Thursday 19 December 2013

Fitnah...!!! Adila Masuk Kristian...

NEW YORK: Seorang wanita Islam Malaysia menyangkal sebagai fitnah dakwaan kononnya beliau menganut agama Kristian seperti yang terkandung dalam sebuah artikel yang tersebar luas di laman sosial.
Adila Hussin McGhee, 43, berkata: “Saya masih seorang Islam, saya masih percaya dengan Allah Tuhan yang Esa dan Nabi Muhammad s.a.w.
“Saya tahu apa yang baik dan buruk dalam ajaran agama. Jangan percaya fitnah orang,” katanya.
Berita mengenai wanita lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia dari Ipoh ini, heboh dikatakan sudah murtad dalam Internet gara-gara artikel yang diterbitkan oleh sebuah badan sukarela wanita yang berkait dengan kerja amal gereja di Amerika Syarikat.
Artikel itu menyebut kononnya beliau sedia berkongsi “cerita dari hati” bagaimana beliau menganut agama Kristian semasa berada di Malaysia lagi selepas perkahwinan pertamanya gagal.
Adila yang suka melakukan kerja amal di daerah tempat tinggalnya itu, berpindah ke Virgina selepas berkahwin untuk kali kedua dengan seorang warga Amerika, dan kini tinggal di sebuah pekan kecil di daerah Richmond.
Semasa dihubungi Bernama dari New York, bekas pelajar Kolej Islam Klang, (KIK) Selangor itu menyangkal dakwaan yang beliau sudah menganut agama Kristian.
“Saya amat sedih sekali kerana nama saya diaibkan dan ini satu pembohongan tentang diri saya, saya langsung tidak pernah bertemu atau ditemu ramah oleh penulis artikel itu.
“Malah semasa saya memberi penerangan mengenai Malaysia itu, ia dihadiri oleh kumpulan wanita saja,” kata Adila yang kini menjadi tenaga pengajar Bahasa Melayu di Diplomat Language Center di Washington DC.
Adila dicap murtad oleh segelintir rakyat Malaysia yang ‘termakan’ dengan kandungan artikel berkenaan.
“Saya sedih tidak tahu nak mengadu kepada siapa apabila mengetahui mengenai perkara ini, semua orang sudah mempercayai fitnah yang mereka dengar, tanpa usul periksa.
“Saya sudah terangkan perkara sebenar kepada kedua-dua ibu bapa, dan bimbang perkara ini boleh menyebabkan anak-anak saya akan dipulaukan,” kata Adila yang mempunyai tiga orang anak hasil perkahwinan pertamanya.
Beliau berkata kerja amal beliau sudah disalahertikan.
“Saya juga ada membuat perniagaan sabun buatan tangan dan saya perlu memperluaskan pasaran untuk menjual sabun-sabun saya.
“Oleh itu saya telah pergi ke pejabat daerah berhampiran tempat tinggal saya dan mereka memperkenalkan saya kepada seorang pegawai untuk memasarkan produk saya,” katanya.
Beliau telah membuka gerai semasa hari pesta menuai di pekan kecil, Bowling Green dan gerai berkenaan bertempat di sebuah gimnasium di sebuah gereja di situ.
Dari situlah beliau mengenali penduduk tempatan yang kemudian menjemput beliau memberi ceramah untuk persatuan wanita yang ingin mengenali Malaysia.
“Saya telah memberi ceramah mengenai Malaysia bermula dari sejarah sebelum dan selepas merdeka, geografi, cuaca, ekonomi, penduduk, makanan, budaya, agama dan lain-lain.
“Saya amat terkejut kerana ramai dari mereka yang tidak tahu di mana Malaysia. Mereka cuma tahu bahawa Malaysia adalah negara Islam.
“Selain memperkenalkan tanah air kita kepada mereka, saya juga menerangkan bagaimana wanita Malaysia berjaya dalam kehidupan mereka serta memegang pelbagai jawatan tinggi di semua peringkat, dan boleh memandu,” katanya.
Adila dan suaminya F. McGhee sudah menghubungi pengurusan gereja yang menjemputnya memberi ceramah mengenai Malaysia itu, untuk berbincang tentang penulisan artikel berkenaan dan mahu pihak pengurusan berbuat sesuatu untuk membersihkan namanya.
Adila juga mendakwa gambar-gambar di laman Facebooknya termasuk gambar semasa beliau belajar di KIK turut dimuat turun dan disebarkan di laman sosial lain.
Katanya beliau juga diganggu dengan pelbagai tohmahan menerusi e-mel, teks dan panggilan telefon.
“Saya juga kesal kerana nama beberapa kawan saya semasa di KIK turut dikaitkan dalam tohmahan ini, sedangkan mereka tidak tahu apa-apa,” ujar Adila. – Bernama
Segala penjelasan daripada Adila diharapkan tidak ada lagi pihak-pihak tertentu yang cuba mereka-reka cerita tentang beliau lagi. Ini adalah demi menjaga nama baik beliau dan keluarga beliau.
Kepada sesiapa yang diluar sana janganlah terus mereka-reka cerita dengan hanya mendengar khabar angin mahupun buah mulut dari orang lain yang kita sendiri tidak tahu akan kesahihan cerita tersebut.
Carilah bukti-bukti kukuh sebelum membuat atau membawa cerita.
Bersangka baiklah kepada setiap makhluk didunia ini. Terutama kepada pemimpin kita, supaya negara kita akan aman dan makmur. 

Sumber Klik Di Sini

No comments:

Post a Comment