Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt & Salam Sejahtera
Yang Berhormat Dato' YDP,YB Dato Timbalan YDP, Rakan-Rakan Ahli YB, Ahli-Ahli Dewan yang mulia, Ketua Jabatan, Wakil-Wakil Jabatan, Tuan-Tuan/Puan-Puan, hadirin yang dihormati sekalian.
Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah SWT kerana dengan izin, limpah rahmat dan inayah Nya, kita semua masih diberikan kesempatan dan kesihatan untuk berada di dalam Dewan yang mulia bagi berbincang dan berbahas dalam menyelesaikan isu-isu dan masalah demi kepentingan rakyat dan masyarakat di kawasan masing-masing.
Sungai Dua mengucapkan terima kasih atas peluang yang diberikan untuk terlibat salam perbahasan atas Ucapan Perasmian Penggal Pertama Sidang DUN Kali Ke 14 oleh TYT yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang pada 03 Ogos 2018 yang lalu.
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah :
- Tahniah kepada Pakatan Harapan yang telah berjaya memenangi PRU 14 dan seterusnya membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan dan juga peringkat Negeri Pulau Pinang.
- Tahniah diatas perlantikan YAB Chow Kon Yeow, ADUN Padang Kota yang telah dilantik sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang baru.
- Tahniah kepada YB Dato’ Yang Di Pertua dan Timbalan Yang Di Pertua serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri yang telah dilantik ke jawatan masing-masing, selamat menjalankan tugas.
Walaupun Kerajaan Persekutuan kini telah bertukar tangan, kita tidak boleh sesekali lupa bahawa kemakmuran dan kesejahteraan yang dinikmati oleh Negera Malaysia selama ini terhasil daripada keikhlasan dan perancangan teliti daripada Pentadbiran BN yang terdahulu.
Malahan perubahan Kerajaan Pakatan setelah selesai PRU 14 telah berjalan dalam keadaan yang aman, sekaligus menafikan segala tohmahan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab kononnya akan berlaku rusuhan, pengisytiharan darurat dan sebagainya.
Walaupun pelbagai asakan dan tekanan samada dari dalam maupun luar khususnya berkaitan ekonomi negara, Malaysia tetap utuh mendepani pelbagai cabaran sehinggakan diwaktu peralihan pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Kerajaan BN meninggalkan simpanan rizab negara berjumlah RM 430 Billion iaitu rekod tertinggi dalam sejarah Malaysia.
Pulau Pinang juga secara tidak langsung telah mendapat manfaatnya walaupun Kerajaan Negeri telah bertukar tangan sejak 2008 yang lalu, peruntukan yang besar tetap disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah BN yang terdahulu atas dasar kemakmuran dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Justeru itu, saya percaya semua pihak samada di peringkat pentadbiran Kerajaan Negeri maupun wakil rakyat, kita berpegang kepada prinsip memastikan nasib rakyat terus dibela dan kerana itu saya mengharapkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dibawah YAB Ketua Menteri yang baru dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab terhadap rakyat dengan lebih adil, baik, telus dan berintegriti.
Saya percaya YAB Ketua Menteri mahu memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat tanpa menimbulkan sebarang isu yang boleh menjurus kepada penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.
Pergi berburu sampai sempadan
Dapat Kancil badan berjalur
Biar carik baju di badan
Asalkan hati bersih dan jujur
YB. Dato’ Yang Di Pertua,
Sebagai wakil BN dan pembangkang di Dewan yang mulia ini, sudah tentu saya dan rakan-rakan faham bahawa dengan jumlah kerusi yang kami miliki pastinya tidak akan mampu merubah apa jua keputusan yang bakal dibuat oleh Kerajaan Negeri selepas ini.
Dalam penggal yang lepas, saya berada bersama 9 orang rakan-rakan pembangkang, kini hanya tinggal 3 orang sahaja. Walaupun hanya 3 orang kami berikrar dan cuba untuk menjadi pembangkang yang konstruktif dan dinamik, kami akan membawa suara rakyat di peringkat akar umbi serta bertindak sebagai ‘check and balance’ (dengan izin) kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang demi kebaikn seluruh rakyat.
Kita perlu menjaga hasrat kita bersama-sama dengan hasrat TYT Yang Di Pertua Negeri untuk melihat dewan ini menjadi tempat yang mulia, kita ada Peraturan DUN, kita ada Peraturan Mesyuarat tapi peraturan ini tidak ada maknanya jika kita tidak mematuhinya, kita ada YB Dato’ Yang Di Pertua Dewan, tapi ianya tidak bermakna jika kita tidak mematuhi arahan-arahan YB Dato’ Yang Di Pertua Dewan. Setiap Ahli Dewan perlu mengambil bahagian dalam perbahasan dengan berhemah dan menjaga kesopanan dan kesusilaan disamping mengutarakan pandangan yang berkualiti.
Kita menyahut saranan TYT Tun untuk menjadikan Dewan ini tempat perbincangan yang baik dan perbezaan pandangan 1 perkara yang amat bernilai dan perlu diterima dengan hati yang terbuka.
Kerana itu saya melihat beberapa masalah yang berlaku sebelum ini perlu mendapat perhatian khusus daripada Kerajaan Negeri memandangkan ianya melibatkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat Pulau Pinang.
YB. Dato’ Yang Di Pertua,
ISU BANJIR DAN BANJIR KILAT
Kerajaan Negeri semasa mengambil alih pentadbiran negeri 2008 telah berjanji akan menyelesaikan isu banjir dalam masa 1 penggal.
Banjir berlaku di seluruh kawasan di Negeri Pulau Pinang. Setiap kawasan menghadapi bencana ini dan setiap Ahli Yang Berhormat terpaksa turun padang dan menghulurkan sumbangan untuk mereka yang mengalami banjir kilat.
Tidak dinafikan banjir kilat ini berpunca daripada hujan yang terlalu lebat dan fenomena air pasang besar, ianya juga berlaku disebabkan :
- Limpahan sungai cetek / tebing rendah (RTB)
- Longkang / perparitan / sungai tersumbat
- Pembangunan yang keterlaluan dan tidak dikawal di sesuatu tempat
- Penarahan bukit / tanah tinggi
- Tiada sistem saliran yang sempurna
Masa lalu pihak Kerajaan Negeri menuding jari mencari salah pelbagai pihak – salah Kerajaan Persekutuan / salah jabatan dan sebagainya. Sedangkan kesilapan dan kesalahan Kerajaan Negeri tidak dilihat langsung.
Banjir ini akan terus berlaku jika isu-isu besar seperti RTB / Sistem Saliran Yang Tidak Sempurna / Pembangunan Keterlaluan / Penarahan Bukit (Pembangunan Tanah Tinggi) tidak diselesaikan. Saya mohon pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memberi lebih fokus dengan sebaik-baiknya dalam mengatasi banjir dengan melihat punca-punca banjir selain daripada Pembinaan Rancangan Tebatan Banjir semata-mata.
Mohon juga pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang membentangkan Pelan Tindakan menyelesaikan masalah banjir yang telah dirancang dengan mengambil kira punca-punca banjir seperti yang disenaraikan. Pembentangan ini perlu dibuat kepada rakyat.
- Limpahan sungai cetek / tebing rendah (RTB)
- Longkang / perparitan / sungai tersumbat
- Pembangunan yang keterlaluan dan tidak dikawal di sesuatu tempat
- Penarahan bukit / tanah tinggi
- Tiada sistem saliran yang sempurna
Boleh atau tidak Kerajaan Negeri Pulau Pinang mewujudkan satu Pelan Induk Pencegahan Banjir Pulau Pinang sepertimana Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang menelan belanja puluhan billion ringgit?
Saya juga mohon penjelasan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang berkaitan pencapaian dan perbelanjaan RTB bagi Tahun 2017 sebanyak RM 220 juta.
RM 11.6 Juta – MBPP
RM 150 Juta – JPS
RM 9.45 Juta – MPSP
RM 50 Juta – PBAPP
Kita ingin lihat masalah banjir dapat diselesaikan sebelum penggal ini berakhir kerana tiada alasan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan tidak diperolehi dan rakyat merasa lega dan bersyukur.
Apakah alasan untuk tidak selesaikan masaalah banjir di Pulau Pinang dan kenapa KN masih mahu berbelanja puluhan billion utk bina lebuhraya, tambak laut dan lain-lain sedangkan masaalah banjir perlu diberi keutamaan.
YB. Dato’ Yang Di Pertua,
ISU RASUAH
Menyokong dasar Kerajaan Negeri Pulau Pinang membenteras rasuah habis-habisan dan saya juga menyokong Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak menutup mana-mana kes rasuah yang melibatkan mana-mana pemimpin, wakil rakyat dan anggota – anggota mana jabatan yang kes mereka telah dimulakan siasatannya sebelum PRU 14. Saya juga mendesak supaya kes rasuah yang telah dihadapkan ke mahkamah tidak ditutup, ditarik balik atau digugurkan. Mohon diteruskan perbicaraan hingga selesai. Sejak 1 Jun 2018 hingga 3 Ogos 2018 terdapat 5 kes melibatkan 9 orang pemimpin Pakatan Harapan yg telah digugurkan oleh Mahkamah atas persetujuan dan arahan Peguam Negara.
ISU RASUAH LIM GUAN ENG
Seperti yang saya katakan di awal ucapan saya tadi, YB Ketua Menteri baharu harus bebas dari perkara yang tidak baik seperti rasuah dan sebagainya. Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali. (dengan izin) Seperti mana sekarang ini kes rasuah Ketua Menteri terdahulu yang sedang didengar di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. Saya tidak menafikan bahawa berdasarkan prinsip “innocent until proven guilty”, bekas Ketua Menteri ini hanya akan disabitkan salah apabila beliau terbukti benar-benar bersalah, namun saya juga ingin menekankan satu lagi prinsip undang-undang iaitu keadilan harus dilaksanakan “without fear & favour” iaitu keadilan harus dilaksanakan tanpa takut dan pilih kasih. Nampaknya ada ura-ura yang kes terhadap Ketua Menteri dahulu akan ditarik balik oleh Peguam Negara yang juga peguam persendirian pakatan harapan dahulu. Jika benar ini berlaku, dimana keadilan jika ianya dijalankan dengan pilih kasih. Saya amatlah berharap agar YB Ketua Menteri yang baharu ini tidak terlibat dengan isu-isu begini yang akan merisaukan rakyat sejurus dapat mencalar keyakinan rakyat kepada pemimpin.
YB Dato’ Yang Di Pertua
PEMBANGUNAN MAMPAN
TYT Tun menyarankan supaya Kerajaan Negeri dan Ahli-ahli Yang Berhormat memberi perhatian serius kepada Aspek Pembangunan Mampan ( Sustainable Development) dalam apa jua bentuk pembangunan. Pembangunan perlu menitikberatkan kehijauan dan kelestarian alam sekitar serta memastikan keperluan generasi hari ini dipenuhi tanpa mengorbankan hak generasi akan datang.
PENCEROBOHAN KAWASAN BUKIT
Begitu juga dengan isu membabitkan pencerobohan kawasan bukit dan pelaksanaan perancangan pembangunan di lereng bukit yang telah pun mendatangkan kecelakaan kepada orang awam atau pekerja yang terlibat dalam sektor pembinaan.
Kematian yang berlaku dalam kes tanah runtuh di Tanjung Bungah misalnya telah pun menyebabkan keresahan para penduduk termasuk NGO yang selama ini membangkitkan isu tersebut.
Saya percaya antara punca berlakunya kejadian banjir kilat adalah disebabkan oleh proses meratakan kawasan bukit serta pembinaan projek pembangunan di lereng bukit yang tidak terkawal dan ini dibuktikan apabila banjir kilat yang berlaku membawa bersama selut dan air berwarna merah.
Sama ada kita sedar atau tidak, setiap kali berlakunya hujan lebat di Pulau Pinang rakyat berada dalam keadaan yang tidak selesa serta tertekan kerana bimbang berlakunya banjir kilat yang akan membebankan mereka.
Soalan saya, apakah langkah lanjut yang dilakukan oleh kerajaan negeri bagi menangani isu pencerobohan dan meratakan kawasan bukit ?
Apakah kajian perubahan iklim dan perlindungan lereng bukit telah dilaksanakan dengan peruntukan RM 10 juta untuk tahun 2017. Sila berikan penjelasan.
PROJEK LEBUHRAYA PIL 1 (PAN ISLAND LINK 1)
Merujuk kepada laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) oleh Wirana (M) Sdn. Bhd. amat jelas bahawa PIL 1 bakal menjejaskan kehidupan seharian orang awam. Bunyi bising, getaran, kesesakan lalulintas & kesulitan semasa tapak pembinaan merupakan isu yang serius.
Terdapat isu-isu lain yang timbul disebabkan projek PIL 1 iaitu :
1. Nilai hartanah di kawasan PIL 1 akan turun disebabkan masalah pencemaran yang berlaku.
2. Permandangan yang indah, jalanraya dengan pokok-pokok dan mercu tanda akan hilang dan terjejas.
3. Banjir kilat mungkin berlaku di kawasan tersebut.
4. Kesan kesihatan dan kesejahteraan kepada penduduk, pekerja, pelajar sekolah dan orang ramai.
5. Terdapat bangunan-bangunan kerajaan dan swasta yang akan terkesan dan terjejas akibat projek ini iaitu :
9 buah sekolah akan terlibat.
10 buah tempat ibadat.
3 tapak rekreasi.
4 tanah perkuburan.
2 hospital swasta.
Mohon pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengkaji semula kesan pembinaan kepada alam sekitar, kea-kesan kesihatan kepada penduduk, banjir kilat yang akan berlaku, pencemaran bunyi, habuk dan lain-lain yang akan berlaku dan keadaan semulajadi yang mungkin akan tercemar apabila projek ini terus dilaksanakan.
Memikirkan akternatif lain selain daripada PIL 1 ini untuk menyelesaikan isu-isu alam sekitar dan pencemaran kepada penduduk.
ISU TEROWONG DASAR LAUT
Seluruh rakyat di Pulau Pinang mahupun Malaysia sedar tentang projek terowong dasar laut yang telah mencetuskan pelbagai pandangan serta pendapat sehinggalah membawa kepada perang politik.
Bukan sahaja isu tentang kos dibangkitkan tetapi juga soal alam sekitar apabila projek tambakan laut dilakukan.
Sehingga hari ini, rakyat masih tertanya-tanya apakah kesinambungan projek terowong dasar laut ini? Dan apakah hasil kajian yang dilakukan yang dikatakan memakan kos yang sangat tinggi?
Adakah ianya masih diteruskan atau terdapat sebarang kajian lain yang sedang dilakukan oleh kerajaan negeri atau mana-mana pihak yang statusnya boleh dibentangkan kepada rakyat?
Saya membangkitkan perkara ini kerana imej kerajaan negeri sebelum ini telah terjejas dengan pelbagai persoalan yang menyentuh kewibawaan pentadbiran kerajaan negeri, justeru itu saya berpendapat adalah lebih baik isu ini diperjelaskan kepada rakyat agar semua pihak faham kedudukan sebenar.
Y.B. Dato' Yang Di Pertua,
PERUMAHAN
Kerajaan Negeri Pulau Pinang sering memperkatakan bahawa Kerajaan Negeri telah menyediakan rumah yang secukupnya untuk rakyat Pulau Pinang.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui PDC dan sektor swasta telah membina 24,227 unit perumahan kos rendah dan sederhana rendah dalam tempoh 10 tahun dari tahun 2008 hingga tahun 2017.
Rumah atau tempat tinggal merupakan salah satu keperluan yang penting untuk manusia. Setiap anggota masyarakat yang berkeluarga memerlukan tempat tinggal sebagai tempat berteduh. Mereka sudah semestinya ingin memiliki rumah sendiri dengan kemampuan yang mereka ada.
Terdapat seramai 50,000 atau lebih pemohon yang berdaftar dengan Perumahan Negeri yang memohon untuk memiliki rumah Kos Rendah atau Kos Sederhana Rendah. Mereka-mereka ini adalah terdiri daripada golongan yang berpendapatan rendah samada bekerja di sektor awam, sektor swasta, bekerja kampung ataupun yang berniaga kecil-kecilan yang tidak mampu membeli Rumah Mampu Milik Kategori C.
Pembinaan Rumah Mampu Milik Kategori C akan menyebabkan golongan ini tidak dapat memiliki rumah sendiri.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang jangan hanya memikirkan pembeli-pembeli yang mampu membeli Rumah Mampu Milik Kategori C keatas tetapi perlu juga memikirkan pembeli-pembeli yang berpendapatan rendah yang hanya mampu membeli rumah berharga RM 80,000.00 ke bawah sahaja. Sepertimana yang di sebut oleh TYT Tun dalam ucapan perasmian sidang DUN berkaitan keperluan rumah untuk golongan B40 dan M40 di Negeri Pulau Pinang.
Fikirkan satu pendekatan.
SARANAN SAYA
1. Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu membina lebih banyak Rumah Kos Rendah dan Kos Sederhana Rendah (RMM Kategori A & B)
2. Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu membina lebih banyak Rumah PPR diatas tanah milik Kerajaan Negeri untuk tujuan penyewaan.
3. Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu melaksanakan konsep “Rent To Own’ untuk golongan ini yang sukar mendapat pinjaman dari bank.
4. Kuarter-kuarter / Rumah Kerajaan yang terbengkalai tanpa sewaan perlu dijadikan rumah sewa atau dijual kepada pembeli yang layak.
5. Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu memikirkan satu kaedah atau perancangan khusus bagi menyelesaikan masalah rumah untuk semua seperti yang diwar-warkan.
PENGLIBATAN DAN PERANAN PIHAK SWASTA
TYT Tun dalam ucapan perasmian menyebut dan memohon agar pihak swasta juga perlu tampil dalam membantu Kerajaan Negeri untuk menangani isu seperti penyediaan perumahan kos rendah dan kos sederhana rendah, menyelesaikan isu pengangkutan awam kepada rakyat Negeri Pulau Pinang, penyediaan lorong berbasikal dan lain-lain isu. Dan untuk penglibatan pihak swasta ini TYT Tun mengharapkan dan memberi penekanan agar pihak Kerajaan Negeri dan Pihak swasta tidak hanya memikirkan keuntungan semata-mata, kepentingan sosial, penjagaan alam sekitar dan kebajikan kepada rakyat perlu diberi keutamaan.
YB Dato’ Yang Di Pertua
PENYAMPAIAN BANTUAN RIBUT YANG TIDAK EFFISIEN
Ribut yang berlaku di kawasan Seberang Perai dan Pulau Pinang telah mengakibatkan kerosakan bumbung rumah, harta benda penduduk dan pokok-pokok tumbang. Di kawasan DUN Sungai Dua terdapat hampir 20 buah rumah yang agak teruk dan terdapat juga rumah-rumah yang mengalami kerosakan kecil.
Ucapkan terima kasih kepada agensi/jabatan yang telah membantu iaitu Pejabat Tanah & Daerah, pihak Penghulu Kawasan, pegawai-pegawai JKM, pihak PUZPP, Bomba, JPAM dan lain-lain.
Cuma agak terkilan dengan kaedah penyampaian bantuan yang saya rasa kurang berkesan kepada penduduk yang mengalami kerosakan yang agak banyak. Bagi yang mengalami kerosakan kecil tiada masalah.
Penduduk-penduduk yang terlibat tidak dibaiki bumbung hingga berhari-hari/berminggu-minggu. Jawapan dari pihak terlibat tuan rumah perlu membaiki sendiri kerosakan yang dialami dan menghantar tuntutan kepada Pejabat Daerah. Bagi penduduk yang miskin susah untuk melaksanakannya.
Mohon pihak Pejabat Tanah dan Daerah mencari 1 kaedah yg lebih sesuai dan boleh membantu penduduk terlibat dengan segera.
Cadangan :
Mohon pihak Pejabat Tanah & Daerah melantik kontraktor untuk kerja-kerja pembaikan dan membuat tuntutan kepada Pejabat Tanah & Daerah setelah siap kerja-kerja baikpulih tersebut.
YB Dato Yang Di Pertua
PERTANIAN (TANAMAN/TERNAKAN/TERNAK AIR/IAT)
Sektor pertanian tidak diberikan tumpuan yang hebat oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Peruntukan tahunan dari segi pembangunan juga agak kecil setiap tahun sekitar RM 7.9 juta sahaja melibatkan Jabatan Pertanian, Jabatan Veterinar dan JPS.
Sedangkan penyediaan bahan makanan amat penting dan pengurangan import perlu diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Dengan tanah yang semakin berkurangan, pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang disarankan mencari ruang-ruang/peluang dan alternatif lain untuk meningkatkan pengeluaran bahan makanan seperti sayur-sayuran/beras/buah-buahan dan lain-lain.
Apakah langkah yang dikenalpasti oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam meningkatkan pengeluaran bahan makanan dengan tanah yang terhad serta menambah pendapatan penduduk?
PENAMBAKAN TANAH SAWAH
Kerja-kerja penambakan tanah sawah dalam kawasan kawasan pengairan telah berlaku dengan agak rakus di kawasan Sungai Dua.
Terdapat beberapa kawasan sawah yang telah ditambak untul tujuan pembinaan tanah lot, rumah-rumah dan tapak perniagaan kini terbiar dan semak. Dan ini menyebabkan terdapat banyak musuh-musuh tanaman padi seperti tikus dan lain-lain serangga berkumpul dan membiak disitu. Ianya juga mengganggu sistem pengairan dan saliran air ke sawah-sawah yang berhampiran.
Tiada tindakan yang berkesan dan bersepadu diambil oleh pihak berkuasa samada Pejabat Tanah & Daerah, Pentadbir Tanah & Galian, Jabatan Pertanian, Jabatan Parit & Saliran atau yang lebih layak Majlis Perbandaran Seberang Perai. Semua tindakan adalah separuh jalan dan tanah-tanah yang ditambun akhirnya terbiar setelah ianya tinggi ditambak. Bila ditanya kepada JPS, salah kepada PTD ataupun MPSP.
Contoh terbaru : Tanah di Sungai Lokan, bila ditanya kepada MPSP, dijawab dalam tindakan mahkamah. Saya nak Tanya kalau dalam tindakan mahkamah boleh kah syarikat terlibat meneruskan kerja-kerja menambak/buat lot/buat jalan dan lain-lain?
Saya mohon pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui MMK terlibat mengambil satu tindakan yang bersepadu dengan semua jabatan/agensi terlibat untuk mengatasi dan membendung masalah ini daripada berterusan.
YB Dato’ Yang Di Pertua
PEKERJA MISKIN DI KALANGAN RAKYAT PULAU PINANG
Kebanyakkan anak-anak muda dan penduduk-penduduk Pulau Pinang yang baru bekerja menhadapi masalah berada di tahap pendapatan yang rendah dan boleh dikategorikan miskin dengan pendapatan kasar RM 3,000.00 ke bawah [B40 dan M40]. Mereka ini tidak mempunyai kemampuan untuk membeli rumah atau pun perbelanjaan-perbelanjaan yang lain untuk meneruskan kehidupan mereka.
Apakah strategi dan langkah yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam membantu menyelesaikan masalah pekerja miskin di negeri Pulau Pinang (tingkatkan pendapatan).
Bagaimana Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan membantu mereka-mereka yang terlibat dalam mendapatkan rumah yang bersesuaian dengan pendapatan mereka dibawah RM 3,000.00? Sepertimana yg diucapkan oleh TYT Tun dalam ucapan berkaitan peranan KNPP dan pihak swasta dalam menyediakan lebih rumah bernilai RM 42,000 bagi menepati matlamat 1 rumah 1 keluarga.
Apakah Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mempunyai pendekatan dan strategi untuk melaksanakan pembangunan ekonomi Luar Bandar? Senaraikan.
Y.B. Dato' Yang Di Pertua,
HALAL HUB
Setiap kali sidang DUN saya membangkitkan masaalah berkaitan Halal Hub dan Penyediaan Gelatin Halal utk rakyat Negeri Pulau Pinang.
Mohon diperjelaskan pencapaian terkini Industri Halal di Negeri Pulau Pinang dan sertakan lapuran pencapaian penghasilan gelatin halal yg sedang diuruskan oleh KNPP melalui anak syarikat dan syarikat swasta serta lapuran impot daripada luar negara ke Negeri Pulau Pinang.
MEMARTABATKAN AGAMA ISLAM
Saya mengucapkan tahniah atas perlantikan Y.B Pinang Tunggal sebagai Exco Hal Ehwal Agama Islam pada kali ini. Saya harapkan Y.B Exco akan peka dan menjaga sensitiviti umat Islam di negeri ini berbanding Exco Agama yang lepas yang kita nampak buat kerja syok sendiri.
Dari denyutan nadi rakyat saya sampaikan hasrat agar Agama Islam di mertabat. Bukan sekadar retorik dan melangit. Akhirnya pembaziran berlaku hilanglah berkat. TYT Tun dalam ucapan perasmian menyebut Agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan seperti dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu ia harus dimartabatkan dengan memperkasa Institusi-institusi berkaitan Islam seperti Masjid/Surau, MAIPP, ZPP, Maahad Tahfiz, Kelas KAFA/SAR dan lain-lain Institusi berkaitan.
Majlis Agama Islam Pulau Pinang
Majlis Agama Islam Pulau Pinang dianggap jantung umat Islam. Peranannya untuk menjadikan Islam sebagai cara hidup perlu diperjelaskan, menegakkan keadilan mengikut hukum Islam perlu dipertingkatkan, mengawal dan membasmi murtad, kemungkaran, maksiat dan khurafat perlu dilipatgandakan.
Peri penting peranannya perlu bermula dari Yang Dipertua Majlis sendiri. Rakyat tertanya-tanya siapakah yang mengajukan nama calon YDP Majlis Agama kepada Yang Dipertuan Agong, kreteria bagaimana yang menyebabkan dicalonkan. Dan adakah benar mantan YB Exco Agama yang lepas telah mencalonkan namanya sendiri untuk jawatan itu dan sekarang mendapat jawatan itu, perlu dilakukan pencerahan agar rakyat tidak tertanya-tanya lagi kenapa beliau yang dilantik sedangkan trek rekod beliau semasa memegang jawatan Exco Agama tidakpun menguntungkan umat Islam Pulau Pinang.
Sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada YB Timbalan Ketua Menteri yang telah berjaya membawa Masjid At-Taqwa Bertam Indah menjadi masjid terbaik di Malaysia. Saya harapkan tempias kejayaan tersebut turut dirasai kepada seluruh masjid dan surau di negeri ini. Saya berharap agar ideologi yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah dapat dihindarkan dari meracuni rakyat. Keterbukaan oleh mantan Exco Agama yang lepas menyebabkan bibitbibit perpecahan umat kita rasai, kemasukan penceramah dan pendakwah tanpa kawalan, kita khuatiri memecahkan keharmonian masjid itu sendiri.
Y.B. Dato' Yang Di Pertua,
Zakat Pulau Pinang [ ZPP ]
Institusi Zakat merupakan nadi kewangan umat Islam Pulau Pinang. Peranan ini dimainkan oleh Zakat Pulau Pinang yang merupakan anak syarikat Majlis Agama Islam. Dengan kutipan meningkat saban tahun, menunjukkan kepercayaan umat Islam untuk membayar di sana. Walaubagaimanapun, saya merasa pelik dan janggal, satu institusi yang cukup besar peranannya , sehingga kini gagal untuk melantik Ketua Pegawai Eksekutif yang baru bagi menggantikan Dato’ Haji Azman Bin Abdul Samad yang telah ditekan untuk berhenti. Adakah kita rakyat Pulau Pinang ketandusan orang sehingga sekarang jawatan tersebut sekadar di pangku oleh bekas pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam. Saya amat percaya, perlantikan C.E.O Zakat Pulau Pinang, sewajarnya disegerakan demi maslahah umat Islam itu sendiri, kerana sejak ketiadaan C.E.O yang lama, tiada lagi rumah fakir miskin dibina dan banyak lagi program-program asnaf seolah-olah lesu dan tidak bermaya.
Maahad Tahfiz Negeri/ Maahad Tahfiz Swasta
Rakyat rindukan kewujudan Maahad Tahfiz Negeri. Ditubuhkan pada sekitar tahun 1995 dan banyak melahirkan para penghafaz Al-Quran yang berkualiti, professional dan menjadi kebanggaan negeri. Malangnya sejak ditelan oleh Kolej Islam Teknologi Anrabangsa, (KITAB) semakin hari semkin lesu, pelajar-pelajar tidak lagi berminat ke sana dan antara factor adalah nama KITAB itu sendiri. Pengurusan kolej ini gagal bukan sahaja menguruskan Tahfiz, malah gagal dalam semua jurusan. Buktinya, jumlah kemasukan ke kolej ini amat mengerikan, banyak jurusan yang tidak mendapat kelulusan MQA dan beban kewangan bergantung kepada peruntukkan zakat semata-mata, sedangkan peruntukkan itu asalnya untuk Maahad Tahfiz Negeri. Oleh yang demikian, saya cadangkan pembubaran kolej ini dan ditubuhkan semula Maahad Tahfiz Negeri yang lebih diperlukan oleh rakyat Jelata. Begitu juga perjalanan dan pentadbiran Maahad Tahfiz persendirian diseluruh Pulau Pinang yang hanya bergerak dan berjalan sendiri tanpa bantuan yang banyak daripada Kerajaan Negeri. Adalah diharapkan agar pihak Kerajaan Negeri melalui Exco Agama, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang memberi perhatian dalam membantu Maahad Tahfiz persendirian yang ada diNegeri Pulau Pinang dari segi peruntukan, pembangunan infrastruktur, pendaftaran dan lain-lain demi memartabatkan Islam di Pulau Pinang.
Kelas KAFA
Kelas KAFA di Pulau Pinang semakin mendapat tempat, kejayaan Pulau Pinang berada di kedudukan pertama dalam pencapaian Ujian Kelas KAFA (UPKK) peringkat kebangsaan amat membanggakan kita. Kejayaan ini telah menjadi bahan kempen Pakatan Harapan untuk menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk memertabatkan Islam di negeri ini. Atas kejayaan ini, seharusnya pihak kerajaan negeri mempertimbangkan tambahan untuk bayaran ex-gratia RM50 setiap bulan yang diterima oleh para guru-guru ini. Mohon Kerajaan Negeri kalau sungguh nak bantu KAFA ini, naikkan dan tambah bayaran ex-gratia kepada guru-guru.
Isu Fatwa
Mohon penjelasan daripada Exco Agama berkaitan kedudukan Fatwa-fatwa yang telah di putuskan tetapi belum di gazetkan hingga ke hari ini. Mohon dilapurkan apakah masaalah yg timbul sehingga menyebabkan timbul masaalah yang berkaitan. Dan sila senaraikan fatwa-fatwa yang terlibat.
YB Dato’ Yang Di Pertua
NASIB PENIAGA JALANAN
Semua pihak sedar bahawa keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu telah memberikan cabaran kepada Malaysia, begitu juga dengan Pulau Pinang.
Sudah tentu satu perancangan khusus perlu disediakan oleh kerajaan negeri bagi mengimbangi kesannya dan saya percaya bahawa kerajaan negeri telah pun membuat persediaan ke arah itu dengan langkah-langkah yang sewajarnya di bawah kepimpinan Ketua Menteri yang baharu.
Begitu jugalah dengan rakyat di bawah, ada di kalangan mereka memilih untuk menjalankan perniagaan kecil-kecilan bagi menampung kos kehidupan yang semakin tinggi.
Namun terdapat kumpulan ini yang tidak mempunyai keupayaan aset ataupun modal awal yang besar, cuma setakat mampu untuk menjadi peniaga kecil-kecilan dan berniaga di kaki lima dan kawasan-kawasan tepi jalan demi meraih rezeki yang halal.
Sebagai wakil rakyat, saya kadang-kalanya merasa hiba dan sedih apabila kumpulan ini terlibat dalam operasi yang dilakukan oleh pihak majlis perbandaran.
Kerusi, meja dan barangan perniagaan yang menjadi sebahagian daripada keperluan penting dalam urusan mereka mencari rezeki dirampas dan ini sudah tentunya membangkitkan rasa tidak puas hati dan amarah malah memberikan tekanan bagi mereka yang kadang kalanya bergantung harap sepenuhnya kepada perniagaan yang dijalankan.
Saya tidak menyanggah undang-undang apatah lagi menyalahkan pihak yang dipertanggungjawabkan cuma sebagai sebuah kerajaan negeri yang mengaku berjiwa rakyat, apakah tidak ada sebarang perancangan bagi menyelesaikan permasalahan kumpulan atau para peniaga kecil-kecilan ini?
Sebagai contoh kerajaan negeri menyediakan kawasan atau ruang niaga sebagai pilihan kepada kumpulan ini atau sekurang-kurang mengambil tindakan atas budi bicara dengan membenarkan perniagaan kecil-kecilan itu diteruskan dengan syarat-syarat tertentu seperti tidak mengalang lalu lintas dan tidak membuat kekotoran di kawasan terlibat.
Saya sedar perkara yang dibangkitkan ini seolah-olah kita menyanggah peraturan tetapi rasanya sebagai sebuah kerajaan negeri dan dipimpin oleh Ketua Menteri yang baharu, mungkin langkah-langkah tertentu boleh dipertimbangkan kerana kita semua sedar bahawa rakyat juga sedang bergelut dengan kos sara hidup yang semakin hari semakin tinggi.
Mudahkan urusan kelulusan lesen perniagaan, kalau di Selangor dahulu, YB Azmin Ali boleh turun mendengar keluhan peniaga dan memberi sokongan untuk peniaga memohon lesen, saya percaya YB Ketua Menteri yang baharu juga boleh bertindak menyelesaikan isu ini dengan lebih baik lagi.
Y.B. Dato' Yang Di Pertua,
ISU PENGHAPUSAN TOL
Pilihan Raya Umum Ke-14 telah pun melabuhkan tirainya, semua pihak sedar bahawa Pakatan Harapan sudah pun menubuhkan kerajaan di peringkat persekutuan dan begitu juga kerajaan negeri di Pulau Pinang.
Sekalung tahniah sekali lagi saya ucapkan atas kejayaan tersebut dan sudah tentunya keputusan itu melibatkan rakyat keseluruhannya dan ia sebenarnya adalah amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kerajaan negeri atas janji-janji dalam manifesto yang diumumkan sebelum ini.
Sebagai wakil rakyat, saya percaya rakyat kini sedang melihat dan menuntut janji di dalam manifesto yang dibuat oleh Pakatan Harapan yang kini mentadbir kerajaan negeri ditunaikan.
Kerana itu saya ingin bertanya, apakah ada perancangan daripada kerajaan negeri untuk memansuhkan Tol jambatan Pulau Pinang dan Tol Sg Nyior seperti mana yang diumumkan sebelum ini?
Jika ada bila ianya akan dilaksanakan?
YB Dato’ Yg Di Pertua
JANJI-JANJI MANIFESTO
Dalam PRU 14 yang lepas, PH Pulau Pinang memasukkan 68 perkara dalam manifesto. Walau pun manifesto ini bukan janji juga bukan kitab suci tetapi kerajaan PH wajib berusaha untuk melaksanakannya kerana janji-janji kerana janji-janji itu yg menyebabkan pengundi-pengundi tertarik utk memilih PKR selain dari Fitnah yg begitu hebat dalam menjatuhkan kerajaan BN.
Antara yg ditekankan dan perlu diberi keutamaan ialah :
1. Menghadkan Jawatan Ketua Menteri kepada 2 penggal.
2. Melantik pemimpin Pembangkang sebagai Pengerusi J/Kuasa Kira-kira Wang Negeri.
3. Meneruskan pelbagai projek Infrastruktur lebuhraya, terowong dasar laut, PIPPP
4. Projek Tebatan Banjir
5. Menyemarakan keunggulan Islam di Negeri Pulau Pinang
6. Membina 75,361 buah Rumah Kos Rendah, Kos Sederhana Rendah dan Rumah Mampu Milik.
7. Tingkatkan Keusahawanan
8. Dasar Alam Sekitar
9. Pembangunan Pendidikan dan Kemahiran
10. Bantuan Tahunan utk Warga Emas dan OKU sebanyak RM 130 – RM 200
11. Bantuan Program Kesihatan Negeri kepada rakyat yg berpendapatan kurang RM 5,000 iaitu sebanyak RM 300
12. Bantuan kewangan kos sara hidup kepada wanita yg mempunyai pendapatan kurang dari RM 2,000 sebulan.
Y.B. Dato' Yang Di Pertua,
Perkara ini saya bangkitkan di dewan yang mulia ini kerana mengambil kira pentadbiran kerajaan negeri hari ini juga datangnya daripada Pakatan Harapan.
Sudah tentulah ianya perlu diperjelaskan kerana kita tidak mahu melihat janji-janji yang kemudiannya hanya menjadi sandiwara politik demi meraih sokongan untuk berkuasa semata-mata.
Ini soal maruah dan integriti malah menyamai pendirian dan prinsip kerajaan negeri selama ini yang berpegang kepada slogan Cekap, Akauntibiliti dan Telus.
Dalam Islam, janji adalah sesuatu yang sangat di jaga, selama janji tersebut tidak bertujuan untuk berbuat dosa dan ingkar kepada Allah.
Dan setiap muslim sangat ditekankan untuk menepati janji yang sudah mereka ikrarkan. Ada pun perintah untuk menepati janji telah Allah sebutkan dalam Al-Qur'an Surah An-Nahl : 91-92
Terjemahannya ;
“Dan tepatilah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu membatalkan sumpah-sumpah(mu) itu sesudah meneguhkannya, sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai saksimu (terhadap sumpah-sumpah itu). Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu perbuat. (QS. 16:91) Dan janganlah kamu seperti seorang perempuan yang menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat, menjadi cerai berai kembali, kamu menjadikan sumpah (perjanjian)mu sebagai alat penipu di antaramu, disebabkan adanya satu golongan yang lebih banyak jumlahnya dari golongan yang lain. Sesungguhnya Allah hanya mengujimu dengan hal itu. Dan sesungguhnya di hari Kiamat akan dijelaskan-Nya kepadamu apa yang dahulu kamu perselisihkan itu. (QS. 16:92)” (an-Nahl: 91-92)
Sebagai orang Islam, kami percaya bahawa setiap janji yang dibuat perlu ditunaikan apatah lagi janji-janji itu dibuat terhadap seluruh rakyat khususnya di Pulau Pinang.
YB Dato’ Yg Di Pertua
ISU-ISU DALAM KADUN SUNGAI DUA
Izinkan saya membangkitkan isu-isu dan masaalah yg masih belum diselesaikan dalam Kadun Sungai Dua walaupun telah berulangkali dibangkitkan samaada di Dewan Yg Mulia ini ataupun di peringkat Jabatan/Agensi. Ada 6 masaalah yg akan dibangkitkan iaitu :
1. Projek Pembinaan Masjid Jamek Al Mubarak Ptg Bogak dan Pembinaan Bangunan Tambahan SAR Saadatul Durain di Ptg Buloh.
2. Tanah perkuburan Islam yg semakin sempit di Masjid Al Rashid Sg Dua, Masjid Jamek Sg Lokan, Masjid Ptg Tok Jaya, Masjid Nyior Sebatang dan beberapa masjid lain.
3. Laluan Bas Rapid di kawasan Sg Dua ke Kepala Batas melalui Jalan Ptg Sg Dua.
4. Aktiviti perniagaan Cyber Café di Pekan Sungai Dua dan Sungai Puyu.
5. Masaalah kesesakan jalan di Pekan Sungai Dua menghala ke Lebuh Raya Utara Selatan.
6. Perumahan Awam di Sungai Dua.
Y.B Dato’ Yg Di Pertua,
PENJELASAN KE ATAS JAWAPAN SOALAN BERTULIS
1. UEC
2. Bantuan kepada Nelayan dan Pesawah
3. Pembangunan Pertubuhan Belia
4. Penyelaras KADUN Pakatan Harapan
5. Pinjaman Pelajaran Kerajaan Negeri Pulau Pinang
6. CCTV/WiFi
7. LGBT/Ajaran Sesat
8. Malakoff / SP Setia
9. PWDC dan PYDC
YB Dato’ Yang Di Pertua
PENUTUP
Konsep Cekap, Akauntabiliti dan Telus yang di laksanakan dan diamalkan oleh Kerajaan Negeri adalah konsep yang baik dan perlu diterapkan kepada semua ahli-ahli Yang Berhormat dan semua anggota awam dan swasta di Pulau Pinang.
Sebagai wakil rakyat, saya mahu melihat Pulau Pinang ini ditadbir dengan penuh amanah dan bertanggungjawab Saya juga percaya bahawa kerajaan negeri yang di terajui oleh YB Ketua Menteri adalah bijak dan dapat menilai antara yang mana baik dan yang mana buruk. Justeru itu, bagi mentadbir Pulau Pinang dengan cekap, saya berharap agar pihak kerajaan negeri dapat melaksanakan pentadbiran dengan penuh adil dan saksama tanpa mengira unsur politik, agama dan seangkatan dengannya.
Isu membuka dan menyiasat buku dan fail merah perlu juga dilaksanakan di pentadbiran semua Jabatan/ Agensi dan GLC peringkat negeri, jika timbul sebarang masaalah penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Sepertimana yang dilaksanakan di peringkat Kerajaan Pusat.
Selain itu, kedengaran juga beberapa isu mengenai Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas LTTE. Ini soal keyakinan dan keselamatan rakyat. Kita sering kali melaungkan bahawa kita merupakan negara yang anti-pengganas dan menerapkan nilai-nilai keamanan namun sebaliknya isu ini pula yang timbul. Isu sebegini perlu cepat diselesaikan sebelum ianya di manipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan seterusnya menimbulkan ketegangan dan kerisauan rakyat.
Sebagai Wakil Rakyat sudah tentu saya tidak mahu melihat institusi pentadbiran kerajaan negeri di hina walaupun pentadbiran kini berada di sebelah Pakatan Harapan.
Atas dasar itu, maka saya percaya adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menjelaskan persoalan-persoalan berbangkit dan juga status janji yang telah dibuat.
Justeru itu saya menyeru kepada semua,
Peliharalah kemuliaan Dewan yang mulia ini
Marilah kita menjadi Wakil Rakyat yang benar-benar membawa suara rakyat demi memenuhi aspirasi dan kepercayaan yg diberikan oleh rakyat.
Marilah kita jadikan Sidang Dewan kali ini sebagai pencetus kepada kesejahteraan rakyat.
Y.B. Dato' Yang Di Pertua,
Kami pembangkang walaupun hanya bertiga, akan menyokong setiap dasar dan tindakan yang tidak bercanggah dengan Islam dan keadilan kepada rakyat. Kalau ada tindakan yang bercanggah dengan Islam, menentang dan merendahkan Islam serta bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kami akan tentang habis-habisan samada di dalam Dewan atau di luar Dewan yang mulia ini.
Kami menyahut seruan TYT Tun supaya dapat bergerak seiring dengan kerajaan untuk membela kehidupan rakyat dengan mempertingkatkan keadilan serta memastikan semua rakyat Negeri ini mendapat pembelaan yang sewajarnya dari segi peluang ekonomi, sosial, pekerjaan, perumahan, pembangunan infrastruktur dan lain-lain. Adalah diharapkan semua projek yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri, GLC dan Swasta adalah merupakan people centric bukan hanya melihat keuntungan semata-mata.
Kami juga mengharapkan agar Kerajaan Negeri yang begitu Cekap dan Adil akan melaksanakan segala bentuk pembangunan fizikal, modal insan, pembangunan ekonomi rakyat, kebajikan dan lain-lain tidak hanya ditumpukan kepada kawasan-kawasan tertentu dan orang-orang tertentu sahaja.
Akhir kata,
Sebelum saya mengundur diri
Izinkan saya menyusun sepuluh jari
Memohon maaf sekiranya tersalah silap di sana sini
PANTUN
Air surut memungut bayam
Bayam di isi di dalam karung
Jangan di ikut resmi ayam
Bertelur sebiji riuh sekampung.
Padi muda jangan dilurut
Kalau dilurut pecahlah batang
Hati muda jangan diturut
Kalau diturut bencana yang datang.
..Dengan itu, Y.B. Dato' Yang Di Pertua, saya mohon menyokong.
No comments:
Post a Comment