 Mei lepas, Shaharuddin daripada PKR mengalahkan tiga pencabarnya Datuk Yusoff HM Hanif daripada BN, Mohd Ghazali Daud (PAS) dan calon Bebas Dr S. Vignes dengan majoriti 19,372 undi.

Calon MCA Anak Jati Balakong Tekad Beri Khidmat Terbaik


BALAKONG, 16 Ogos – Calon MCA bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong Tan Chee Teong menganggap peluang bertanding di kubu kuat DAP bukan satu ancaman malah menjadi pemangkin semangat membuktikan kemampuannya untuk berkhidmat kepada masyarakat setempat.

Tan, 40, mengakui meskipun misinya itu dianggap sebagai ‘mission impossible’ oleh rakan-rakannya, namun beliau bertekad untuk masuk ke DUN Selangor bagi melaksanakan peranan ‘semak dan imbang’ sebagai pembangkang.

“Ramai yang beranggapan saya membuat keputusan ‘gila’ namun sebagai anak jati yang lahir dan membesar di Balakong, saya menyahut cabaran itu dan peluang yang diberikan ini dapat membuktikan kemampuan saya (membantu) penduduk-penduduk kawasan ini.

“DUN Selangor perlu ada suara-suara pembangkang yang lantang untuk memainkan peranan ‘semak dan imbang’ dalam segala perancangan dan pembangunan oleh kerajaan negeri Pakatan Harapan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera dan memperkenalkan calon PRK DUN Balakong semalam.

Katanya beliau tidak mempunyai masalah untuk mendekati pengundi-pengundi Balakong memandangkan kebanyakan daripada mereka sudah mengenalinya.

“Ini adalah kampung dan jiwa saya dan saya sangat memahami akan kebajikan mereka terutamanya dalam isu trafik, bekalan air, banjir kilat, denggi dan sebagainya. Hanya anak jati Balakong yang dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat setempat berdasarkan pemahaman menyeluruh terhadap keperluan dan kehendak mereka pada setiap masa,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata PRK DUN Balakong merupakan peluang terbaik buat pengundi untuk bersuara selepas 100 hari pentadbiran kerajaan PH.

“Sehingga kini masih ada lagi janji-janji yang belum dilaksanakan seperti penghapusan tol…. isu PTPTN meskipun sudah memasuki hari ke-98 hari ini.

“Saya berani mencabar mereka dengan hanya tinggal dua hari lagi mereka tidak mampu untuk melaksanakan janji-janji ‘kosong’ yang ditaburkan kepada rakyat, jadi inilah masanya PRK menjadi ‘kayu pengukur’ buat mereka terhadap kerajaan baharu,” katanya.

PRK pada 8 Sept ini menyaksikan MCA menggunakan lambang partinya sendiri.

Kerusi DUN Balakong kosong susulan kematian penyandangnya, Eddie Ng dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Ng yang mewakili DAP menewaskan dua pesaingnya iaitu calon Barisan Nasional Lim Chin Wah dan calon PAS Mohamad Ibrahim Ghazali dengan majoriti 35,538 undi. - umno online

Wednesday 15 August 2018

Tiada Kompromi Soal LGBT


SUNGAI DUA - Kecelaruan kini jelas telah menyelubungi rakyat Malaysia khususnya orang-orang Islam apabila isu mengiktiraf golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) mula diperlihatkan oleh pihak-pihak terlibat khususnya kalangan mereka yang kini mentadbir kerajaan.

Ketua Umno Bahagian Tasek Gelugor, Muhammad Yusoff Mohd Noor berkata, sebagai rakyat di negara merdeka dan berpegang kepada asas-asas perlembagaan persekutuan tindakan seumpama itu adalah jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang menjadi agama rasmi negara.

"Tindakan atau dalam apa jua bentuk sekalipun yang terarah kepada soal mengangkat golongan LGBT di negara ini haruslah dihentikan serta merta kerana ianya jelas bertentangan dengan budaya semua kaum.

"Umno Bahagian Tasek Gelugor menolak sebarang usaha ke arah itu dan sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak waima atas nama hak kemanusiaan sekalipun kerana budaya LGBT membawa lebih banyak kemudaratan kepada masyarakat," katanya.

Tegasnya, walaupun masyarakat sedar kewujudan kumpulan LGBT, namun tidaklah ke tahap mengiktiraf dan menjadikan mereka sebahagian daripada budaya masyarakat di negara ini.

Malah beliau turut menyelar tindakan penganjur Georgetown Festival yang mempamerkan gambar ikon LGBT sebelum ini dan berharap isu tersebut tidak berulang lagi, terutama program yang melibatkan kerajaan negeri.

"Kita mendesak agar pihak kerajaan lebih menumpukan kepada usaha untuk menyedarkan golongan ini melalui kaunseling dan program pemulihan.

"Ia dilihat lebih bertepatan daripada menumpukan kepada soal yang remeh seperti penggunaan tandas dan sebagainya kerana usaha sedemikian memberikan gambaran seolah-olah kumpulan ini diiktiraf kerajaan," katanya. - Sinar

Wednesday 8 August 2018

Hishammuddin Beri Pandangan Selepas ‘Bulan Madu’ PH Berakhir


KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beliau akan mula memberikan pandangannya terhadap isu-isu berkaitan kementerian itu dan penggantinya, Mohamad Sabu, selepas tempoh ‘bulan madu’ kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) berakhir.

Pakatan Harapan (PH), yang membentuk kerajaan baharu selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) pada 9 Mei lepas menawarkan pelbagai janji melalui manifestonya termasuk 10 janji yang diikrar akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari.

Hishammuddin, yang juga Anggota Parlimen Sembrong, berkata beliau akan memberikan pandangannya terhadap isu-isu kementerian selepas tamat tempoh 100 hari itu.

“Saya akan berikan pandangan, pertamanya mengenai kedudukan Pusat Keamanan Antarabangsa King Salman (KSCIP). Tetapi ada banyak isu lain (iaitu) mengenai aset ketenteraan, kebajikan anggota tentera serta keluarga mereka dan anggota veteran,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Mohamad dalam jawapan bertulisnya kepada Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) di Dewan Rakyat pada Isnin mengumumkan bahawa kerajaan telah menghentikan operasi KSCIP dan pejabat sementaranya di Jalan Ampang di sini juga telah diarahkan tutup serta-merta.

Diminta mengulas prestasi Mohamad setakat ini, Hishammuddin enggan mengulas lanjut dan berkata beliau memberi masa secukupnya kepada Mohamad untuk mempelajari selok-belok kementerian.

Sementara itu, Hishammuddin berharap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan diberi layanan baik sepanjang beliau menjalani proses undang-undang.

Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram milik dana SRC International Sdn Bhd, dalam dua akaun miliknya, empat tahun lepas. - umno online

Pertuduhan Pengubahan Wang Haram Najib Tiada Kaitan 1MDB, Equanimity – Peguam


KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Pertuduhan pengubahan wang haram terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di mahkamah hari ini langsung tidak mempunyai kaitan dengan skandal 1Malaysia Berhad Development (1MDB).

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, 65, berkata kesemua pertuduhan itu juga tiada kena-mengena dengan kapal mewah ‘Equanimity’ yang dipercayai sebahagian daripada aset yang dibeli menggunakan dana 1MDB.

“Kes ini bukan 1MDB, kes ini kes SRC (SRC International Sdn Bhd), ini (juga) tidak ada kena-mengena dengan bot yang besar yang tiba di PelabuhanKlang.

“Secara kebetulan pertuduhan dibuat di mahkamah hari ini, orang ramai beranggapan mungkin ada kaitan dengan bot Equanimity dan 1MDB. Ia tidak ada kena-mengena langsung,” katanya kepada pemberita di lobi mahkamah selepas prosiding pendakwaan terhadap Najib selesai.

Sehubungan itu Muhammad Shafee berharap orang ramai tidak mengaitkan pertuduhan tambahan itu dengan kedua-dua perkara tersebut.

Semalam, kapal mewah yang dikaitkan dengan ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low berlabuh di Terminal Boustead Cruise Centre, Klang, di sini pada 12.35 tengah hari diiringi empat bot peronda Polis Marin.

Kapal itu dikatakan mula belayar dari kepulauan Batam, Indonesia sehari sebelumnya selepas dilaporkan diserahkan kepada pegawai kanan Polis Marin Malaysia di Batam.

Kapal mewah itu dipercayai sebahagian daripada aset yang dibeli menggunakan dana 1MDB dan pihak berkuasa antarabangsa masih memburu Jho Low yang dikatakan pemilik kapal tersebut.

Mengulas isu pertukaran Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak dari Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Sivil dan digantikan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali untuk mendengar kes Najib, Muhammad Shafee berkata pihaknya telah mengemukakan surat kepada Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim berhubung perkara itu, semalam.

Tegas Shafee, pihaknya tidak menyalahkan kedua-dua hakim tersebut namun menyifatkan sistem kehakiman negara tidak telus apabila menukarkan Sofian tanpa permohonan rasmi di mahkamah terbuka.

“Sekarang, walaupun kami tidak ada masalah dengan kedua-dua (hakim) Nazlan atau Sofian, kami fikir sistem (pendaftaran Putrajaya) tidak peka. Jika anda fikir hakim Sofian mesti tarik diri maka anda (pendakwaan dan pembelaan) perlu membuat permohonan di hadapan beliau.

“Namun tidak ada yang buat permohonan agar Mohd Sofian menarik diri. Kami bukan merungut tentang hakim cuma kami tidak berpuas hati tentang proses. Apa yang berlaku bukan silap kedua-dua hakim tetapi sistem yang salah… kenapa anda lakukan demikian, kenapa anda tukar dan pindahkan hakim tanpa melakukannya di mahkamah terbuka,” katanya.

Terdahulu pada prosiding hari ini, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram milik dana SRC International Sdn Bhd, dalam dua akaun miliknya, empat tahun lepas.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, Najib didakwa menerima wang masing-masing berjumlah RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, melalui Real Time Electronic Transfer of Funds and Securities (“Rentas”) dalam dua akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya bernombor 2112022011880dan 2112022011906.

Beliau dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan AmBank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan di sini antara 26 Dis 2014 dan 10 Feb 2015.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. - umno online

Peguam Negara Perlu Jawab Dakwaan Lantik Firma Guaman Sendiri Urus Kes The Equaminity


KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamad Aris meminta peguam negara, Tommy Thomas memberikan jawapan berhubung dakwaan beliau melantik firma guamannya sendiri untuk  menguruskan kes kapal mewah The Equanimity yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Menurut Dr Najmil, perkara tersebut yang didedahkan oleh laman web sabahkini2.com mendakwa peguam yang terlibat dalam kes tersebut, Sitpah Selvaratnam adalah peguam daripada firma guaman Tommy Thomas sendiri.

“Jadi saya fikir, peguam negara perlu membuat satu kenyataan berhubung perkara ini, memandangkan dakwaan tersebut jelas memperlihatkan peguam negara menyalahgunakan kuasanya dengan melantik firmanya sendiri untuk mengendalikan kes kapal mewah tersebut.

“Jika dakwaan itu tidak benar, maka peguam negara boleh bertindak menyaman laman web tersebut kerana menyiarkan berita yang tidak benar itu. Namun, jika peguam negara terus berdiam diri daripada membuat sebarang kenyataan tentang dakwaan ini, ia memperlihatkan seolah-olah apa yang didakwa oleh laman web itu adalah benar,” ujarnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pendedahan laman web sabahkini2.com yang menyiarkan artikel mendakwa bahawa peguam negara, Tommy Thomas telah melantik firma guamannya sendiri untuk mengendalikan kes tersebut.

Tambahnya lagi, peguam negara perlu segera membuat kenyataan berhubung perkara ini memandangkan rakyat ini mengetahui cerita sebenar disebalik dakwaan tersebut.

“Ini juga melibatkan intergriti beliau sebagai peguam negara. Jika cerita ini tidak betul, fitnah, maka sudah seharusnya beliau membuat kenyataan untuk menafikan dakwaan tersebut supaya rakyat tahu cerita yang sebenar.

“Namun jika dakwaan itu benar, maka saya kira pihak berwajib perlu menjalankan siasatan terhadap beliau memandangkan dakwaan tersebut memperlihatkan beliau seolah-olah menyalahgunakan kuasanya sebagai peguam negara dengan melantik firmanya sendiri untuk mengendalikan kes kapal mewah tersebut,” tegasnya.-MediaUMNO

Tolak Usaha Promosi LGBT Sebagai Budaya, Ikon


PULAU PINANG 8 Ogos - Wanita UMNO menolak sekeras-kerasnya usaha pihak tertentu mengangkat golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebagai ikon dalam masyarakat.

Naib Ketuanya, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, selain dilarang semua agama khususnya Islam, budaya dan corak hidup LGBT tidak akan melahirkan modal insan yang harmoni kepada negara.

Ini kerana, menurut beliau, golongan LGBT seperti dibuktikan pakar perubatan merupakan kelompok tertinggi dijangkiti virus HIV dan penyakit AIDS sekali gus memberi ancaman kepada masa depan negara.

“Tidak timbul soal diskriminasi dalam isu ini kerana sebelum ini pun golongan LGBT boleh mendapat perkhidmatan perubatan atau pendidikan sama seperti masyarakat lain.

“Namun, apa yang Wanita UMNO tegaskan adalah kumpulan ini tidak wajar dipromosikan apatah lagi diperlihatkan seolah-olah mendapat pengiktirafan dan sokongan daripada kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai surat terbuka seorang doktor, Dr. Nur Ilyani Mohamed Nawawi kepada, Datin Marina Mahathir berhubung pendirian aktivis hak asasi berkenaan dalam isu membabitkan LGBT.

Dalam pada itu, Norliza yang juga Ketua Wanita UMNO negeri turut menyatakan sokongan penuh kepada Dr. Nur Ilyani dan menggesa semua pihak melihat isu LGBT sebagai penyakit atau permasalahan dalam masyarakat yang perlu ditangani.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan khususnya Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga menubuhkan pasukan khas bagi membantu kumpulan tersebut termasuk menerusi pendekatan kaunseling. – UTUSAN ONLINE

Kenyataan Exco Pertahan Poster LGBT, Hari Sedih Kepada Rakyat Pulau Pinang


PULAU PINANG 8 Ogos - Pemuda UMNO negeri menyifatkan kenyataan wakil Kerajaan Pakatan Harapan (PH) negeri yang tidak bersetuju dengan tindakan menurunkan poster mempromosikan ikon Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) pada satu festival di sini sebagai hari menyedihkan untuk rakyat negeri ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal, Mohd. Norhiesam Ismail berkata, ini kerana LGBT merupakan budaya songsang yang ditolak semua agama dan tidak ada sebab untuk diperjuangkan lagi.

Katanya, beliau bersetuju dengan tindakan menurunkan poster berkenaan kerana ia memberi kesan kepada golongan remaja yang menghadiri pameran berkenaan.

"Berdasarkan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Keterangkuman Gender serta Agama selain Islam negeri, Chong Eng, saya ingin mencabar kerajaan negeri supaya menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pertama mengiktiraf LGBT," katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Norhiesam berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Chong Eng yang tidak bersetuju dengan tindakan pihak tertentu menurunkan poster yang mempromosi ikon LGBT sempena Festival Georgetown yang berlangsung sejak 4 Ogos lalu hingga 2 September depan.

Menurut Chong Eng, ini kerana tindakan berkenaan sebagai diskriminasi berdasarkan seksual orientasi dan tindakan berkenaan tidak boleh diterima.

Mengulas lanjut, Norhiesam berkata, sebagai salah seorang pemimpin tertinggi di negeri ini, Chong Eng sepatutnya lebih mengetahui sensitiviti masyarakat terhadap perkara ini. - UTUSAN ONLINE

Tuesday 7 August 2018

Kegiatan Khianat : Beranikah Kerajaan PH Khususnya Dap Nafikan Dakwaan CSIS?


KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Pasti pihak kerajaan dan yang berkaitan dengannya akan menafikan namun pendedahan Daniel Twining, anggota Centre for Strategic International Studies Amerika Syarikat (CSIS), amat serius yang akhirnya mendedahkan kegiatan khianat Kerajaan Pakatan Harapan (PH) terutama Dap dan konco-konco mereka selama ini terhadap kerajaan terdahulu, kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Sehubungan itu katanya, UMNO mencabar Lim Kit Siang menafikan perkara ini secara terbuka, dan bersumpah kepada rakyat Malaysia bahawa apa yang dikatakan oleh Twining itu adalah bohong.

“Semua pihak mesti matang berpolitik, dan menghormati sistem demokrasi dalam negara ini, bagaimanapun menjemput dan melibatkan pihak luar untuk campur tangan adalah tidak wajar semasa sekali,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelasnya, pendedahan Daniel Twining, anggota Centre for Strategic International Studies Amerika Syarikat (CSIS), akhirnya membongkar kegiatan khianat Dap dan konco-konco mereka selama ini.

“Sama ada Tun Dr Mahathir Mohamad terbabit atau tidak, itu tidak boleh disahkan, namun CSIS yang beroperasi di Malaysia sejak tahun 2002, cukup bangga selepas berjaya berkomplot dengan pembangkang bagi menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada PRU14.

“Dr Mahathir juga perlu menjelaskan bahawa ‘crocodile tears’ ketika mengumumkan mahu meletak jawatan pada Perhimpunan Agung UMNO 2003, sebenarnya adalah sandiwara kerana niat memusnahkan parti sudah wujud sejak kerjasamanya dengan CSIS.”

Bidasnya, gerakan yang menjual maruah negara ini sungguh menyedihkan kerana apa-apa hasil kerjasama dengan agensi asing ini turut mencerminkan betapa Malaysia ‘mudah dibeli’ atas nama demokrasi, dan mereka yang melakukannya sangat tidak bertanggungjawab serta membelakangkan kedaulatan negara.

“Menerusi bantuan dana kepada Dap oleh National Endowment for Democracy di bawah Jabatan Negara Amerika selama ini, jelas menelanjangkan siapa sebenarnya Dap, Lim Kit Siang dan rakan-rakan ‘demokratiknya’.

“Ini juga mengesahkan dakwaan ejen-ejen media sosial mereka selama ini digerakkan dengan mewah menggunakan dana negara asing yang mahu melihat BN dan UMNO disingkir dari tampuk pemerintahan.

“Sungguh kotor dan keji perbuatan ini dan pada hari ini, mereka tetap akan menafikan dakwaan ini. Malah secara berterusan berusaha memesongkan perhatian rakyat dengan mengatakan ekonomi negara sedang meleset dan kerajaan terdahulu kejam dan zalim. Semua ini tidak benar sama sekali.”

Katanya, Dr Mahathir sendiri menuduh BN sedemikian di Pulau Pinang semalam, seolah-olah cuba menyembunyikan sesuatu daripada rakyat.

“Akhirnya ia terbongkar jua apabila video CSIS ini tersebar luas di Internet. Apa lagi yang mahu dikatakan oleh Kit Siang dan ‘gengnya’? Berapa ratus juta diperuntukkan kepada Red Bean Armynya? Malah mereka menuduh orang lain menerima sumbangan luar.

“Kita ingin tahu berapa jumlah dana asing yang diterimanya secara rahsia sejak 2002. Mungkin melebihi RM2.6 bilion yang dijadikan peluru untuk meracun fikiran rakyat mengenai 1MDB?

“Selama ini juga, Dr Mahathir menuduh BN ingin menjual negara kepada China, walhal ketika menjadi pembangkang, mereka sudah pun menggadai maruah Malaysia kepada orang asing.”

Maka, tegasnya, tidak hairanlah Dr Mahathir dikunjungi beberapa orang duta Barat, termasuk tokoh dari Amerika Syarikat, selepas mengangkat sumpah jawatan Mei lalu.

“Betapa pembohongan mereka selama ini turut didalangi dan dibantu oleh ejen asing yang mahu melihat Malaysia kucar-kacir.

“Ini pakatan jahat yang perlu disiasat oleh pihak berkecuali. Memandangkan pihak kehakiman dan pihak penguatkuasa lain sudah berada di bawah genggaman mereka, satu badan khas harus dibentuk untuk kes ini supaya siasatan yang adil dapat dilaksanakan.

“Tidak ada gunanya lagi mereka mengambil pendekatan ‘one-way street’ iaitu menyiasat orang lain tetapi tidak mahu dirinya disiasat. Rakyat Malaysia perlu bangkit segera agar negara tidak tergadai terus.”

Dengan ini, tegasnya lagi, UMNO menggesa Majlis Raja-Raja agar mengambil pendirian di dalam perkara ini secepat mungkin, dan bertindak bagi menyelamatkan rakyat dan negara daripada menjadi sebuah lagi negara Islam seperti Yemen, Libya, Iraq dan Syria! Dan lebih utama membenarkan campurtangan asing terhadap negara ini. – MediaUMNO

Jangan Tutup Kes Rasuah


GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang diminta agar meneruskan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan perbicaraan.

Selain kes tersebut, kerajaan negeri juga digesa agar tidak menutup kes rasuah lain yang dibawa ke mahkamah di negeri ini.

Ketua Pembangkang, Muhamad Yusoff Mohd Noor berkata, kes rasuah tersebut tidak wajar ditutup dan perlu diteruskan berikutan lima kes seumpama itu digugurkan sejak Pakatan Harapan (PH) memerintah negara.

“Kerajaan negeri, jangan tarik balik kes rasuah yang dibawa ke mahkamah. Teruskan lah. Termasuk pertuduhan rasuah ke atas menteri kewangan iaitu bekas Ketua Menteri Pulau Pinang. Mana-mana kes rasuah, teruskan lah dengan perbicaraan.

“Sejak 1 Jun hingga 3 Ogos lalu, lima kes melibatkan  sembilan orang telah digugurkan di mahkamah atas persetujuan dan arahan Peguam Negara  sejak kerajaan PH memerintah. Ia termasuk kes Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Tian Chua.

“Ada lima, enam kes digugurkan dan ditarik balik termasuk kes Sosma selepas PH memerintah, jadi kita minta kes bekas ketua menteri Pulau Pinang iaitu Guan Eng pun, jangan jadi seperti itu. Teruskan dengan perbicaraan sehingga selesai,” katanya.

Muhamad Yusoff berkata demikian ketika membahaskan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang di Sidang Dun Pulau Pinang, hari ini.

Tambahnya, beliau bersetuju dan menyokong usaha serta dasar kerajaan negeri yang komited membanteras rasuah.

“Saya sokong dengan usaha kerajaan negeri dalam membanteras gejala rasuah. Tapi dalam kes Guan Eng, kalau salah, salah lah. Kalau tak salah, tak salah lah. Sekurang-kurangnya teruskan sehingga selesai,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhamad Yusoff turut memohon agar kerajaan negeri membentangkan Pelan Induk Pencegahan Banjir Pulau Pinang.

“Saya harap kerajaan negeri menyedia dan membentangkan Pelan Induk Pencegahan Banjir Pulau Pinang sama seperti pembentangan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang dibuat sebelum ini. Pelan itu bagi mengatasi masalah banjir di Pulau Pinang.

“Ia bagi menunjukkan dan membuktikan tanggungjawab kerajaan negeri dalam menunaikan janji mereka untuk menyelesaikan masalah banjir di negeri ini setiap kali hujan lebat,” katanya. - Sinar Harian

Lebuhraya Pan Island Link : Kos Meningkat RM2.5 Billion, Kerajaan PH Tipu Rakyat


KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Datuk Seri Najib Razak mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (HP) memperdaya rakyat apabila meneruskan projek mega Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL-1) berikutan kosnya kini dikatakan meningkat RM9 bilion berbanding anggaran asal, RM7.5 bilion.

Bekas Perdana Menteri berkata, sebelum ini PH sering mengecam pentadbirannya apabila memulakan projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) sepanjang 688 kilometer (km) yang didakwa terlalu mahal dan membazir sedangkan manfaatnya cukup besar untuk rakyat dan lima negeri terbabit.

“PH mendakwa harga RM55 bilion untuk 688 km iaitu RM80 juta satu km, terlalu mahal walaupun projek ini termasuk kos kereta api, kos membina 27 stesen serta pembinaan terowong sepanjang 50 km akan memberi manfaat kepada lima negeri yang selama ini ketinggalan dari segi pembangunan dan berjuta-juta rakyat Malaysia.

“Tetapi peliknya, apabila PH tegas untuk membuat projek mega seperti projek PIL-1 sepanjang 19.5 km yang dahulunya dianggarkan bernilai RM7.5 bilion (RM385 juta bagi setiap km) dan kini kos dikatakan sudah meningkat ke RM9 bilion (RM461 juta setiap km), walaupun dibantah penduduk Pulau Pinang kerana membabitkan kos terlalu tinggi dan tidak diperlukan.

“Difahamkan kerajaan Pulau Pinang sudah memohon RM1 bilion daripada Kerajaan Persekutuan sebagai modal permulaan projek PIL ini,” katanya dalam catatan terbarunya di Facebook.

Najib berkata, projek lebuh raya RM461 juta satu km itu jauh lebih mahal berbanding kos RM161 juta satu km untuk projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) di bawah pentadbirannya pada 2015 yang turut dituduh pemimpin DAP sebagai termahal di negara ini dan membazir.

Katanya, beliau juga pelik apabila kerajaan boleh membeli Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dengan harga RM2.55 bilion iaitu 10 kali ganda lebih mahal daripada tawaran asal kerajaan Selangor pada 2013 dan memberi RM1 bilion untuk projek PIL, tetapi enggan membayar wang sara hidup untuk peneroka FELDA, nelayan, menaikkan gaji penjawat awam dan terbaru mahu mengurangkan jumlah penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Ini sekali gus membuktikan bahawa serangan dan tohmahan bertalu-talu dilakukan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 telah berjaya menyembunyikan realiti bagi memperdaya rakyat,” katanya. -BH

GST vs SST, Penjelasan Berserta Fakta Nombor Dari Orang Belajar Ekonomi


Mesyuarat Dewan Rakyat penggal ke-14 sudah memasuki minggu pertama dan tumpuan kini menjurus kepada perubahan dasar kerajaan mengikut acuan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dan paling dinantikan adalah pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Ianya bagi menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan oleh kerjaan Barisan Nasional (BN) pada 1 April 2015.

GST dan SST , kedua-duanya adalah cukai perbelanjaan (consumption tax) dan merupakan cukai nilai tambah ataupun Value-Added Tax (VAT) dimana sistem ini mengenakan cukai kepada perbelanjaan tertentu pengguna.

“Secara kasar, consumption tax dikenakan kepada perbelanjaan rakyat. You consume, you have to pay tax,” kata penulis ekonomi Haziq Mursyidi dipetik portal ilmiah, The Patriot.

Merungkaikan kelebihan dan kekurangan kedua-dua jenis cukai ini – GST dan SST, beliau menjelaskan bahawa walaupun GST dikenakan disetiap rantaian pengedaran, tetapi kesemua cukai disetiap peringkat boleh dituntut semula, kecuali kepada pengguna akhir.

Berbanding SST, sistem percukaian itu dikenakan pada peringkat awal iaitu pengilang sahaja, tetapi cukai ini tidak boleh dituntut kembali.

Memberi contoh barang oleh pengilang berharga RM10 dan selepas dikenakan GST 6%, nilainya akan meningkat kepada RM10.60.

Namun VAT yang dikenakan boleh dituntut kembali daripada jabatan kastam, justeru itu kos sebenar kepada pemborong akan kekal RM10.

Berbanding SST, cukai 10% yang dikenakan tidak boleh dituntut, lantas menaikkan harga barang kepada RM11 yang ditanggung oleh pemborong.

Perkiraan secara terperinci boleh dilihat menerusi rajah dibawah:


Ujarnya, GST dilaksanakan dengan pelbagai tujuan dan yang terutama adalah bagi mengelak daripada berlakunya cukai berganda (double taxation) sepertimana berlaku dibawah sistem SST.

Jelas Haziq, SST dikenakan terhadap pengilang dan sekali lagi dikenakan kepada pemborong dan kos keseluruhan itu akan ditanggung oleh pengguna termasuk margin untuk kedua-dua rantaian sebelumnya.

“Contohnya, kita membeli Coca-Cola dekat hotel. Hotel kemudian mengenakan service tax, Coca-Cola yang dibeli oleh hotel dan dijual kepada pengguna juga telah dicukaikan diperingkat kilang. Secara tidak langsung, telah berlakunya cukai berganda di sini.”

Tambahnya lagi, sistem GST adalah lebih telus berbanding SST dimana cukai yang dibayar dipaparkan pada resit yang menjadi bukti berbanding SST, cukai yang dibayar tidak dinyatakan pada resit.

Hal ini juga diakui oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menyatakan GST lebih efisyen dan SST akan memberi kesan terhadap barangan pengguna.

Walaubagaiamanapun, GST juga mempunyai kelemahan dan kelemahan pertama menurut Haziq adalah peniaga tidak berdaftar dengan pihak kastam – termasuklah peniaga kecil yang pada akhirnya akan menyerap kos GST itu dari pengilang dan pemborong.

Penyelesaiannya kata Haziq adalah dengan mengarahkan semua peniaga mendaftar GST.

Masalah kedua adalah proses tuntutan semua cukai dari pihak kastam yang memakan masa antara 14 hinga 28 hari dan ianya akan mengganggu aliran tunai peniaga secara langsung.

Kelemahan ketiga adalah margin keuntungan yang terlalu tinggi.

Sekiranya pengguna menetapkan keuntungan melebihi 67% daripada nilai barang, jumlah GST 6% yang dikenakan adalah lebih tinggi daripada nilai cukai 10% SST.

“Walaupun terdapat kelemahan yang ada pada perlaksanaan GST, tetapi GST perlu diteruskan bagi mempelbagaikan pendapatan negara. Namun pembaikan dari segi perlaksanaan kerana tidak boleh dinafikan perlaksanaan GST itulah yang bermasalah.

GST bukanlah kitab yang tidak boleh diubah demi kebaikan rakyat. SIstem GST itu jauh lebih baik daripada SST. Yang perlu diperbetulkan adalah sistem GST negara kita yang sedia ada, agar beban rakyat dapat dikurangkan,” katanya lagi.

Umno Online
Sumber diperoleh daripada portal The Patriot bertajuk GST VS SST. – mD

Monday 6 August 2018

TEKS UCAPAN KETUA PEMBANGKANG, YB Muhamad Yusoff Bin Mohd Noor SIDANG DUN PULAU PINANG PENGGAL PERTAMA KALI KE 14 2018

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt & Salam Sejahtera

Yang Berhormat Dato' YDP,YB Dato Timbalan YDP, Rakan-Rakan Ahli YB, Ahli-Ahli Dewan yang mulia, Ketua Jabatan, Wakil-Wakil Jabatan, Tuan-Tuan/Puan-Puan, hadirin yang dihormati sekalian.

Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah SWT kerana dengan izin, limpah rahmat dan inayah Nya, kita semua masih diberikan kesempatan dan kesihatan untuk berada di dalam Dewan yang mulia bagi berbincang dan berbahas dalam menyelesaikan isu-isu dan masalah demi kepentingan rakyat dan masyarakat di kawasan masing-masing.

Sungai Dua mengucapkan terima kasih atas peluang yang diberikan untuk terlibat salam perbahasan atas Ucapan Perasmian Penggal Pertama Sidang DUN Kali Ke 14 oleh TYT yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang pada 03 Ogos 2018 yang lalu.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah :

- Tahniah kepada Pakatan Harapan yang telah berjaya memenangi PRU 14 dan seterusnya membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan dan juga peringkat Negeri Pulau Pinang.
- Tahniah diatas perlantikan YAB Chow Kon Yeow, ADUN Padang Kota yang telah dilantik sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang baru.
- Tahniah kepada YB Dato’ Yang Di Pertua dan Timbalan Yang Di Pertua serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri yang telah dilantik ke jawatan masing-masing, selamat menjalankan tugas.

Walaupun Kerajaan Persekutuan kini telah bertukar tangan, kita tidak boleh sesekali lupa bahawa kemakmuran dan kesejahteraan yang dinikmati oleh Negera Malaysia selama ini terhasil daripada keikhlasan dan perancangan teliti daripada Pentadbiran BN yang terdahulu.

Malahan perubahan Kerajaan Pakatan setelah selesai PRU 14 telah berjalan dalam keadaan yang aman, sekaligus menafikan segala tohmahan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab kononnya akan berlaku rusuhan, pengisytiharan darurat dan sebagainya.

Walaupun pelbagai asakan dan tekanan samada dari dalam maupun luar khususnya berkaitan ekonomi negara, Malaysia tetap utuh mendepani pelbagai cabaran sehinggakan diwaktu peralihan pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Kerajaan BN meninggalkan simpanan rizab negara berjumlah RM 430 Billion iaitu rekod tertinggi dalam sejarah Malaysia.

Pulau Pinang juga secara tidak langsung telah mendapat manfaatnya walaupun Kerajaan Negeri telah bertukar tangan sejak 2008 yang lalu, peruntukan yang besar tetap disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah BN yang terdahulu atas dasar kemakmuran dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Justeru itu, saya percaya semua pihak samada di peringkat pentadbiran Kerajaan Negeri maupun wakil rakyat, kita berpegang kepada prinsip memastikan nasib rakyat terus dibela dan kerana itu saya mengharapkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dibawah YAB Ketua Menteri yang baru dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab terhadap rakyat dengan lebih adil, baik, telus dan berintegriti.
Saya percaya YAB Ketua Menteri mahu memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat tanpa menimbulkan sebarang isu yang boleh menjurus kepada penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

Pergi berburu sampai sempadan 
Dapat Kancil badan berjalur
Biar carik baju di badan 
Asalkan hati bersih dan jujur

YB. Dato’ Yang Di Pertua,

Sebagai wakil BN dan pembangkang di Dewan yang mulia ini, sudah tentu saya dan rakan-rakan faham bahawa dengan jumlah kerusi yang kami miliki pastinya tidak akan mampu merubah apa jua keputusan yang bakal dibuat oleh Kerajaan Negeri selepas ini.

Dalam penggal yang lepas, saya berada bersama 9 orang rakan-rakan pembangkang, kini hanya tinggal 3 orang sahaja. Walaupun hanya 3 orang kami berikrar dan cuba untuk menjadi pembangkang yang konstruktif dan dinamik, kami akan membawa suara rakyat di peringkat akar umbi serta bertindak sebagai ‘check and balance’ (dengan izin) kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang demi kebaikn seluruh rakyat.

Kita perlu menjaga hasrat kita bersama-sama dengan hasrat TYT Yang Di Pertua Negeri untuk melihat dewan ini menjadi tempat yang mulia, kita ada Peraturan DUN, kita ada Peraturan Mesyuarat tapi peraturan ini tidak ada maknanya jika kita tidak mematuhinya, kita ada YB Dato’ Yang Di Pertua Dewan, tapi ianya tidak bermakna jika kita tidak mematuhi arahan-arahan YB Dato’ Yang Di Pertua Dewan. Setiap Ahli Dewan perlu mengambil bahagian dalam perbahasan dengan berhemah dan menjaga kesopanan dan kesusilaan disamping mengutarakan pandangan yang berkualiti.

Kita menyahut saranan TYT Tun untuk menjadikan Dewan ini tempat perbincangan yang baik dan perbezaan pandangan 1 perkara yang amat bernilai dan perlu diterima dengan hati yang terbuka.

Kerana itu saya melihat beberapa masalah yang berlaku sebelum ini perlu mendapat perhatian khusus daripada Kerajaan Negeri memandangkan ianya melibatkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat Pulau Pinang.

YB. Dato’ Yang Di Pertua,

ISU BANJIR DAN BANJIR KILAT

Kerajaan Negeri semasa mengambil alih pentadbiran negeri 2008 telah berjanji akan menyelesaikan isu banjir dalam masa 1 penggal.

Banjir berlaku di seluruh kawasan di Negeri Pulau Pinang. Setiap kawasan menghadapi bencana ini dan setiap Ahli Yang Berhormat terpaksa turun padang dan menghulurkan sumbangan untuk mereka yang mengalami banjir kilat.

Tidak dinafikan banjir kilat ini berpunca daripada hujan yang terlalu lebat dan fenomena air pasang besar, ianya juga berlaku disebabkan :

- Limpahan sungai cetek / tebing rendah (RTB)
- Longkang / perparitan / sungai tersumbat
- Pembangunan yang keterlaluan dan tidak dikawal di sesuatu tempat
- Penarahan bukit / tanah tinggi
- Tiada sistem saliran yang sempurna

Masa lalu pihak Kerajaan Negeri menuding jari mencari salah pelbagai pihak – salah Kerajaan Persekutuan / salah jabatan dan sebagainya. Sedangkan kesilapan dan kesalahan Kerajaan Negeri tidak dilihat langsung.

Banjir ini akan terus berlaku jika isu-isu besar seperti RTB / Sistem Saliran Yang Tidak Sempurna / Pembangunan Keterlaluan / Penarahan Bukit (Pembangunan Tanah Tinggi) tidak diselesaikan. Saya mohon pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memberi lebih fokus dengan sebaik-baiknya dalam mengatasi banjir dengan melihat punca-punca banjir selain daripada Pembinaan Rancangan Tebatan Banjir semata-mata.

Mohon juga pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang membentangkan Pelan Tindakan menyelesaikan masalah banjir yang telah dirancang dengan mengambil kira punca-punca banjir seperti yang disenaraikan. Pembentangan ini perlu dibuat kepada rakyat.

- Limpahan sungai cetek / tebing rendah (RTB)
- Longkang / perparitan / sungai tersumbat
- Pembangunan yang keterlaluan dan tidak dikawal di sesuatu tempat
- Penarahan bukit / tanah tinggi
- Tiada sistem saliran yang sempurna

Boleh atau tidak Kerajaan Negeri Pulau Pinang mewujudkan satu Pelan Induk Pencegahan Banjir Pulau Pinang sepertimana Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang menelan belanja puluhan billion ringgit?

Saya juga mohon penjelasan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang berkaitan pencapaian dan perbelanjaan RTB bagi Tahun 2017 sebanyak RM 220 juta.

RM 11.6 Juta – MBPP
RM 150 Juta – JPS
RM 9.45 Juta – MPSP
RM 50 Juta – PBAPP

Kita ingin lihat masalah banjir dapat diselesaikan sebelum penggal ini berakhir kerana tiada alasan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan tidak diperolehi dan rakyat merasa lega dan bersyukur.

Apakah alasan untuk tidak selesaikan masaalah banjir di Pulau Pinang dan kenapa KN masih mahu berbelanja puluhan billion utk bina lebuhraya, tambak laut dan lain-lain sedangkan masaalah banjir perlu diberi keutamaan.

YB. Dato’ Yang Di Pertua,

ISU RASUAH

Menyokong dasar Kerajaan Negeri Pulau Pinang membenteras rasuah habis-habisan dan saya juga menyokong Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak menutup mana-mana kes rasuah yang melibatkan mana-mana pemimpin, wakil rakyat dan anggota – anggota mana jabatan yang kes mereka telah dimulakan siasatannya sebelum PRU 14. Saya juga mendesak supaya kes rasuah yang telah dihadapkan ke mahkamah tidak ditutup, ditarik balik atau digugurkan. Mohon diteruskan perbicaraan hingga selesai. Sejak 1 Jun 2018 hingga 3 Ogos 2018 terdapat 5 kes melibatkan 9 orang pemimpin Pakatan Harapan yg telah digugurkan oleh Mahkamah atas persetujuan dan arahan Peguam Negara.

ISU RASUAH LIM GUAN ENG

Seperti yang saya katakan di awal ucapan saya tadi, YB Ketua Menteri baharu harus bebas dari perkara yang tidak baik seperti rasuah dan sebagainya. Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali. (dengan izin) Seperti mana sekarang ini kes rasuah Ketua Menteri terdahulu yang sedang didengar di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. Saya tidak menafikan bahawa berdasarkan prinsip “innocent until proven guilty”, bekas Ketua Menteri ini hanya akan disabitkan salah apabila beliau terbukti benar-benar bersalah, namun saya juga ingin menekankan satu lagi prinsip undang-undang iaitu keadilan harus dilaksanakan “without fear & favour” iaitu keadilan harus dilaksanakan tanpa takut dan pilih kasih. Nampaknya ada ura-ura yang kes terhadap Ketua Menteri dahulu akan ditarik balik oleh Peguam Negara yang juga peguam persendirian pakatan harapan dahulu. Jika benar ini berlaku, dimana keadilan jika ianya dijalankan dengan pilih kasih. Saya amatlah berharap agar YB Ketua Menteri yang baharu ini tidak terlibat dengan isu-isu begini yang akan merisaukan rakyat sejurus dapat mencalar keyakinan rakyat kepada pemimpin.

YB Dato’ Yang Di Pertua

PEMBANGUNAN MAMPAN

TYT Tun menyarankan supaya Kerajaan Negeri dan Ahli-ahli Yang Berhormat memberi perhatian serius kepada Aspek Pembangunan Mampan ( Sustainable Development) dalam apa jua bentuk pembangunan. Pembangunan perlu menitikberatkan kehijauan dan kelestarian alam sekitar serta memastikan keperluan generasi hari ini dipenuhi tanpa mengorbankan hak generasi akan datang.

PENCEROBOHAN KAWASAN BUKIT

Begitu juga dengan isu membabitkan pencerobohan kawasan bukit dan pelaksanaan perancangan pembangunan di lereng bukit yang telah pun mendatangkan kecelakaan kepada orang awam atau pekerja yang terlibat dalam sektor pembinaan.

Kematian yang berlaku dalam kes tanah runtuh di Tanjung Bungah misalnya telah pun menyebabkan keresahan para penduduk termasuk NGO yang selama ini membangkitkan isu tersebut.

Saya percaya antara punca berlakunya kejadian banjir kilat adalah disebabkan oleh proses meratakan kawasan bukit serta pembinaan projek pembangunan di lereng bukit yang tidak terkawal dan ini dibuktikan apabila banjir kilat yang berlaku membawa bersama selut dan air berwarna merah.

Sama ada kita sedar atau tidak, setiap kali berlakunya hujan lebat di Pulau Pinang rakyat berada dalam keadaan yang tidak selesa serta tertekan kerana bimbang berlakunya banjir kilat yang akan membebankan mereka.

Soalan saya, apakah langkah lanjut yang dilakukan oleh kerajaan negeri bagi menangani isu pencerobohan dan meratakan kawasan bukit ?

Apakah kajian perubahan iklim dan perlindungan lereng bukit telah dilaksanakan dengan peruntukan RM 10 juta untuk tahun 2017. Sila berikan penjelasan.

PROJEK LEBUHRAYA PIL 1 (PAN ISLAND LINK 1)

Merujuk kepada laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) oleh Wirana (M) Sdn. Bhd. amat jelas bahawa PIL 1 bakal menjejaskan kehidupan seharian orang awam. Bunyi bising, getaran, kesesakan lalulintas & kesulitan semasa tapak pembinaan merupakan isu yang serius.

Terdapat isu-isu lain yang timbul disebabkan projek PIL 1 iaitu :

1. Nilai hartanah di kawasan PIL 1 akan turun disebabkan masalah pencemaran yang berlaku.
2. Permandangan yang indah, jalanraya dengan pokok-pokok dan mercu tanda akan hilang dan terjejas.
3. Banjir kilat mungkin berlaku di kawasan tersebut.
4. Kesan kesihatan dan kesejahteraan kepada penduduk, pekerja, pelajar sekolah dan orang ramai.
5. Terdapat bangunan-bangunan kerajaan dan swasta yang akan terkesan dan terjejas akibat projek ini iaitu :

 9 buah sekolah akan terlibat.
 10 buah tempat ibadat.
 3 tapak rekreasi.
 4 tanah perkuburan.
 2 hospital swasta.

Mohon pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengkaji semula kesan pembinaan kepada alam sekitar, kea-kesan kesihatan kepada penduduk, banjir kilat yang akan berlaku, pencemaran bunyi, habuk dan lain-lain yang akan berlaku dan keadaan semulajadi yang mungkin akan tercemar apabila projek ini terus dilaksanakan.

Memikirkan akternatif lain selain daripada PIL 1 ini untuk menyelesaikan isu-isu alam sekitar dan pencemaran kepada penduduk.

ISU TEROWONG DASAR LAUT

Seluruh rakyat di Pulau Pinang mahupun Malaysia sedar tentang projek terowong dasar laut yang telah mencetuskan pelbagai pandangan serta pendapat sehinggalah membawa kepada perang politik.

Bukan sahaja isu tentang kos dibangkitkan tetapi juga soal alam sekitar apabila projek tambakan laut dilakukan.
Sehingga hari ini, rakyat masih tertanya-tanya apakah kesinambungan projek terowong dasar laut ini? Dan apakah hasil kajian yang dilakukan yang dikatakan memakan kos yang sangat tinggi?

Adakah ianya masih diteruskan atau terdapat sebarang kajian lain yang sedang dilakukan oleh kerajaan negeri atau mana-mana pihak yang statusnya boleh dibentangkan kepada rakyat?

Saya membangkitkan perkara ini kerana imej kerajaan negeri sebelum ini telah terjejas dengan pelbagai persoalan yang menyentuh kewibawaan pentadbiran kerajaan negeri, justeru itu saya berpendapat adalah lebih baik isu ini diperjelaskan kepada rakyat agar semua pihak faham kedudukan sebenar.

Y.B. Dato' Yang Di Pertua,

PERUMAHAN

Kerajaan Negeri Pulau Pinang sering memperkatakan bahawa Kerajaan Negeri telah menyediakan rumah yang secukupnya untuk rakyat Pulau Pinang.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui PDC dan sektor swasta telah membina 24,227 unit perumahan kos rendah dan sederhana rendah dalam tempoh 10 tahun dari tahun 2008 hingga tahun 2017.

Rumah atau tempat tinggal merupakan salah satu keperluan yang penting untuk manusia. Setiap anggota masyarakat yang berkeluarga memerlukan tempat tinggal sebagai tempat berteduh. Mereka sudah semestinya ingin memiliki rumah sendiri dengan kemampuan yang mereka ada.

Terdapat seramai 50,000 atau lebih pemohon yang berdaftar dengan Perumahan Negeri yang memohon untuk memiliki rumah Kos Rendah atau Kos Sederhana Rendah. Mereka-mereka ini adalah terdiri daripada golongan yang berpendapatan rendah samada bekerja di sektor awam, sektor swasta, bekerja kampung ataupun yang berniaga kecil-kecilan yang tidak mampu membeli Rumah Mampu Milik Kategori C.

Pembinaan Rumah Mampu Milik Kategori C akan menyebabkan golongan ini tidak dapat memiliki rumah sendiri.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang jangan hanya memikirkan pembeli-pembeli yang mampu membeli Rumah Mampu Milik Kategori C keatas tetapi perlu juga memikirkan pembeli-pembeli yang berpendapatan rendah yang hanya mampu membeli rumah berharga RM 80,000.00 ke bawah sahaja. Sepertimana yang di sebut oleh TYT Tun dalam ucapan perasmian sidang DUN berkaitan keperluan rumah untuk golongan B40 dan M40 di Negeri Pulau Pinang.

Fikirkan satu pendekatan.

SARANAN SAYA

1. Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu membina lebih banyak Rumah Kos Rendah dan Kos Sederhana Rendah (RMM Kategori A & B)
2. Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu membina lebih banyak Rumah PPR diatas tanah milik Kerajaan Negeri untuk tujuan penyewaan.
3. Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu melaksanakan konsep “Rent To Own’ untuk golongan ini yang sukar mendapat pinjaman dari bank.
4. Kuarter-kuarter / Rumah Kerajaan yang terbengkalai tanpa sewaan perlu dijadikan rumah sewa atau dijual kepada pembeli yang layak.
5. Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu memikirkan satu kaedah atau perancangan khusus bagi menyelesaikan masalah rumah untuk semua seperti yang diwar-warkan.

PENGLIBATAN DAN PERANAN PIHAK SWASTA

TYT Tun dalam ucapan perasmian menyebut dan memohon agar pihak swasta juga perlu tampil dalam membantu Kerajaan Negeri untuk menangani isu seperti penyediaan perumahan kos rendah dan kos sederhana rendah, menyelesaikan isu pengangkutan awam kepada rakyat Negeri Pulau Pinang, penyediaan lorong berbasikal dan lain-lain isu. Dan untuk penglibatan pihak swasta ini TYT Tun mengharapkan dan memberi penekanan agar pihak Kerajaan Negeri dan Pihak swasta tidak hanya memikirkan keuntungan semata-mata, kepentingan sosial, penjagaan alam sekitar dan kebajikan kepada rakyat perlu diberi keutamaan.

YB Dato’ Yang Di Pertua

PENYAMPAIAN BANTUAN RIBUT YANG TIDAK EFFISIEN

Ribut yang berlaku di kawasan Seberang Perai dan Pulau Pinang telah mengakibatkan kerosakan bumbung rumah, harta benda penduduk dan pokok-pokok tumbang. Di kawasan DUN Sungai Dua terdapat hampir 20 buah rumah yang agak teruk dan terdapat juga rumah-rumah yang mengalami kerosakan kecil.

Ucapkan terima kasih kepada agensi/jabatan yang telah membantu iaitu Pejabat Tanah & Daerah, pihak Penghulu Kawasan, pegawai-pegawai JKM, pihak PUZPP, Bomba, JPAM dan lain-lain.

Cuma agak terkilan dengan kaedah penyampaian bantuan yang saya rasa kurang berkesan kepada penduduk yang mengalami kerosakan yang agak banyak. Bagi yang mengalami kerosakan kecil tiada masalah.

Penduduk-penduduk yang terlibat tidak dibaiki bumbung hingga berhari-hari/berminggu-minggu. Jawapan dari pihak terlibat tuan rumah perlu membaiki sendiri kerosakan yang dialami dan menghantar tuntutan kepada Pejabat Daerah. Bagi penduduk yang miskin susah untuk melaksanakannya.

Mohon pihak Pejabat Tanah dan Daerah mencari 1 kaedah yg lebih sesuai dan boleh membantu penduduk terlibat dengan segera.

Cadangan :

Mohon pihak Pejabat Tanah & Daerah melantik kontraktor untuk kerja-kerja pembaikan dan membuat tuntutan kepada Pejabat Tanah & Daerah setelah siap kerja-kerja baikpulih tersebut.

YB Dato Yang Di Pertua

PERTANIAN (TANAMAN/TERNAKAN/TERNAK AIR/IAT)

Sektor pertanian tidak diberikan tumpuan yang hebat oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Peruntukan tahunan dari segi pembangunan juga agak kecil setiap tahun sekitar RM 7.9 juta sahaja melibatkan Jabatan Pertanian, Jabatan Veterinar dan JPS.

Sedangkan penyediaan bahan makanan amat penting dan pengurangan import perlu diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Dengan tanah yang semakin berkurangan, pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang disarankan mencari ruang-ruang/peluang dan alternatif lain untuk meningkatkan pengeluaran bahan makanan seperti sayur-sayuran/beras/buah-buahan dan lain-lain.

Apakah langkah yang dikenalpasti oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam meningkatkan pengeluaran bahan makanan dengan tanah yang terhad serta menambah pendapatan penduduk?

PENAMBAKAN TANAH SAWAH

Kerja-kerja penambakan tanah sawah dalam kawasan kawasan pengairan telah berlaku dengan agak rakus di kawasan Sungai Dua.

Terdapat beberapa kawasan sawah yang telah ditambak untul tujuan pembinaan tanah lot, rumah-rumah dan tapak perniagaan kini terbiar dan semak. Dan ini menyebabkan terdapat banyak musuh-musuh tanaman padi seperti tikus dan lain-lain serangga berkumpul dan membiak disitu. Ianya juga mengganggu sistem pengairan dan saliran air ke sawah-sawah yang berhampiran.

Tiada tindakan yang berkesan dan bersepadu diambil oleh pihak berkuasa samada Pejabat Tanah & Daerah, Pentadbir Tanah & Galian, Jabatan Pertanian, Jabatan Parit & Saliran atau yang lebih layak Majlis Perbandaran Seberang Perai. Semua tindakan adalah separuh jalan dan tanah-tanah yang ditambun akhirnya terbiar setelah ianya tinggi ditambak. Bila ditanya kepada JPS, salah kepada PTD ataupun MPSP.

Contoh terbaru : Tanah di Sungai Lokan, bila ditanya kepada MPSP, dijawab dalam tindakan mahkamah. Saya nak Tanya kalau dalam tindakan mahkamah boleh kah syarikat terlibat meneruskan kerja-kerja menambak/buat lot/buat jalan dan lain-lain?

Saya mohon pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui MMK terlibat mengambil satu tindakan yang bersepadu dengan semua jabatan/agensi terlibat untuk mengatasi dan membendung masalah ini daripada berterusan.

YB Dato’ Yang Di Pertua

PEKERJA MISKIN DI KALANGAN RAKYAT PULAU PINANG

Kebanyakkan anak-anak muda dan penduduk-penduduk Pulau Pinang yang baru bekerja menhadapi masalah berada di tahap pendapatan yang rendah dan boleh dikategorikan miskin dengan pendapatan kasar RM 3,000.00 ke bawah [B40 dan M40]. Mereka ini tidak mempunyai kemampuan untuk membeli rumah atau pun perbelanjaan-perbelanjaan yang lain untuk meneruskan kehidupan mereka.

Apakah strategi dan langkah yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam membantu menyelesaikan masalah pekerja miskin di negeri Pulau Pinang (tingkatkan pendapatan).

Bagaimana Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan membantu mereka-mereka yang terlibat dalam mendapatkan rumah yang bersesuaian dengan pendapatan mereka dibawah RM 3,000.00? Sepertimana yg diucapkan oleh TYT Tun dalam ucapan berkaitan peranan KNPP dan pihak swasta dalam menyediakan lebih rumah bernilai RM 42,000 bagi menepati matlamat 1 rumah 1 keluarga.

Apakah Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mempunyai pendekatan dan strategi untuk melaksanakan pembangunan ekonomi Luar Bandar? Senaraikan.

Y.B. Dato' Yang Di Pertua,

HALAL HUB

Setiap kali sidang DUN saya membangkitkan masaalah berkaitan Halal Hub dan Penyediaan Gelatin Halal utk rakyat Negeri Pulau Pinang.

Mohon diperjelaskan pencapaian terkini Industri Halal di Negeri Pulau Pinang dan sertakan lapuran pencapaian penghasilan gelatin halal yg sedang diuruskan oleh KNPP melalui anak syarikat dan syarikat swasta serta lapuran impot daripada luar negara ke Negeri Pulau Pinang.

MEMARTABATKAN AGAMA ISLAM

Saya mengucapkan tahniah atas perlantikan Y.B Pinang Tunggal sebagai Exco Hal Ehwal Agama Islam pada kali ini. Saya harapkan Y.B Exco akan peka dan menjaga sensitiviti umat Islam di negeri ini berbanding Exco Agama yang lepas yang kita nampak buat kerja syok sendiri.

Dari denyutan nadi rakyat saya sampaikan hasrat agar Agama Islam di mertabat. Bukan sekadar retorik dan melangit. Akhirnya pembaziran berlaku hilanglah berkat. TYT Tun dalam ucapan perasmian menyebut Agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan seperti dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu ia harus dimartabatkan dengan memperkasa Institusi-institusi berkaitan Islam seperti Masjid/Surau, MAIPP, ZPP, Maahad Tahfiz, Kelas KAFA/SAR dan lain-lain Institusi berkaitan.

Majlis Agama Islam Pulau Pinang

Majlis Agama Islam Pulau Pinang dianggap jantung umat Islam. Peranannya untuk menjadikan Islam sebagai cara hidup perlu diperjelaskan, menegakkan keadilan mengikut hukum Islam perlu dipertingkatkan, mengawal dan membasmi murtad, kemungkaran, maksiat dan khurafat perlu dilipatgandakan.

Peri penting peranannya perlu bermula dari Yang Dipertua Majlis sendiri. Rakyat tertanya-tanya siapakah yang mengajukan nama calon YDP Majlis Agama kepada Yang Dipertuan Agong, kreteria bagaimana yang menyebabkan dicalonkan. Dan adakah benar mantan YB Exco Agama yang lepas telah mencalonkan namanya sendiri untuk jawatan itu dan sekarang mendapat jawatan itu, perlu dilakukan pencerahan agar rakyat tidak tertanya-tanya lagi kenapa beliau yang dilantik sedangkan trek rekod beliau semasa memegang jawatan Exco Agama tidakpun menguntungkan umat Islam Pulau Pinang.

Sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada YB Timbalan Ketua Menteri yang telah berjaya membawa Masjid At-Taqwa Bertam Indah menjadi masjid terbaik di Malaysia. Saya harapkan tempias kejayaan tersebut turut dirasai kepada seluruh masjid dan surau di negeri ini. Saya berharap agar ideologi yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah dapat dihindarkan dari meracuni rakyat. Keterbukaan oleh mantan Exco Agama yang lepas menyebabkan bibitbibit perpecahan umat kita rasai, kemasukan penceramah dan pendakwah tanpa kawalan, kita khuatiri memecahkan keharmonian masjid itu sendiri.

Y.B. Dato' Yang Di Pertua,

Zakat Pulau Pinang [ ZPP ]

Institusi Zakat merupakan nadi kewangan umat Islam Pulau Pinang. Peranan ini dimainkan oleh Zakat Pulau Pinang yang merupakan anak syarikat Majlis Agama Islam. Dengan kutipan meningkat saban tahun, menunjukkan kepercayaan umat Islam untuk membayar di sana. Walaubagaimanapun, saya merasa pelik dan janggal, satu institusi yang cukup besar peranannya , sehingga kini gagal untuk melantik Ketua Pegawai Eksekutif yang baru bagi menggantikan Dato’ Haji Azman Bin Abdul Samad yang telah ditekan untuk berhenti. Adakah kita rakyat Pulau Pinang ketandusan orang sehingga sekarang jawatan tersebut sekadar di pangku oleh bekas pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam. Saya amat percaya, perlantikan C.E.O Zakat Pulau Pinang, sewajarnya disegerakan demi maslahah umat Islam itu sendiri, kerana sejak ketiadaan C.E.O yang lama, tiada lagi rumah fakir miskin dibina dan banyak lagi program-program asnaf seolah-olah lesu dan tidak bermaya.

Maahad Tahfiz Negeri/ Maahad Tahfiz Swasta

Rakyat rindukan kewujudan Maahad Tahfiz Negeri. Ditubuhkan pada sekitar tahun 1995 dan banyak melahirkan para penghafaz Al-Quran yang berkualiti, professional dan menjadi kebanggaan negeri. Malangnya sejak ditelan oleh Kolej Islam Teknologi Anrabangsa, (KITAB) semakin hari semkin lesu, pelajar-pelajar tidak lagi berminat ke sana dan antara factor adalah nama KITAB itu sendiri. Pengurusan kolej ini gagal bukan sahaja menguruskan Tahfiz, malah gagal dalam semua jurusan. Buktinya, jumlah kemasukan ke kolej ini amat mengerikan, banyak jurusan yang tidak mendapat kelulusan MQA dan beban kewangan bergantung kepada peruntukkan zakat semata-mata, sedangkan peruntukkan itu asalnya untuk Maahad Tahfiz Negeri. Oleh yang demikian, saya cadangkan pembubaran kolej ini dan ditubuhkan semula Maahad Tahfiz Negeri yang lebih diperlukan oleh rakyat Jelata. Begitu juga perjalanan dan pentadbiran Maahad Tahfiz persendirian diseluruh Pulau Pinang yang hanya bergerak dan berjalan sendiri tanpa bantuan yang banyak daripada Kerajaan Negeri. Adalah diharapkan agar pihak Kerajaan Negeri melalui Exco Agama, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang memberi perhatian dalam membantu Maahad Tahfiz persendirian yang ada diNegeri Pulau Pinang dari segi peruntukan, pembangunan infrastruktur, pendaftaran dan lain-lain demi memartabatkan Islam di Pulau Pinang.

Kelas KAFA

Kelas KAFA di Pulau Pinang semakin mendapat tempat, kejayaan Pulau Pinang berada di kedudukan pertama dalam pencapaian Ujian Kelas KAFA (UPKK) peringkat kebangsaan amat membanggakan kita. Kejayaan ini telah menjadi bahan kempen Pakatan Harapan untuk menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk memertabatkan Islam di negeri ini. Atas kejayaan ini, seharusnya pihak kerajaan negeri mempertimbangkan tambahan untuk bayaran ex-gratia RM50 setiap bulan yang diterima oleh para guru-guru ini. Mohon Kerajaan Negeri kalau sungguh nak bantu KAFA ini, naikkan dan tambah bayaran ex-gratia kepada guru-guru.

Isu Fatwa

Mohon penjelasan daripada Exco Agama berkaitan kedudukan Fatwa-fatwa yang telah di putuskan tetapi belum di gazetkan hingga ke hari ini. Mohon dilapurkan apakah masaalah yg timbul sehingga menyebabkan timbul masaalah yang berkaitan. Dan sila senaraikan fatwa-fatwa yang terlibat.

YB Dato’ Yang Di Pertua

NASIB PENIAGA JALANAN

Semua pihak sedar bahawa keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu telah memberikan cabaran kepada Malaysia, begitu juga dengan Pulau Pinang.

Sudah tentu satu perancangan khusus perlu disediakan oleh kerajaan negeri bagi mengimbangi kesannya dan saya percaya bahawa kerajaan negeri telah pun membuat persediaan ke arah itu dengan langkah-langkah yang sewajarnya di bawah kepimpinan Ketua Menteri yang baharu.

Begitu jugalah dengan rakyat di bawah, ada di kalangan mereka memilih untuk menjalankan perniagaan kecil-kecilan bagi menampung kos kehidupan yang semakin tinggi.

Namun terdapat kumpulan ini yang tidak mempunyai keupayaan aset ataupun modal awal yang besar, cuma setakat mampu untuk menjadi peniaga kecil-kecilan dan berniaga di kaki lima dan kawasan-kawasan tepi jalan demi meraih rezeki yang halal.

Sebagai wakil rakyat, saya kadang-kalanya merasa hiba dan sedih apabila kumpulan ini terlibat dalam operasi yang dilakukan oleh pihak majlis perbandaran.

Kerusi, meja dan barangan perniagaan yang menjadi sebahagian daripada keperluan penting dalam urusan mereka mencari rezeki dirampas dan ini sudah tentunya membangkitkan rasa tidak puas hati dan amarah malah memberikan tekanan bagi mereka yang kadang kalanya bergantung harap sepenuhnya kepada perniagaan yang dijalankan.

Saya tidak menyanggah undang-undang apatah lagi menyalahkan pihak yang dipertanggungjawabkan cuma sebagai sebuah kerajaan negeri yang mengaku berjiwa rakyat, apakah tidak ada sebarang perancangan bagi menyelesaikan permasalahan kumpulan atau para peniaga kecil-kecilan ini?

Sebagai contoh kerajaan negeri menyediakan kawasan atau ruang niaga sebagai pilihan kepada kumpulan ini atau sekurang-kurang mengambil tindakan atas budi bicara dengan membenarkan perniagaan kecil-kecilan itu diteruskan dengan syarat-syarat tertentu seperti tidak mengalang lalu lintas dan tidak membuat kekotoran di kawasan terlibat.

Saya sedar perkara yang dibangkitkan ini seolah-olah kita menyanggah peraturan tetapi rasanya sebagai sebuah kerajaan negeri dan dipimpin oleh Ketua Menteri yang baharu, mungkin langkah-langkah tertentu boleh dipertimbangkan kerana kita semua sedar bahawa rakyat juga sedang bergelut dengan kos sara hidup yang semakin hari semakin tinggi.

Mudahkan urusan kelulusan lesen perniagaan, kalau di Selangor dahulu, YB Azmin Ali boleh turun mendengar keluhan peniaga dan memberi sokongan untuk peniaga memohon lesen, saya percaya YB Ketua Menteri yang baharu juga boleh bertindak menyelesaikan isu ini dengan lebih baik lagi.

Y.B. Dato' Yang Di Pertua,

ISU PENGHAPUSAN TOL

Pilihan Raya Umum Ke-14 telah pun melabuhkan tirainya, semua pihak sedar bahawa Pakatan Harapan sudah pun menubuhkan kerajaan di peringkat persekutuan dan begitu juga kerajaan negeri di Pulau Pinang.

Sekalung tahniah sekali lagi saya ucapkan atas kejayaan tersebut dan sudah tentunya keputusan itu melibatkan rakyat keseluruhannya dan ia sebenarnya adalah amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kerajaan negeri atas janji-janji dalam manifesto yang diumumkan sebelum ini.

Sebagai wakil rakyat, saya percaya rakyat kini sedang melihat dan menuntut janji di dalam manifesto yang dibuat oleh Pakatan Harapan yang kini mentadbir kerajaan negeri ditunaikan.

Kerana itu saya ingin bertanya, apakah ada perancangan daripada kerajaan negeri untuk memansuhkan Tol jambatan Pulau Pinang dan Tol Sg Nyior seperti mana yang diumumkan sebelum ini?

Jika ada bila ianya akan dilaksanakan?

YB Dato’ Yg Di Pertua

JANJI-JANJI MANIFESTO

Dalam PRU 14 yang lepas, PH Pulau Pinang memasukkan 68 perkara dalam manifesto. Walau pun manifesto ini bukan janji juga bukan kitab suci tetapi kerajaan PH wajib berusaha untuk melaksanakannya kerana janji-janji kerana janji-janji itu yg menyebabkan pengundi-pengundi tertarik utk memilih PKR selain dari Fitnah yg begitu hebat dalam menjatuhkan kerajaan BN.

Antara yg ditekankan dan perlu diberi keutamaan ialah :

1. Menghadkan Jawatan Ketua Menteri kepada 2 penggal.
2. Melantik pemimpin Pembangkang sebagai Pengerusi J/Kuasa Kira-kira Wang Negeri.
3. Meneruskan pelbagai projek Infrastruktur lebuhraya, terowong dasar laut, PIPPP
4. Projek Tebatan Banjir
5. Menyemarakan keunggulan Islam di Negeri Pulau Pinang
6. Membina 75,361 buah Rumah Kos Rendah, Kos Sederhana Rendah dan Rumah Mampu Milik.
7. Tingkatkan Keusahawanan
8. Dasar Alam Sekitar
9. Pembangunan Pendidikan dan Kemahiran
10. Bantuan Tahunan utk Warga Emas dan OKU sebanyak RM 130 – RM 200
11. Bantuan Program Kesihatan Negeri kepada rakyat yg berpendapatan kurang RM 5,000 iaitu sebanyak RM 300
12. Bantuan kewangan kos sara hidup kepada wanita yg mempunyai pendapatan kurang dari RM 2,000 sebulan.

Y.B. Dato' Yang Di Pertua,

Perkara ini saya bangkitkan di dewan yang mulia ini kerana mengambil kira pentadbiran kerajaan negeri hari ini juga datangnya daripada Pakatan Harapan.

Sudah tentulah ianya perlu diperjelaskan kerana kita tidak mahu melihat janji-janji yang kemudiannya hanya menjadi sandiwara politik demi meraih sokongan untuk berkuasa semata-mata.

Ini soal maruah dan integriti malah menyamai pendirian dan prinsip kerajaan negeri selama ini yang berpegang kepada slogan Cekap, Akauntibiliti dan Telus.

Dalam Islam, janji adalah sesuatu yang sangat di jaga, selama janji tersebut tidak bertujuan untuk berbuat dosa dan ingkar kepada Allah.

Dan setiap muslim sangat ditekankan untuk menepati janji yang sudah mereka ikrarkan. Ada pun perintah untuk menepati janji telah Allah sebutkan dalam Al-Qur'an Surah An-Nahl : 91-92

Terjemahannya ;
“Dan tepatilah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu membatalkan sumpah-sumpah(mu) itu sesudah meneguhkannya, sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai saksimu (terhadap sumpah-sumpah itu). Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu perbuat. (QS. 16:91) Dan janganlah kamu seperti seorang perempuan yang menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat, menjadi cerai berai kembali, kamu menjadikan sumpah (perjanjian)mu sebagai alat penipu di antaramu, disebabkan adanya satu golongan yang lebih banyak jumlahnya dari golongan yang lain. Sesungguhnya Allah hanya mengujimu dengan hal itu. Dan sesungguhnya di hari Kiamat akan dijelaskan-Nya kepadamu apa yang dahulu kamu perselisihkan itu. (QS. 16:92)” (an-Nahl: 91-92)

Sebagai orang Islam, kami percaya bahawa setiap janji yang dibuat perlu ditunaikan apatah lagi janji-janji itu dibuat terhadap seluruh rakyat khususnya di Pulau Pinang.

YB Dato’ Yg Di Pertua

ISU-ISU DALAM KADUN SUNGAI DUA

Izinkan saya membangkitkan isu-isu dan masaalah yg masih belum diselesaikan dalam Kadun Sungai Dua walaupun telah berulangkali dibangkitkan samaada di Dewan Yg Mulia ini ataupun di peringkat Jabatan/Agensi. Ada 6 masaalah yg akan dibangkitkan iaitu :

1. Projek Pembinaan Masjid Jamek Al Mubarak Ptg Bogak dan Pembinaan Bangunan Tambahan SAR Saadatul Durain di Ptg Buloh.
2. Tanah perkuburan Islam yg semakin sempit di Masjid Al Rashid Sg Dua, Masjid Jamek Sg Lokan, Masjid Ptg Tok Jaya, Masjid Nyior Sebatang dan beberapa masjid lain.
3. Laluan Bas Rapid di kawasan Sg Dua ke Kepala Batas melalui Jalan Ptg Sg Dua.
4. Aktiviti perniagaan Cyber Café di Pekan Sungai Dua dan Sungai Puyu.
5. Masaalah kesesakan jalan di Pekan Sungai Dua menghala ke Lebuh Raya Utara Selatan.
6. Perumahan Awam di Sungai Dua.

Y.B Dato’ Yg Di Pertua,

PENJELASAN KE ATAS JAWAPAN SOALAN BERTULIS

1. UEC
2. Bantuan kepada Nelayan dan Pesawah
3. Pembangunan Pertubuhan Belia
4. Penyelaras KADUN Pakatan Harapan
5. Pinjaman Pelajaran Kerajaan Negeri Pulau Pinang
6. CCTV/WiFi
7. LGBT/Ajaran Sesat
8. Malakoff / SP Setia
9. PWDC dan PYDC

YB Dato’ Yang Di Pertua

PENUTUP

Konsep Cekap, Akauntabiliti dan Telus yang di laksanakan dan diamalkan oleh Kerajaan Negeri adalah konsep yang baik dan perlu diterapkan kepada semua ahli-ahli Yang Berhormat dan semua anggota awam dan swasta di Pulau Pinang.

Sebagai wakil rakyat, saya mahu melihat Pulau Pinang ini ditadbir dengan penuh amanah dan bertanggungjawab Saya juga percaya bahawa kerajaan negeri yang di terajui oleh YB Ketua Menteri adalah bijak dan dapat menilai antara yang mana baik dan yang mana buruk. Justeru itu, bagi mentadbir Pulau Pinang dengan cekap, saya berharap agar pihak kerajaan negeri dapat melaksanakan pentadbiran dengan penuh adil dan saksama tanpa mengira unsur politik, agama dan seangkatan dengannya.

Isu membuka dan menyiasat buku dan fail merah perlu juga dilaksanakan di pentadbiran semua Jabatan/ Agensi dan GLC peringkat negeri, jika timbul sebarang masaalah penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Sepertimana yang dilaksanakan di peringkat Kerajaan Pusat.

Selain itu, kedengaran juga beberapa isu mengenai Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas LTTE. Ini soal keyakinan dan keselamatan rakyat. Kita sering kali melaungkan bahawa kita merupakan negara yang anti-pengganas dan menerapkan nilai-nilai keamanan namun sebaliknya isu ini pula yang timbul. Isu sebegini perlu cepat diselesaikan sebelum ianya di manipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan seterusnya menimbulkan ketegangan dan kerisauan rakyat.

Sebagai Wakil Rakyat sudah tentu saya tidak mahu melihat institusi pentadbiran kerajaan negeri di hina walaupun pentadbiran kini berada di sebelah Pakatan Harapan.

Atas dasar itu, maka saya percaya adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menjelaskan persoalan-persoalan berbangkit dan juga status janji yang telah dibuat.

Justeru itu saya menyeru kepada semua,

Peliharalah kemuliaan Dewan yang mulia ini

Marilah kita menjadi Wakil Rakyat yang benar-benar membawa suara rakyat demi memenuhi aspirasi dan kepercayaan yg diberikan oleh rakyat.

Marilah kita jadikan Sidang Dewan kali ini sebagai pencetus kepada kesejahteraan rakyat.

Y.B. Dato' Yang Di Pertua,

Kami pembangkang walaupun hanya bertiga, akan menyokong setiap dasar dan tindakan yang tidak bercanggah dengan Islam dan keadilan kepada rakyat. Kalau ada tindakan yang bercanggah dengan Islam, menentang dan merendahkan Islam serta bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kami akan tentang habis-habisan samada di dalam Dewan atau di luar Dewan yang mulia ini.

Kami menyahut seruan TYT Tun supaya dapat bergerak seiring dengan kerajaan untuk membela kehidupan rakyat dengan mempertingkatkan keadilan serta memastikan semua rakyat Negeri ini mendapat pembelaan yang sewajarnya dari segi peluang ekonomi, sosial, pekerjaan, perumahan, pembangunan infrastruktur dan lain-lain. Adalah diharapkan semua projek yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri, GLC dan Swasta adalah merupakan people centric bukan hanya melihat keuntungan semata-mata.

Kami juga mengharapkan agar Kerajaan Negeri yang begitu Cekap dan Adil akan melaksanakan segala bentuk pembangunan fizikal, modal insan, pembangunan ekonomi rakyat, kebajikan dan lain-lain tidak hanya ditumpukan kepada kawasan-kawasan tertentu dan orang-orang tertentu sahaja.

Akhir kata,

Sebelum saya mengundur diri
Izinkan saya menyusun sepuluh jari
Memohon maaf sekiranya tersalah silap di sana sini

PANTUN

Air surut memungut bayam
Bayam di isi di dalam karung
Jangan di ikut resmi ayam
Bertelur sebiji riuh sekampung.

Padi muda jangan dilurut
Kalau dilurut pecahlah batang
Hati muda jangan diturut
Kalau diturut bencana yang datang.

..Dengan itu, Y.B. Dato' Yang Di Pertua, saya mohon menyokong.