Monday 21 January 2013

BN Yakin Pertahan Parlimen & Tiga Kerusi DUN Di Tasek Gelugor


TASEK GELUGOR: Barisan Nasional (BN) Tasek Gelugor yakin dapat mempertahan Parlimen itu dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di situ pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) berikutan sokongan penduduk terhadap parti berkenaan.

Pengerusi BN Bahagian Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya berkata, berdasarkan tinjauan menerusi program-program yang dijalankan, penduduk di kawasan DUN Permatang Berangan, Sungai Dua dan Telok Ayer Tawar itu memang menerima BN dan memberi sokongan kepada parti berkenaan.

"Berdasarkan tinjauan yang dijalankan itu, penerimaan rakyat terhadap BN semakin meningkat kerana mereka yakin hanya BN mempunyai keupayaan dan mampu membawa pembangunan.

"Saya dan rakan-rakan dalam parti komponen BN iaitu Umno, MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain percaya kita akan pertahan kerusi BN di sini dengan majoriti lebih besar pada PRU-13 nanti," katanya kepada pemberita selepas Majlis Himpunan Pemuda BN dan pelancaran Gerak Gempur Pemuda BN Bahagian Tasek Gelugor, Sabtu.

Majlis itu disertai lebih 1,000 pemuda BN dan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor.

Shabudin yang juga Ketua Umno Bahagian berkenaan berkata, sokongan golongan belia di bahagian itu juga semakin meningkat dan ia boleh dilihat dengan penglibatan mereka dalam program-program anjuran BN.

"Golongan belia iaitu kira-kira 40 peratus daripada 53,000 pengundi di Tasek Gelugor juga mula melibatkan diri dalam program-progam anjuran kita dan saya percaya mereka mula memberi mandat kepada BN.

"Belia di sini juga tidak terlibat dengan aktiviti pembangkang seperti perhimpunan Bersih dan sebagainya kerana yakin itu bukan perjuangan yang sebenar," katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Adun Permatang Berangan berkata, jentera gerak gempur Pemuda BN Tasek Gelugor bersiap sedia dengan rangka kerja untuk mengempur parlimen itu sempena PRU-13 ini.

"Kita ada 27 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan mereka (jentera Pemuda BN) akan bergerak dengan perancangan yang telah ditetapkan bagi memastikan BN menang besar di sini (Tasek Gelugor)," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment