Saturday, 9 November 2013

UMNO Pulau Pinang Cadang Badan Khas Kaji Gabungan UMNO-PAS


KEPALA BATAS - Umno Pulau Pinang mencadangkan agar satu badan khas ditubuhkan bagi menjalankan kajian di peringkat akar umbi Umno dan Pas sama ada mereka mahu dua parti itu bergabung demi kepentingan orang Islam di negara ini.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Shabudin Yahya berkata, sudah sampai masanya, biar rakyat menjadi penentu sama ada kedua-dua parti itu perlu bergabung atau sebaliknya.

Katanya ia juga bagi menggantikan kaedah perbincangan di peringkat  pemimpin kedua-dua parti yang telah dilaksanakan sebelum ini dan tidak pernah menemui keputusan bagi mewujudkan kerjasama itu.

"Menerusi kajian oleh badan bebas itu, pemimpin kedua-dua parti boleh menilai sendiri kehendak ahli sama ada kerjasama antara kedua-dua parti itu   perlu diwujudkan demi memartabatkan agama Islam dan orang Melayu ataupun tidak.

"Jangan tunggu nasi sudah jadi bubur baru hendak bertindak (jalin kerjasama) kerana Pas dan Umno pernah bekerjasama sebelum ini dan saya percaya lebih 50 peratus daripada ahli kedua-dua parti mahukan kerjasama ini menjadi kenyataan kerana mereka tahu hanya melalui kerjasama ini sahaja Islam dan Melayu dapat diselamatkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Shabudin yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, kajian itu juga penting kerana sebelum ini mungkin suara mereka yang mahukan Pas dan Umno bergabung tidak sampai ke pucuk pimpinan. 

"Jika hasil kajian itu nanti menunjukkan majoriti ahli parti mahukan kerjasama ini direalisasikan, maka pemimpin kedua-dua parti harus mengadakan perbincangan meja bulat dan cari kaedah yang sesuai untuk memastikan kerjasama itu terjalin. Kita harus ambil kira suara mereka," katanya.

Shabudin berkata, Pas juga perlu menilai cadangan Pengerusi DAP, Karpal Singh pada Selasa lepas yang mahu parti politik atau persatuan yang berasaskan kaum dan agama dibatalkan pendaftaran atau diubah suai agar boleh disertai oleh semua rakyat tanpa mengira batasan kaum dan agama.

Katanya kenyataan itu seolah-olah menyindir Pas dan sudah sampai masanya parti itu melihat semula kerjasamanya dengan DAP dan PKR.

"Saya pelik, Pas masih boleh menerima DAP sebagai rakan sedangkan rakannya itu (DAP) seolah-olah cuba 'menolak' dan menyindir Pas, tengoklah  kenyataan Karpal yang tidak mahu parti politik berasaskan kaum dan agama, ini  bukan kali pertama mereka buat begitu kepada Pas.

"Pada saya DAP juga bukanlah parti untuk semua dan hanya untuk  keluarga tertentu sahaja, mereka bukanlah sebuah parti untuk semua kaum  seperti yang selalu dilaung-laungkan," katanya. - Bernama

TGP

No comments:

Post a Comment