Thursday, 26 December 2013

PM Gesa Rakyat Cari Titik Perpaduan Di Antara Kaum.


Najib gesa rakyat cari titik pertemuan pupuk perpaduan pelbagai kaum

Georgetown: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggesa rakyat mencari titik pertemuan yang menekankan nilai kebersamaan bagi memupuk perpaduan antara penganut pelbagai agama terutama Islam dan Kristian di negara ini.

Perdana Menteri berkata, nilai kasih sayang dan hormat menghormati sesama manusia yang dianjurkan agama Islam dan Kristian adalah antara nilai yang boleh diketengahkan bagi mencari titik pertemuan itu. 


"Nilai kasih sayang antara satu sama lain dianjurkan agama Kristian, begitu juga agama Islam yang menekankan amalan hormat menghormati. 



"Nilai ini adalah titik pertemuan antara penganut agama yang boleh memupuk suasana menjurus kepada keamanan dan kestabilan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas di Padang Kota Lama di sini, semalam. 

Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan juga tetamu kenamaan lain.

Perdana Menteri berkata, apabila masyarakat dapat memahami antara satu sama lain, sudah pasti tiada satu tindakan yang boleh menyakiti pihak lain akan dilakukan. 
"Orang Islam tidak seharusnya menyakiti hati orang bukan Islam dan begitu juga orang bukan Islam tidak seharusnya menyakiti hati orang Islam. 

"Saya sebagai Perdana Menteri, ingin tekankan mengenai perpaduan dan saya komited untuk memastikan tugas aspek utama keamanan, keharmonian dan kestabilan dipelihara," katanya. - Berita Harian


No comments:

Post a Comment