Saturday, 5 January 2013

Kesilapan Kiraan Undi Pengajaran Buat DAP : Nor Mohamed Yakcop


BUTTERWORTH: Kesilapan pengiraan undi ketika pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP bulan lalu, adalah pengajaran kepada parti itu yang sebelum ini sering menjaja kelemahan Barisan Nasional (BN) untuk meraih sokongan. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata pindaan keputusan berikutan kesilapan itu yang sekali gus mengembalikan wakil Melayu dalam CEC, juga menunjukkan DAP tertekan dalam usaha membuktikan ia sebuah parti pelbagai kaum. 

"Memang mereka mengakui kesilapan, manusia tidak lari dari membuat silap,tetapi yang sedihnya apabila berlaku kesilapan pada pihak BN riuh sekampung dijajanya, bukan sehari tetapi berhari-hari. 

"Mereka tidak tahu kira walaupun tidak sampai 2,000, budak darjah empat pun tahu kira. Ini Tuhan nak tunjuk," katanya selepas majlis penyampaian sumbangan wang ehsan kepada 36 peniaga membabitkan peruntukan sebanyak RM48,000 di sini, hari ini. 

Semalam satu akhbar berbahasa Inggeris melaporkan DAP mengakui berlaku kesilapan dalam pengiraan undi semasa pemilihan jawatan CEC yang diumum 15 Disember tahun lalu, dan menerusi keputusan yang dipinda itu, Zairil Khir Johari yang pada mulanya berada pada kedudukan 39, kini menduduki kedudukan 20. 

Vincent Wu, yang pada mulanya mendapat tempat keenam dengan 1,202 undi,jatuh ke tempat ke-26 kerana parti itu mendakwa beliau sebenarnya hanya meraih 669 undi. 

Dalam perkembangan lain, Nor Mohamed berkata, kerajaan pusat terus komited dalam usahanya memastikan rakyat dapat menikmati agihan keuntungan yang diperoleh setiap tahun. 

"Agihan keuntungan ini dibahagi menerusi pelbagai program dan sumbangan yang disampaikan terus kepada rakyat. Ini usaha kerajaan untuk memastikan rakyat dapat hidup selesa dan mengembangkan ekonomi keluarga," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment