Sunday 9 December 2012

Malaysia Perlukan Modal Insan Berkualiti & Berkemahiran


KEPALA BATAS – Malaysia memerlukan modal insan berkemahiran tinggi dan berkualiti sebagai persiapan menghadapi cabaran global pada masa depan serta menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan komited menyediakan pelbagai kemudahan dan infrastruktur di semua institusi pendidikan termasuk sekolah bagi memastikan setiap pelajar dapat mengikuti proses pembelajaran dengan selesa.

“Selain itu, kerajaan juga telah menyediakan pelbagai program dan insentif bagi memastikan bidang ilmu yang diajar sesuai dengan kehendak dan permintaan semasa industri.

“Kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai langkah dan pendekatan dalam usaha memastikan tiada pelajar yang keciciran dalam mendapat pendidikan,” katanya pada majlis penyampaian penghargaan kepada 290 pelajar cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi sekolah dalam Parlimen Tasek Gelugor di Sekolah Menengah Kebangsaan, Desa Murni, Sungai Dua.

Nor Mohamed juga menegaskan setiap pelajar harus menjadikan pencapaian yang diperoleh sebagai pembakar semangat untuk terus maju serta menjadi contoh terbaik kepada pelajar lain.

“Kejayaan yang diperoleh hari ini seharusnya dijadikan pendorong untuk kejayaan lebih besar pada masa akan datang, terus berusaha demi pencapaian yang lebih membanggakan demi bangsa, agama dan negara,” katanya.

Oleh itu, kerajaan telah menyediakan peruntukan yang besar dalam pendidikan pada pembentangan Belanjawan 2013, dan ia adalah sebagai bukti bahawa barisan kepimpinan negara amat menitikberat rakyatnya menimba ilmu melalui pendidikan.

Beliau berkata hanya dengan ilmu seseorang mampu mengubah nasib diri dan keluarga dan ia mampu menjadikan sesebuah negara itu dihormati dan disegani di peringkat yang lebih tinggi.  – Bernama.

No comments:

Post a Comment