Saturday 10 January 2015

UMNO Tasek Gelugor Hulur Bantuan Kepada Mangsa Banjir Di Kelantan

UMNO Bahagian Tasek Gelugor dan Perda Venture Sdn. Bhd., menghantar kira-kira 200 anggota bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di kawasan Tanah Merah, Kelantan.

Majlis Pelancaran Misi Sukarela dan Bantuan Banjir ke Pantai Timur itu disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian, Datuk Shabudin Yahaya di Pusat Komersial Tasek Gelugur di sini hari ini.

Yang turut menyertai misi berkenaan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Sungai Dua, Mohamad Yusoff Mohd. Noor dan ADUN Permatang Berangan Omar Abdul Hamid.

Shabudin berkata, pihaknya menggunakan 20 buah kenderaan, sebuah bas, empat buah lori, dua van dan beberapa kenderaan pacuan empat roda untuk membantu mangsa banjir terbabit.


Katanya, misi selama empat hari itu melibatkan pemberian bantuan makanan termasuk peralatan barangan dapur dan bantuan kerja pembersihan kawasan yang dilanda banjir membabitkan peruntukan berjumlah RM70,000.

"Kita prihatin dengan penderitaan yang dialami oleh mangsa banjir bagi mengurangkan beban yang mereka hadapi," katanya di sini.

Shabudin yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) berkata, bantuan itu akan diserahkan kepada penduduk yang masih memerlukan bantuan terutama makanan.

Menurutnya, pihaknya juga akan membantu membersihkan kawasan rumah di situ selepas dilanda banjir supaya penduduk dapat tinggal dalam keadaan selesa. 

No comments:

Post a Comment