Sunday, 23 December 2012

DAP Melayu Hanya Penonton Belakang Tabir


GEORGE TOWN: Pemimpin Melayu dalam DAP disifat hanya mampu menjadi 'penonton' belakang tabir dan tidak akan mampu memperjuangkan kelangsungan bangsa Melayu dalam parti itu.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Betong Muhamad Farid Saad berkata ini kerana pengaruh pemimpin yang dilantik di atas kertas tidak setanding dengan pemimpin yang dipilih berdasarkan undi majoriti.

"Pemimpin Melayu dalam DAP tidak akan beri kesan apa-apa dalam pentadbiran kerana bilangan mereka terlalu kecil dan tidak dapat sokongan penuh oleh ahli sendiri," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Briged Sukarelawan Kolej Komuniti (BRiSK) Pulau Pinang baru-baru ini.

Muhamad Farid yang juga merupakan Setiausaha Politik YB Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berpendapat pelantikan dua wakil Melayu oleh Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) iaitu Senator Ariffin S.M Omar dan Setiausaha Politik Lim Guan Eng, Zairil Khir Johari sekadar memenuhi kuota bagi menunjukkan DAP sebagai parti berbilang kaum.

Beliau menyarankan pemimpin Melayu berkenaan menilai sedalam-dalamnya perkara ini kerana majoriti anggota peringkat akar umbi yang tidak memilih pemimpin Melayu jelas menunjukkan mereka tidak menginginkan kaum lain menerajui parti itu.

Pada pemilihan CEC baru-baru ini, kesemua lapan calon Melayu termasuk pejuang DAP Melayu Ahmad Ton kalah teruk dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng kemudiannya mengumumkan pelantikan Ariffin dan Zairil dalam CEC.

Penubuhan BRiSK bertujuan mendidik pelajar supaya prihatin dengan isu masyarakat dan menyemai sikap bekerja secara sukarela dalam diri golongan itu.

Majlis berkenaan dihadiri seramai 100 pelajar dari enam kolej komuniti sekitar Pulau Pinang - ANTARAPOS.

Wednesday, 19 December 2012

PAS Tak Mampu Ganti UMNO , Hanya Melukut Di Tepi Gantang Dalam PR


Bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Seri Mohd Fairuz Khairuddin berkata rakyat terutamanya penyokong Pas perlu sedar hakikat bahawa Pas tidak akan mampu menggantikan UMNO apatah lagi untuk memimpin pembangkang.

Hakikat tersebut tegas beliau berdasarkan fakta kerana Pas tidak pernah mempunyai kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan sepanjang 12 kali pilihan raya umum lalu.

Ini kerana katanya sepanjang 12 kali pilihanraya umum, bilangan kerusi yang ditandingi Pas kurang daripada separuh  dari jumlah keseluruhan kerusi parlimen yang dipertandingkan.

“Bermula dari tahun 1969, Pas hanya bertanding sebanyak 62 daripada 144 kerusi di Parlimen. Tahun 1990 hanya sebanyak 29 daripda 180 kerusi,, tahun 1995 bertanding di 59 daripada 192 kerusi parlimen, tahun 1999 bertanding di 59 daripada 193 kerusi parlimen, tahun 2004 bertanding di 85 daripada 219 kerusi parlimen, dan tahun 2008 bertanding di hanya 66 daripada 222 kerusi parlimen”, katanya kepada UMNO-Online di sini.

Sekiranya Pas menang di semua kerusi yang dipertandingkan pun tegas beliau sudah terang lagi bersuluh parti ini tidak boleh sama sekali membentuk kerajaan.

“Perlu diingat, Pas hanya menang kesemua kerusi mereka ketika mereka bersama BN dalam pilihan raya 1974. Kini setelah bergabung dengan pakatan pembangkang, Pas terus menjadi sebuah parti yang ibarat melukut di tepi gantang.

“Pas hanya mampu menunduk mengikut telunjuk rakan sekutu mereka iaitu DAP dan PKR. Dengan sikap sebegini, mampukah mereka menjadi parti yang mampu menjadi peneraju utama negara… Hakikatnya Pas tidak bersedia untuk menjadi sebuah parti dominan,” ujarnya.

Tambah Fairuz, jelas dapat dilihat dalam pakatan pembangkang sendiri Pas tidak mampu menyanggah DAP dan PKR yang sentiasa mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh Pas termasuklah prinsip perjuangan mereka sendiri untuk melaksanakan hudud dan menubuhkan negara Islam.

Tegasnya lagi, Pas di Selangor sahaja sudah memberikan gambaran jelas bahawa parti itu hanya sebagai pengikut setia yang bersedia menurut perintah sehingga portfolio Exco Agama yang sepatutnya disandang Pas telah dirampas PKR.

“Jika benar Pas dominan dalam pakatan pembangkang, mengapa jawatan Exco Agama tidak diberikan kepada parti itu tetapi sebaliknya dijaga oleh PKR.

“Lagi satu, kalau dominan, mengapa hukum hudud tidak dimasukkan ke dalam Buku Jingga yang menjadi ‘kitab’ perjuangan mereka?” ujarnya.

Katanya lagi, rakyat perlu menilai persoalan-persoalan itu dan hanya mereka yang tidak berfikir secara waras sahaja percaya Pas parti dominan dan terus ditipu oleh Pas yang kononnya mampu untuk menjadi parti yang bakal memimpin pucuk pimpinan negara. - MediaUMNO

Friday, 14 December 2012

Krisis Kewangan 1997/1998 - Siapa Di Belakang Tun Dr Mahathir ?


MUNCULNYA satu detik, yang jarang sekali berlaku dalam hidup, apabila suatu peristiwa menakrifkan semula kehidupan seseorang dan merubah haluan buat selama-lamanya. Bagi saya, pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad di Buenos Aires, Argentina, pada petang 2 Oktober 1997 merupakan detik itu. Ia membolehkan saya memberi tumpuan selama enam tahun dalam kehidupan saya untuk berkhidmat dengan beliau, dan menemuinya hampir setiap hari. Sepanjang proses itu, ia membolehkan saya melihat lebih dekat keupayaan yang dimiliki insan hebat ini.

Jarang sekali kita melihat gabungan nilai-nilai mulia dalam diri seseorang, dan gabungan unik inilah yang membolehkan Dr Mahathir mengubah Malaysia daripada sebuah negara Dunia Ketiga kepada negara berkembang maju dan bertenaga, dan kini berada pada landasannya untuk menjadi negara maju. Gabungan kualiti ini jugalah yang membolehkan Dr Mahathir menyelamatkan Malaysia daripada menjadi sebuah lagi negara IMF semasa krisis kewangan 1997/98.

Ia bermula pada 29 September 1997, apabila saya menerima panggilan telefon dari pejabat Perdana Menteri yang memberitahu Dr Mahathir mahu menemui saya. Beliau berada di Cuba pada ketika itu, dan secara berseloroh, saya bertanya, adakah saya harus menemuinya di sana!

Saya diberitahu, bukan secara berseloroh, bahawa beliau akan tiba di Buenos Aires pada 2 Oktober dan saya harus memastikan diri saya berada di situ sekurang-kurangnya sehari sebelum ketibaan beliau. Saya segera berlepas ke Argentina, dan tiba pada 1 Oktober.

Perdana Menteri tiba pada 5 petang hari berikutnya dan kami segera bertemu di suite beliau. Dr Mahathir memberitahu, beliau telah bertanya ramai orang mengenai punca krisis kewangan tetapi tiada siapa mampu memberi penjelasan memuaskan. Beliau bertanya sama ada saya boleh menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku.

Saya bertanya berapa banyak masa beliau ada. Dua jam, katanya. Saya pun menjelaskan bagaimana pasaran pertukaran asing berlaku, tentang kedudukan jangka pendek dan panjang, mengenai perlindungan nilai, bagaimana matawang dipinjam dan dijual, perbezaan "tawaran" dan "penawaran" serta bagaimana dana boleh dipindahkan di antara negara hanya dengan satu klik. Saya juga menjelaskan bagaimana pasaran ekuiti berlaku dan hubungan antara pasaran tukaran mata wang asing dan pasaran ekuiti. Dr Mahathir langsung tidak bercakap, kecuali bertanya satu atau dua soalan, dan mendengar penuh mendalam.

Selepas dua jam, beliau terpaksa menamatkan pertemuan itu untuk bersedia ke majlis makan malam rasmi. Beliau bertanya rancangan saya untuk malam itu dan saya memberitahu bahawa saya turut dijemput ke majlis yang sama. Dr Mahathir berkata: "Pulang ke bilik anda dan tulis semua yang anda beritahu sejak dua jam lepas, dan jumpa saya 7 pagi esok." Saya kembali ke bilik saya, tidak ke majlis makan malam dan menulis kesemuanya, yang selesai kira-kira 6 pagi.


Laporan

Saya menyerahkan laporan itu padanya sejam kemudian. Beliau menyuruh saya berehat dan menemuinya semula pada 2 petang. Apabila saya kembali menemuinya, beliau memberitahu beliau telah membaca laporan itu dan faham apa yang berlaku dalam pasaran kewangan. Kami mula membincangkan pelbagai kaedah untuk mengatasi krisis itu, dan perbincangan kami diteruskan selepas pulang ke Malaysia. Saya menemui beliau hampir setiap hari, kadang kala di kediaman beliau, dan pada masa lain di pejabat beliau. Kami mencuba beberapa mekanisme untuk mengatasi krisis itu, ada antaranya yang berfungsi pada mulanya, tetapi dana lindung nilai begitu kukuh hingga sukar untuk meneruskan penggunaan mekanisme itu dengan jayanya.

Pada awal 1998, Dr Mahathir meminta saya menerokai idea untuk mengenakan rejim kawalan pertukaran bagi mengatasi krisis itu. Saya masih ingat bagaimana saya menyediakan banyak nota mengenai perkara itu. Dr Mahathir meneliti nota-nota itu, dan sentiasa meminta maklumat demi maklumat. Kami telah melalui banyak pusingan perbincangan, sehingga beliau akhirnya yakin dengan kedua-dua konsep dan mekanisme yang dicadangkan. Selebihnya, saya rasa sudah menjadi sejarah.

Dr Mahathir juga meminta saya menyediakan satu kertas kerja mengenai bagaimana menamatkan dagangan saham-saham Malaysia di CLOB (Central Limit Order Book) di Singapura. Beliau berpendapat, satu sebab penting mengakibatkan pasaran saham jatuh ialah jualan singkat saham Malaysia di CLOB. Saya menyediakan laporan dan Dr Mahathir memahami, buat pertama kalinya, bagaimana CLOB beroperasi. Laporan itu, yang turut dilaksanakan pada 1 September 1998, telah menamatkan perdagangan saham Malaysia di CLOB.

Saya perlu menyatakan bahawa langkah-langkah kawalan pertukaran telah direka sedemikian rupa untuk meminimumkan aspek-aspek kawalan dan memaksimumkan hasil. Dr Mahathir telah meneliti banyak kali mekanisme yang dicadangkan itu untuk memastikan hanya ada sedikit elemen kawalan tetapi mencukupi untuk memastikan hasil yang positif. Tidak ada elemen birokrasi dalam langkah-langkah itu, seperti mewajibkan pengimport untuk mendapatkan kebenaran Bank Negara bagi mengimport. Ringgit juga ditambat pada tahap di mana ia tidak terlebih nilai.

Di hampir setiap negara lain yang mengenakan langkah-langkah kawalan pertukaran dan penambatan matawang, secara definisinya, banyak kawalan birokrasi dan matawang juga ditambat pada kadar terlebih nilai.

Sistem kawalan pertukaran (termasuk kadar pertukaran tetap), yang dilaksanakan pada 1 September 1998, sering dianggap sebagai penyelamat negara. Langkah itu sememangnya diperlukan tetapi ia tidak cukup untuk mengatasi krisis itu. Malaysia diselamatkan, bukan dengan kawalan pertukaran itu sendiri, tetapi oleh Dr Mahathir.

Biar saya jelaskan. Jika mana-mana negara membangun lain, yang menghadapi krisis sama, memperkenalkan langkah yang kita perkenalkan pada September 1998, ia mungkin gagal. Langkah-langkah itu berjaya di Malaysia adalah kerana keupayaan dan watak Dr Mahathir. Ekonomi dan sistem kewangan, di bawah kepimpinannya berada dalam keadaan sihat - cukup sihat untuk membolehkan langkah-langkah kawalan pertukaran dilaksanakan tanpa kesan negatif. Selain itu, gaya pengurusan kendiri Perdana Menteri membolehkan keputusan cepat dan tepat pada masanya dibuat, yang penting di bawah rejim kawalan pertukaran baru.

Beliau memastikan ekonomi Malaysia pada asasnya kukuh. Ringgit kukuh dan stabil. Di belakang kestabilan matawang (pada RM2.50 berbanding dolar Amerika Syarikat), Malaysia berada pada kedudukan amat baik. Pada akhir 1996, keluaran dalam negara kasar berkembang hampir 8.5 peratus dan pertumbuhan itu dijangka berterusan untuk tahun-tahun mendatang. Kerajaan telah menikmati lebihan fiskal. Hutang luar negara adalah rendah, pada 40 peratus daripada keluaran negara kasar. Akaun matawang dari imbangan pembayaran telah mengecil daripada defisit 10 peratus kepada lima peratus daripada KNK, dan dijangka terus bertambah baik. Inflasi berada pada tahap paling rendah iaitu 2.1 peratus. Kita mempunyai pertumbuhan kukuh lebih lapan peratus bagi sebahagian besar tempoh itu. Dan kekuatan asas ini merupakan faktor penting yang membolehkan langkah kawalan pertukaran berjaya.


Meneliti

Selama lebih setahun lepas langkah 1 September 1998 itu, Perdana Menteri bertemu kumpulan kecil kami enam hari seminggu - sekurang-kurangnya dua jam sehari - bagi meneliti pelbagai data ekonomi termasuk mengenai pertumbuhan pinjaman, eksport, import dan hartanah tidak terjual. Ini membolehkan beliau mengambil tindakan cepat, pada bila-bila masa perlu. Saya masih ingat satu pagi, semasa kami sedang meneliti angka-angka hartanah, beliau memandang saya dan mengarahkan saya menganjurkan pameran untuk menghabiskan hartanah yang tidak terjual. Saya lakukannya, dan hartanah bernilai lebih RM3 bilion telah dijual. Malah selepas berakhirnya krisis itu, Dr Mahathir terus menemui kumpulan kami, walaupun tidak sekerap sebelumnya. Dan Dr Mahathir terus meneliti semua data ekonomi dengan pensel tajam.

Tempoh 1997/98 adalah, mengikut parafrasa Charles Dickens, masa terburuk, tetapi ia juga masa terbaik. Keadaan paling buruk telah menyerlahkan yang terbaik dalam diri Dr Mahathir. Ada perumpamaan mengatakan pemimpin yang baik adalah seperti teh yang baik - anda hanya mengetahui kualiti sebenarnya apabila beliau berada dalam keadaan panas!

Sepanjang tempoh krisis, Perdana Menteri memberi tumpuan pada usaha mengatasinya. Siang malam, tiada perkara lain difikirkannya. Beliau membaca segala yang boleh mengenai kewangan; beliau terus meminta saya menyediakan nota-nota pelbagai isu teknikal. Kadang kala, walaupun selesema, beliau tetap bekerja. Beliau sedar beliau perlu memahami isu-isu berkenaan sebelum boleh berusaha mencari penyelesaian. Kepintaran semula jadi dan keupayaan beliau memberi tumpuan pada isu-isu teras sentiasa terserlah sepanjang krisis itu. Beliau tidak menunjukkan tanda takut walaupun dalam masa terburuk; satu-satunya kebimbangan beliau ialah keadaan ekonomi yang cepat merosot. Pada setiap masa, beliau yakin akan berjaya akhirnya.

Saya ingin menambah dua lagi perkara. Pertama, dalam melaksanakan langkah 1 September 1998, Dr Mahathir bukan saja menyelamatkan Malaysia malah negara-negara jiran juga.

Apabila Malaysia mengenakan langkah kawalan pertukaran, spekulator matawang menyedari negara lain yang terjejas (Thailand, Indonesia dan Korea Selatan) juga boleh mengenakan kawalan yang sama, dan mereka, dengan itu menghentikan aktiviti mereka. Spekulator menarik diri. Mereka membeli semula matawang yang mereka jual. Ini mengakibatkan kenaikan nilai mata wang serantau.

Selain itu, IMF tidak berpuas hati dengan tindakan Malaysia terutamanya sejak selepas melaksanakan langkah-langkah itu, kita melakukan perkara sebaliknya daripada apa yang IMF mahu - kita turunkan kadar faedah dan menyuntik kecairan dalam sistem. IMF kemudian mula melonggarkan syarat di negara lain dan membenarkan mereka merendahkan kadar faedah dan menyuntik kecairan bagi merangsang ekonomi mereka supaya Malaysia tidak mengatasi negara-negara IMF itu.

Perkara kedua ialah apa yang akan terjadi jika langkah kawalan pertukaran tidak dilaksanakan. Banyak syarikat di Malaysia mungkin gulung tikar akibat kadar faedah tinggi. Apabila syarikat jatuh seperti domino, bank akan menghadapi masalah kecairan dan mampu bayar yang teruk berikutan pinjaman tidak berbayar semakin membesar.

Masalah yang dihadapi oleh bank akan menyebabkan berlakunya tekanan kredit, yang akan membawa kepada satu lagi pusingan kegagalan korporat. Pendapatan kerajaan mungkin merosot dengan mendadak kerana kurang firma akan membayar cukai korporat, dengan itu mengurangkan keupayaan kerajaan untuk merangsang ekonomi melalui langkah dasar fiskal. Akibat daripada masalah yang dihadapi syarikat dan bank, kadar pengangguran akan meningkat dengan ketara, yang membawa kepada pusingan masalah kedua.

Ini adalah putaran ganas yang klasik, yang akhirnya boleh memusnahkan kestabilan sosial dan politik negara. Ini adalah senario yang menunggu untuk berlaku. Namun, ia tidak berlaku kerana ketegasan dan keberanian Dr Mahathir, yang memutuskan untuk berusaha melalui jalan yang jarang dilalui.

YB Tan Sri Nor Mohamed Yakcop
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri
Ahli Parlimen Tasek Gelugor

sumber MMI 


Wednesday, 12 December 2012

YB Ahli Parlimen Meraikan Perwakilan & Pemerhati UMNO Bahagian Tasek Gelugor Sempena PAU2012


Kuala Lumpur - Bertempat di Hotel KL International , Ahli Parlimen Tasek Gelugor merangkap Menteri Di Jabatan Perdana Menteri YB Tan Sri Nor Mohamed Yakcop pada 28 November 2012 yang lalu telah mengadakan satu majlis makan malam bagi meraikan para perwakilan dan pemerhati dari UMNO Bahagian Tasek Gelugor yang hadir dalam Persidangan Agung UMNO 2012.

Kehadiran beliau turut diiringi oleh YB Ustaz Shabudin Yahya Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor merangkap ADUN Permatang Berangan dan YB Dato Jasmin Mohamed Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor merangkap ADUN Sungai Dua.

Majlis makan malam ini turut disertai oleh YB Dato Jahara Hamid Ketua Wanita UMNO Bahagian Tasek Gelugor merangkap ADUN Teluk Air Tawar serta Saudara Hasbul Hazani Daud Ketua Sayap Pemuda dan Saudari Norhafizah Othman Ketua Sayap Puteri bahagian. 

Malah seluruh kepimpinan dan ahli UMNO di peringkat bahagian yang hadir ke Persidangan Agung UMNO 2012 turut di jemput bagi sama-sama menjayakan majlis makan malam yang diadakan.

Rata-rata ahli yang ditemui melahirkan rasa gembira mereka kerana selain dapat mengikuti persidangan mereka juga turut di rai serta dihargai dalam majlis seperti ini.








Majlis yang diadakan pada setiap tahun ini merupakan satu program yang di atur oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor bagi merapatkan lagi ikatan persahabatan dan ukhwah sesama ahli UMNO khususnya bagi memantapkan lagi gandingan seluruh saf pimpinan khususnya dalam menghadapi pilihan raya ke-13 nanti.

Semoga Tasek Gelugor terus maju dan makmur di bawah UMNO dan Barisan Nasional !