Thursday 22 August 2013

Masalah 17 Peniaga EMBA Selesai


Masalah 17 peniaga di lot kedai Ekonomi Melayu Bagan Ajam (EMBA) di Taman Tun Dr. Awang, Bagan Ajam di sini yang tidak dapat memulakan perniagaan mengikut jadual selepas premis mereka dibaik pulih dua bulan lalu mendapat perhatian pihak pengurusan projek berkenaan.

Wakil kumpulan peniaga tersebut, Ronyzam Abdul Ghaffar, 36, berkata, sebaik keluhan mereka disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Sabtu, 17 Ogos lalu, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Pulau Pinang tampil memberi kebenaran untuk mereka memulakan perniagaan di situ.

"Kami difahamkan hasil campur tangan Ahli Dewan Undangan Negeri, Teluk Ayer Tawar, Datuk Jahara Abdul Hamid dengan ICU, lot kedai yang siap dibaikpulih itu akan diserahkan kepada peniaga pada 28 Ogos ini bagi membolehkan kami kembali berniaga seperti sedia kala.

"Kami difahamkan kelewatan memberi kebenaran menggunakan premis ini kerana masalah teknikal melibatkan pemasangan bekalan elektrik dan air, tetapi akhirnya masalah itu dapat diatasi," katanya.

Beliau ditemui dalam majlis Rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Pusat Khidmat ADUN Teluk Ayer Tawar di sini semalam.

Seorang peniaga nasi dan kuih-muih, Asmah Azim, 62, memberitahu, dia bersyukur kerana ICU meluluskan segera kebenaran untuk menjalankan perniagaan di situ.

"Tiada perkataan yang mampu melahirkan kegembiraan apabila mendapat tahu akhir Ogos ini saya boleh kembali menjalankan perniagaan.

"Sekarang saya sibuk membuat persiapan bagi memulakan perniagaan kerana itulah satu-satunya punca pendapatan untuk menyara lima anak selepas bergelar ibu tunggal," ujarnya.

Peniaga makanan, Huszaimi Abu Hassan, 40, pula menjelaskan, keprihatinan ICU menyegerakan kebenaran menjalankan perniagaan di situ telah menghilangkan kerisauannya selama ini.

"Ucapan terima kasih ditujukan kepada ICU dan ADUN Teluk Ayer Tawar yang turut membantu mengatasi masalah peniaga di sini," katanya.

Sementara itu, Jahara berkata, beliau mengambil pendekatan untuk berbincang dengan ICU bagi membantu peniaga berkenaan selepas dimaklumkan kesulitan yang dialami mereka berikutan proses baikpulih bangunan itu mengalami masalah teknikal.utusan

TGP

No comments:

Post a Comment